Toyota GR Corolla hatchback AWD dalam imej render

Toyota GR Corolla hatchback AWD dalam imej <em>render</em>

Agak jelas kini yang Toyota akan gunakan imej dan sambutan terhadap GR Yaris dan perluaskannya kepada sebanyak mungkin penawaran. Pakej sistem janaan kuasa yang diilhamkan dari rali itu dikhabarkan akan turut diterapkan kepada model lebih besar, Corolla, untuk menjadi pesaing yang lebih dekat kepada Honda Civic Type R.

Tapi setakat ini, kita belum tahu lagi bagaimana rupa jentera berkenaan. Jadi, kami minta Theophilus Chon untuk membayangkan beberapa rekaan yang mungkin bersesuaian sebagai GR Corolla. Hasilnya nampak mengujakan juga, menyuntik imej lebih agresif kepada kereta yang sudah sedia ada penampilan yang kuat tersebut.

Bahagian depan mengambil inspirasi besar daripada wajah depan GR 86 yang baru ditunjukkan, dengan bahagian bawah grilnya lebih rendah dan bukaan udara menegak di sudutnya. Ada juga scoop bonet ala Subaru WRX (kereta betulnya nanti mungkin tak ada ciri ini). Corolla ini juga nanti mungkin akan menggunakan enjin sama seperti GR Yaris, G16E-GTS 1.6 liter turbocas tiga-silinder, dengan intercooler di depan.

Dari sisi, rim aloi lapan-jejari dari GR Yaris diterapkan. Bahagian fender juga lebih lebar, selari dengan khabar angin yang mengatakan versi GR ini 20 mm lebih lebar berbanding Corolla biasa. Diffuser besar di belakang dengan muncung ekzos berkembar juga diambil dari GR Yaris.

Toyota GR Corolla hatchback AWD dalam imej <em>render</em>

GR Corolla yang sebenar nanti sepatutnya memiliki kuasa yang lebih tinggi juga untuk mengimbangi penampilan garangnya ini. Enjin pada GR Yaris menghasilkan 272 PS dan 370 Nm di Jepun (untuk pasaran lain termasuk Malaysia, ia lebih rendah dengan output 261 PS dan 360 Nm).

Malangnya, Corolla yang lebih besar ini dijangka tidak akan menerima peningkatan kuasa itu, menjadikannya sedikit kurang dari aspek prestasi jika dibandingkan dengan Civic Type R. Harapannya talaan sistem pacuan semua roda Yaris, yang boleh menghantar sehingga 70% tork ke roda belakang, akan dapat memberikan kelebihan. Kotak gear manual enam-kelajuan dijangka kekal ditawarkan.

Menarik juga, GR Corolla ini turut akan dilanjutkan rekaannya kepada versi Touring wagon, yang akan menjadi berita gembira bagi peminatnya. Apa pun, itu kita tunggi di lain waktu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required