Mula ditunjukkan sebagai sebuah model konsep September tahun lepas, kini Infiniti QX60 didedahkan secara rasmi kepada dunia. Menggantikan model yang sudah berusia hampir 10 tahun, SUV tiga baris tempat duduk ini menampilkan gaya lebih elegan, dalam lebih premium serta pelbagai teknologi tambahan.
Bentuk luarannya kebanyakan besarnya sama seperti model konsep, berserta gril unik yang dikatakan mendapat inspirasi daripada seni origami. Bahagian lain juga ada yang menggunakan konsep budaya Jepun, seperti lampu LED-nya, yang diberitahu mendapat inspirasi daripada lipatan kimono.
Bukan setakat bahagian depan, bahagian belakang juga keseluruhannya sama seperti model konsep QX60 Monograph, termasuklah bentuk dan nyalaan lampu, serta kemasan krom di bahagian bawah bampar dengan bentuk seperti muncung ekzos di bucunya. Warna unit di dalam gambar ini dipanggil sebagai Moonbow Blue dan rim 20 inci disediakan untuk kebanyakan varian SUV ini.
Semasa model konsep muncul, bahagian dalamnya langsung tidak didedah, dan kini hasilnya seperti yang boleh dilihat, adalah jauh berbeza berbanding model sebelumnya. Aspek NVH juga diperelok dengan tambahan bahan penebat bunyi di merata bahagian.
Sekali imbas, anda boleh melihat banyak bahagian menggunakan bahan yang lembut disentuh, termasuklah kulit semi-aniline Saddle Brown pada pintu, papan pemuka serta konsol tengah. Bagi varian Autograph, balutan kulitnya menggunakan jahitan bersilang dan dipadankan bersama kemasan kayu untuk memberikan suasana lebih mewah.
Tempat duduk “Zero Gravity” dengan larasan kuasa serta fungsi pemanas diberikan terus untuk yang duduk di hadapan, dan ia kemudiannya boleh dinaik taraf kepada fungsi mengurut dan berliang udara. Penumpang baris kedua dan ketiga mendapat tempat duduk ergonomik yang dikatakan lebih selesa dan menawarkan lebih ruang berbanding model sebelumnya.
SUV ini boleh dinaiki sehingga tujuh orang dengan tetapan tempat duduk 2-2-3, dan varian Autograph datang standard dengan tempat duduk kapten serta konsol tengah bagi baris kedua. Setiap baris tempat duduk juga mempunyai pengecas USB, dengan keseluruhannya ada tujuh.
Memandangkan sasaran utama SUV ini adalah keluarga, bahagian kargo juga dipertingkat. Apabila tempat duduk baris ketiga dilipat rata, ia menyediakan 1,178 liter kapasiti ruang, yang mana adalah lebih besar berbanding 1,417 liter pada model sebelumnya. Ruang simpanan bawah lantai juga bertambah besar 21 liter, menjadi 54.1 liter.
Infiniti turut memberitahu, penumpang boleh masuk ke tempat duduk baris ketiga dengan lebih mudah kerana baris kedua boleh dilipat dan digerakkan ke hadapan dengan menekan satu butang sahaja. Kawalan pendingin hawa tiga zon dengan corong di setiap baris adalah standard, dan ia boleh dinaik taraf dengan ioniser Plasmacluster berserta penapis polyphenol charcoal.
Di hadapan pemandu terdapat panel digital 12.3 inci dan ia kemudiannya boleh ditambah dengan head-up display 10.8 inci. Di tengah pula terdapat sistem infotainmen InTouch dengan skrin sesentuh 12.3 inci yang boleh disambung dengan Android Auto serta Apple CarPlay. Pada varian yang lebih tinggi, pembeli akan mendapat pad mengecas tanpa wayar yang cukup besar untuk menempatkan iPhone 12 Pro Max, serta sistem bunyi 17 pembesar suara Bose.
Ciri keselamatan aktif seperti Rear Automatic Braking, Predictive Forward Collision Warning, dan Forward Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki diberikan standard pada semua varian QX60 sementara Adaptive Front Lighting dan Auto-Leveling Headlights disediakan untuk varian yang lebih tinggi.
Walaupun banyak bahagian yang baru pada QX60 ini, enjinnya masih lagi sama, iaitu unit petrol V6 3.5 liter NA yang mampu menghasilkan kuasa 295 hp dan 366 Nm tork. Transmisi CVT sebelum ini bagaimanapun telah diganti dengan unit automatik sembilan kelajuan.
Kuasa pacuan disampaikan kepada roda hadapan dalam keadaan standard, tetapi semua varian diberikan pilihan pacuan semua roda Intelligent All-Wheel Drive. Sistem AWD ini menggunakan mekanisme penyambung terus yang lebih pantas menghantarkan kuasa kepada roda belakang.
Melalui tetapan ini, QX60 boleh menarik sehingga 2,721 kg beban, dan ini merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding model sebelumnya. Ia juga datang dengan Active Brake Limited Slip yang boleh membrek setiap roda secara berasingan demi memberikan lebih tork kepada roda yang memerlukan cengkaman.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.