Subaru America telah mengumumkan harga dan peningkatan untuk Impreza 2022, yang akan terus ditawarkan dalam bentuk sedan dan hatchback. Ia ditawarkan dengan empat kemasan – Base, Premium, Sport dan Limited, dengan versi yang terakhir hanya eksklusif untuk hatchback.

Satu-satunya ciri pengayaan yang mengalami perubahan ialah ia diberikan warna baharu, Sapphire Blue Pearl, yang ditawarkan untuk semua kemasan, ciri lain masih kekal seperti model facelift yang diperkenalkan pada 2019. Bergantung pada pemilihan kemasan, ciri dalaman Impreza ditawarkan sama ada upholstery hitam atau ivory, dengan varian Limited dapat lebih banyak ciri stardard termasuk tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa enam-cara, kawalan suhu automatik, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, sistem infotainmen Starlink lapan-inci.

Ciri kelengkapan EyeSight pula diberikan secara standard dengan Lineartronic CVT, dan Limited menerima sistem tambahan seperti brek automatik undur, pengesan titik buta dengan bantuan kekal lorong dan kepekaan trafik lintasan-belakang, bantuan lampu tinggi dan lampu utama dengan fungci tindakbalas stereng.

Kuasa disalurkan dari enjin 2.0 liter empat-silinderboxer dengan hamburan 152 hp (154 PS) dan tork 197 Nm, dengan pacuan semua-roda secara standard. Transmisi manual lima-kelajuan turut ditawarkan untuk versi sedan Base, dan hatchback Base dan Sport, serta Premium dan yang lain-lain diberikan CVT.

Harga masih tidak berubah, sama dengan model tahun sebelum ini, bermula dari USD18,795 (RM77,990) untuk sedan Base. Manakala hatchback Limited berharga USD26,395 (RM109,526), sebelum ditambah dengan ciri pilihan lain.