Dalam barisan model Scrambler keluaran Ducati, mereka sudah menyediakan pelbagai pilihan, daripada enjin berkapasiti 400 cc hingga 1,079 cc, dan pelbagai perubahan aksesori untuk menjadikan karekter motosikal tersebut berbeza. Tetapi nampaknya, Ducati merasakan apa yang ada masih tidak cukup, dan esok mereka akan memperkenalkan satu lagi versi baru bagi Scrambler.
Tiada perician jelas yang disiarkan oleh Ducati, dan mereka setakat menunjukkan beberapa gambar teaser berserta kiraan detik pelancaran di laman web. Semua gambar yang disiar menunjukkan suasana di jalan berpasir.
Satu daripadanya tertulis “Be The Wildest“, yang jika diterjemahkan, bermaksud “Jadilah Yang Paling Liar”, dan satu lagi datang dengan ayat “Be The Boldest” atau bermaksud “Jadilah Yang Paling Berani.”
Daripada apa yang ada ini, kita boleh menjangkakan dua perkara utama iaitu ini adalah sebuah model yang lebih lasak dan boleh dibawa ke atas jalan offroad, dan ia akan menggunakan enjin paling berkuasa – Scrambler paling berkuasa sekarang dipacu oleh enjin 1,079 cc berkuasa 86 hp dan 88 Nm tork.
Dalam barisan model Scrambler 800, sudah ada model yang lasak, iaitu Desert Sled, dan jangkaannya lagi, model baru ini adalah sesuatu seperti itu, tapi dengan karekter yang lebih ganas dan enjin lebih besar.