Barisan model Hypermotard 950 telah diberikan peningkatan oleh Ducati, dan akan mula berada di pusat pameran Eropah Jun ini. Sekarang, semua versinya, yang terdiri daripada Hypermotard 950, Hypermotard 950 RVE dan Hypermotard 950 SP menggunakan enjin yang menepati tahap emisi Euro 5.
Walaupun dengan pelarasan ini, enjin v-twin Testastretta 11 937 cc itu masih lagi menghasilkan jumlah kuasa yang sama, iaitu 114 hp pada 9,000 rpm dan 98 Nm tork pada 7,250 rpm. Transmisi enam gearnya pula diperbaiki supaya lebih mudah untuk dimasukkan pada kedudukan neutral.
Untuk penampilan pula, semua panel badannya masih lagi sama tetapi bagi Hypermotard 950 SP, ia diberikan grafik baru inspirasi daripada motosikal lumba MotoGP dan semangat “freestyle sports” yang tipikal bagi penunggang jentera motard. Tuil gear model ini juga telah dijadikan lebih ringan.
Kelengkapan standard Hypermotard 950 adalah seperti fork Marzocchi USD 45 mm boleh laras sepenuhnya, monoshock Sachs boleh laras, brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, panel meter TFT dan tangki bahan api 14.5 liter.
Bagi model Hypermotard 950 SP, ia dinaik taraf dengan fork Ohlins 48 mm boleh laras sepenuhnya di depan (+15 mm), monoshock Ohlins dengan tabung pelarasan (+25 mm), rim aluminium forged Marchesini, tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3 (standard menggunakan Pirelli Diablo Rosso III), pelindung tayar hadapan dan tepi enjin gentian karbon serta quickshifter naik dan turun gear.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.