Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

Tiba-tiba, pengedar Renault di Malaysia iaitu TC Euro Cars (TCEC) telah meletakkan sebuah kereta sport yang sangat rare iaitu model kelahiran semula jentera WRC lagenda, Alpine A110 di bilik pameran dan ibu pejabat mereka di Petaling Jaya. Adakah ini petanda bahawa model berkenaan bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tak lama lagi?

Jika anda peminat dunia rali, atau sukakan kereta-kereta klasik, tak perlu lagi kami perkenalkan siapa sebenarnya Alpine. Yang lain mesti ingat Alpine ini ada kaitan dengan pengeluar sistem audio bukan? Tak, dua jenama ini tiada kaitan pun sebenarnya.

Alpine ditubuhkan pada 1955 oleh seorang juruterbang dan ahli perniagaan Perancis, Jean Rédélé. Bermula dengan menala semula Renault 4CV untuk berlumba, Rédélé kemudiannya menghasilkan kereta sport sendiri dengan jenama berkenaan tetapi masih menggunakan sistem mekanikal dan enjin dari Renault.

Antara model Alpine yang paling diingati tentulah Alpine A110 Berlinette, yang sangat popular dalam SS rali sekitar Eropah pada era 70’an. Namun, atas pelbagai krisis yang dihadapi, Alpine diambil alih sepenuhnya oleh Renault pada tahun 1973, kemudian syarikat berkenaan membawa nama Alpine dan A110 menyertai Kejohanan Rali Dunia (WRC) musim pertama pada tahun tersebut.

Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

Alpine A110 mendominasi kejohanan berkenaan dengan memenangi kebanyakkan pusingan dan membolehkan Alpine mencatatkan satu rekod yang tak boleh dipadam iaitu bergelar juara dunia pertama WRC dalam sejarah perlumbaan tersebut. Namun, jenama ini sekali menghadapi kesukaran dan ditutup dengan Alpine terakhir yang diproduksi adalah model A610 pada tahun 1995, serta berjaya menjual lebih dari 30,000 unit kereta sport sepanjang operasinya.

Namun pada 2007, Renault membuat pengumuman untuk menghidupkan semula jenama Alpine, tetapi terpaksa dibekukan pada tahun 2009 kerana krisis yang dihadapi syarikat tersebut. Cahaya muncul pada 2012 apabila pembuat kereta sport British iaitu Caterham (ketika itu dimiliki oleh usahawan Malaysia, Tony Fernandes) telah membeli 50% kepentingan Alpine dari Renault dan projek baharu akan melibatkan kerjasama kedua-dua jenama berkenaan.

Walau bagaimanapun, Renault membeli semula keseluruhan kepentingan tersebut dari Caterham pada 2014, dan menjadi pemilik tunggal Alpine sehingga sekarang. Pada 2016, Renault mula membayangkan mereka akan menghasilkan model kelahiran semula Alpine A110 dengan mendedahkan model konsep yang digelar Alpine Vision.

Model produksi sebenar Alpine A110 ini muncul pada 2017, dan ia dihasilkan dalam jumlah yang kecil di kilang Dieppe di Perancis iaitu tempat asal kelahiran Alpine itu sendiri. Sebelum memproduksi Alpine A110 generasi baharu ini, kilang Dieppe berkenaan turut menghasilkan kereta-kereta berprestasi Renault Sport seperti hot-hatch Megane R26 dan Clio RS.

Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

Model generasi baharu Alpine A110 ini dilihat sebagai pencabar terus kepada Porsche Cayman. Ia masih mengekalkan kedudukan enjin tengah pacuan belakang; dibekalkan dengan enjin 1.8 liter empat silinder turbo berkuasa 252 PS dan tork maksima 320 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan dari Getrag. Enjin tersebut sebenarnya adalah unit yang sama dalam perut Renault Megane RS generasi terkini, tetapi ditala dengan kuasa lebih rendah.

Alpine A110 ini menampilkan badan aluminium sepenuhnya membolehkah berat keseluruhannya hanya mencapai 1,080 kg. Ya, memang kuasa enjin yang dihasilkan kurang dari Megane RS, tetapi ia sudah cukup untuk memberikan nisbah berat kepada kuasa 233 PS untuk setiap tan. Ini membolehkan A110 memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Sebagai perbandingan, Megane RS yang dijana enjin sama tetapi menerima talaan lebih berkuasa dengan 300 PS/420 Nm hanya mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Manakala Porsche Cayman 718 dengan enjin 2.0L empat-silinder turbo berkuasa 300 hp/380 Nm pula mencatatkan pecutan pada jarak sama dalam masa 4.7 saat.

Tiada pilihan kotak gear manual pada Alpine A110 ini, dan transmisi DCT yang dipadankan juga tidak disertakan dengan tuil gear tradisional – butang ‘D’, ‘N’ dan ‘R’ diletakkan pada konsol terowong, manakala tukaran gear mod manual pula boleh dibuat menerusi pedal penukar pada roda stereng.

Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

Ia juga diberikan mod pemanduan Road, Sport dan Track bagi memberikan talaan optimum pada rangkaian kuasa, stereng dan suspensi mengikut pilihan mod yang dipilih, dan juga kluster intstrumen digital untuk pemandu.

Unit berwarna putih yang dipamerkan di TC Euro cars ini merupakan model dari varian Pure, iaitu varian yang lebih sporty berbanding varian Legende yang lebih bersifat GT mewah. Ia juga tampil dengan berberapa ciri opsyen seperti rim “Serac” 18-inci (standard hanya 17-inci), angkup brek Bleu Alpine, logo krom pada fender hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan juga sistem bunyi dari Focal.

Perincian standard lain yang dilengkapkan pada A110 Pure ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED, tempat duduk bucket ringan dari Sabelt bersama balutan kulit dan Dinamica, kemasan dalaman juga dengan kulit dan Dinamica serta trim gentian karbon matte serta skrin sesentuh infotainmen bersaiz tujuh-inci.

Walaupun ia adalah model yang sangat ringan, A110 ini bukanlah model yang dihasilkan ‘kosong’ seperti model-model kereta sport hardcore seperti Lotus. Ia masih lagi diberikan pelbagai perincian untuk keselesaan seperti kawalan elektrik dan elektronik untuk pelbagai fungsi, sistem cruise control, port pengecas dan lain-lain.

Tiada sebarang kenyataan rasmi dari TCEC berhubung status model ini, selain mesej “hanya untuk pameran” yang diletakkan di sebelah kereta tersebut. Namun tidak mustahil ini adalah proses untuk menilai minat orang ramai sebelum mereka mengambil keputusan untuk melancarkannya di Malaysia atau tidak.

Jadi agak-agak berapa harga Alpine A110 ini jika ia di bawa ke pasaran tempatan? Mungkin kita boleh ambil Porsche Cayman sebagai kayu ukur – Alpine tidak dihasilkan secara besar-besaran seperti Cayman, dengan badan aluminium yang lebih ringan serta lebih laju, jadi tidak mustahil ia juga akan menjadi lebih mahal dari Porsche tersebut.

Malah menurut sumber kami yang terlibat dalam membawa unit yang dipamerkan ini ke Malaysia, Alpine mungkin boleh dijual pada harga RM320k tanpa cukai sekiranya anda membeli kereta ini di Langkawi, dan boleh mencecah sehingga RM700k dengan cukai penuh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required