Perodua, MARii hantar jurutera perantis ke perlumbaan WEC 2021, termasuk Le Mans 24 jam untuk kutip data

Perodua, MARii hantar jurutera perantis ke perlumbaan WEC 2021, termasuk Le Mans 24 jam untuk kutip data

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersama Perodua dan Persona Energy Sdn Bhd hari ini mendatangani perjanjian kerjasama bagi menghantar empat orang jurutera perantis untuk menyertai pasukan Jota Sport Racing Team dalam perlumbaan Kejohanan Endurance Dunia (WEC) musim 2021 dalam satu program yang digelar Program Perantis Pemindahan Teknologi (TTAP).

Menurut CEO MARii Dato Madani Sahari, program ini dirangka sebagai persediaan untuk industri automotif tempatan bagi menghasilkan kereta dengan kebolehan autonomi tahap 3 menjelang 2025, di mana dua model jenama nasional iaitu Perodua Ativa dan Proton X50 sudahpun mencapai kebolehan tahap 2. Kesemua jurutera muda yang dihantar untuk menyertai perlumbaan tersebut ditugaskan untuk mengutip data bagi digunakan bagi membangunkan teknologi berkenaan.

MARii menyatakan bahawa teknologi di belakang penderia, telemetri dan pengurusan data dalam sukan permotoran adalah jauh lebih maju berbanding kenderaan produksi biasa, jadi data-data dalam perlumbaan termasuk semua sistem berkaitan yang dikumpulkan oleh pasukan jurutera ini bakal memberikan dimensi baharu untuk pembangunan tempatan bukan sahaja untuk Perodua, malah untuk peringkat OEM dan vendor.

“Masa depan mobiliti terhubung bukan sahaja hanya bersandarkan data pada prestasi dan ketahanan kenderaan, tetapi turut bergantung pada teknologi pengumpulan data. Menerusi kerjasama ini, kita akan lihat dimensi baharu dari teknologi yang digunakan menerusi usaha dalam Kejohanan Endurance Dunia yang boleh diaplikasikan selari dengan pembangunan komponen kritikal yang telah dinyatakan dalam Dasar Automotif Negara 2020,” kata Madani.

Perodua, MARii hantar jurutera perantis ke perlumbaan WEC 2021, termasuk Le Mans 24 jam untuk kutip data

“Perodua gembira untuk menyokong usaha ini yang akan menambah nilai dan peluang dalam industri Malaysia. Kami lihat ini bukan sahaja pendekatan inovatif untuk pembangunan teknologi, tetapi ia juga selangkah lagi kehadapan bagi menghasilkan baka baharu bakat kejuruteraan menerusi pengalaman yang ditimba dan pendedahan antarabangsa,” tambahnya lagi

Program ini menampilkan empat jurutera perantis yang baharu sahaja menamatkan pengajian masing-masing, yang bakal menyertai Jota Racing dalam perlumbaan kategori LMP2 dalam WEC bermula Jun ini, termasuk pusingan ke-4, iaitu pusingan paling mencabar Le Mans 24-Jam berlangsung di Circuit de la Sarthe, Perancis pada bulan Ogos.

Empat jurutera berkenaan adalah Anderson Kent Robert, Luqman Bin Othman, Muhammad Amzar Danish Bin Chairil dan Muhammad Taufiq Bin Mohd Zin. Mereka turut akan diselia oleh pengasas bersama Persona Energy, iaitu bekas pelumba F3 negara, Jazeman Jaafar. Malah, Jazeman sendiri turut ditugaskan sebagai pemandu simpanan dan pembangunan untuk Jota Sport dalam WEC musim 2021 ini.

Selain Le Mans, kesemua jurutera ini akan tampil dalam lima perlumbaan Jota Sport dalam WEC 2021; Portimao di Portugal, Fuji di Jepan dan pusingan terakhir di Bahrain. Dalam tempoh antara perlumbaan, kesemua mereka akan berada di ibu pejabat Jota Sport di UK untuk sesi latihan.

Menurut Jazeman, perlumbaan memerlukan pelumba mengawal kereta mereka pada setiap masa dalam litar, jadi sistem dan fungsi pemanduan autonomi tidak akan diteroka oleh kumpulan jurutera ini dalam perlumbaan. Namun dalam perlumbaan endurance, pelbagai senario akan ditempuhi, membolehkan pelbagai data yang dapat dikumpulkan, jelasnya.

Perodua, MARii hantar jurutera perantis ke perlumbaan WEC 2021, termasuk Le Mans 24 jam untuk kutip data

Jazeman turut menambah bahawa pemindahan teknologi dari sukan permotoran kepada pengeluar seperti Perodua perlu bermula dengan mendapatkan dan mentafsir data dari perlumbaan sebanyak yang mungkin, dan kemudian mengenal pasti data yang mana boleh digunakan untuk situasi di jalan raya, dengan simulasi dalam dua senario; sama ada dalam situasi boleh diagak atau tidak boleh diagak.

Contoh situasi yang boleh diagak termasuk jangkaan kehausan tayar, serta berhadapan dengan trafik lebih laju atau lebih perlahan dari kereta berlainan kelas. Manakala contoh situasi yang tidak boleh dijangka pula termasuk bendera kuning, safety car keluar dan juga pelbagai insiden yang menyebabkan perlumbaan dihentikan.

Data dari senario-senario pada litar perlumbaan ini kemudiannya boleh dibandingkn dengan senario dalam jalan raya sebenar seperti perubahan kelajuan kerana aliran trafik dan juga insiden yang berlaku – ia parameter-parameter yang boleh digunakan untuk komunikasi dan tafsiran data dalam sistem V2i (kenderaan-kepada-infrastruktur) atau V2V (kenderaan ke kenderaan).

Jazeman turut menyatakan lebih banyak data dapat dikumpul sekiranya satu-satu perlumbaan berkenaan penuh dengan insiden, kerana ia akan melibatkan pelbagai situasi, dengan perubahan rentak serta keadaan litar, dan sebab itu perlumbaan endurance adalah perlumbaan paling sesuai untuk menghimpunkan data berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required