Pulau Pinang mahu bina litar lumba – lebih tumpu untuk kegunaan pelumba akar umbi di Batu Kawan

Pulau Pinang mahu bina litar lumba – lebih tumpu untuk kegunaan pelumba akar umbi di Batu Kawan

Baru-baru ini, kerajaan negeri Kedah telah mengesahkan bahawa sebuah litar lumba bertaraf antarabangsa bakal di bina di Pulau Langkawi. Perjanjian untuk membangunkan fasiliti yang turut menampilkan resort bersepadu, termasuk hartanah kediaman mewah, outlet jualan jenama-jenama mewah, hotel lima-bintang, berberapa pengedar automobil yang lengkap dengan fasiliti 4S, fasiliti simpanan 900 unit kereta, stesen minyak dan restoran-restoran terkemuka dunia telahpun ditandatangani.

Dan sekarang, negeri jiran Kedah iaitu Pulau Pinang turut mengumumkan bahawa mereka juga berminat untuk membangunkan satu lagi litar lumba. Tapak untuk membina fasiliti tersebut sudahpun dipilih iaitu di Batu Kawan, di atas tanah berkeluasan 2.8 hektar terletak di sebelah timur kompleks stadium negeri, pinggir Sungai Jawi.

“Kerajaan negeri berhasrat untuk membina litar perlumbaan yang kondusif bagi melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan permotoran. Ia adalah antara projek yang telah disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika Pilihanraya Umum ke-14 dan akan mengubah kawasan berkenaan kepada Bandar Sukan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Penang, Soon Lip Chee dalam laporan The Star.

Pulau Pinang mahu bina litar lumba – lebih tumpu untuk kegunaan pelumba akar umbi di Batu Kawan

Katanya lagi kerajaan negeri menerusi Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang sudah pun membuka permohonan kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk pembinaan fasiliti tersebut pada 17 Mei 2021 dan ditutup pada Selasa lalu, namun tarikh tutup tersebut mungkin akan dipanjangkan lagi.

Permohonan-permohonan yang dihantar mestilah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), seperti infrastruktur bagi penonton, ruang parkir dan juga pejabat-pejabat pentadbiran.

“Litar perlumbaan ini akan digunakan untuk acara dan pertandingan pada peringkat nasional dan antarabangsa. Ini akan merangsang pertumbuhan Pulau Pinang,” katanya lagi dan menyatakan bahawa Pulau Pinang mempunyai ramai peminat sukan permotoran yang berbakat tetapi mereka tidak diberikan peluang untuk membangun kerana tidak ada litar lumba sebenar.

Pulau Pinang mahu bina litar lumba – lebih tumpu untuk kegunaan pelumba akar umbi di Batu Kawan

“Litar ini akan berfungsi sebagai ruang kekal untuk orang awam berlumba secara sah tanpa membahayakan orang lain di jalan raya awam. Perlumbaan boleh dibuat untuk motosikal dan juga kenderaan bermotor lain, bergantung kepada rekaan litar. Kami berharap untuk menyiapkan projek ini dalam masa tiga tahun. Projek ini akan dibangunkan sepenuhnya dengan dana sektor swasta,” tambahnya lagi.

Buat masa sekarang, kawasan sekitar tempat parkir Stadium Batu Kawan sudah pun dibuat sebagai litar sementara bagi menganjurkan perlumbaan seperti Cub Prix dan juga Toyota Gazoo Racing Vios Challenge. Jadi litar yang akan dibangunkan ini mungkin akan menampilkan fungsi yang hampir sama iaitu untuk kegunaan perlumbaan peringkat akar umbi, berbeza dengan litar yang akan dibangunkan di Langkawi yang jauh lebih mewah.

Jika benar ia dapat direalisasikan, projek litar lumba di Pulau Pinang ini adalah lebih dekat untuk kegunaan rakyat biasa, berbanding fasiliti mewah di Langkawi. Selain dari perlumbaan, litar di Batu Kawan ini boleh menjadi alternatif kepada litar Sepang untuk dijadikan tapak untuk acara pelancaran model-model baharu dan juga untuk latihan pelumba-pelumba tempatan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required