Pembuat sistem brek terkemuka, Brembo, telah memperkenalkan angkup brek dengan konsep rekaan yang inovatif – ia mempunyai jalur LED yang bernyala! Angkup brek yang digelar sebagai New G Sessanta ini dihasilkan untuk motosikal, dan ia didedahkan sempena ulangtahun ke-60 Brembo.
Oleh itu, rupa luaran angkup brek baharu ini dibuat diinspirasikan dari bentuk angkup brek pertama untuk motosikal yang diperkenalkan oleh Brembo pada tahun 1972. Menurut pengeluar dari Itali berkenaan, jalur LED pada angkup brek New G Sessanta tersebut bukan hanya sekadar cantik semata-mata, ia juga bertindak sebagai antaramuka bagi memberikan informasi kepada pemilik.
Angkup brek berkenaan berhubung terus dengan aplikasi khas telefon pintar pemilik. Menerusi aplikasi tersebut, pemilik boleh membuat tetapan warna berdasarkan keadaan seperti sedang berhenti dan mengawal kadar cahaya untuk menunjukkan mood.
Selain itu, warna-warna lampu pada angkup berkenaan juga boleh menghantar data dan informasi berkenaan motosikal dan juga angkup itu sendiri kepada pengguna – misalnya jika ia berkelip menandakan pad brek sudah perlu untuk ditukar, serta berfungsi sebagai lampu brek tambahan. Malah ia juga turut memudahkan pemilik untuk mencari semula motosikal yang diparkir dengan memancarkan cahaya.
Walaupun buat masa sekarang New G Sessanta ini hanya dihasilkan untuk motosikal, laporan dari Motor1.com mengesahkan bahawa Brembo turut akan menghasilkan angkup brek dengan konsep yang sama bagi kegunaan aplikasi automotif yang lain selepas ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.