November tahun lepas, MINI pernah menunjukkan secara digital sebuah kenderaan konsep masa hadapan yang dipanggil sebagai MINI Vision Urbanaut. Kini model saiz sebenar sudah siap dan sedikit perincian awalnya didedah sebelum ditunjukkan kepada umum 1 Julai nanti.
Panjang keseluruhan van elektrik penuh ini adalah 4.46 meter, bersamaan 200 mm lebih panjang berbanding Volkswagen Kombi. Bahagian dalamnya pula menggunakan rekaan moden, tidak berserabut dan menyediakan ruang luas supaya pengguna dapat bersantai di dalamnya, tidak kiralah waktu bergerak atau tidak.
Untuk membantu memberi lebih ketenangan, MINI juga telah menyediakan beberapa profail bunyi alam sekitar istimewa pada van ini. Menurut pengarah bunyi kreatif MINI, Renzo Vitale, anda boleh memilih profail Chill, Vibe atau Wanderlust, dengan Chill menyediakan bunyi seperti di dalam hutan, air mengalir dan pelbagai lagi.
Vibe pula menjadikan kereta lebih meriah, dengan muzik yang bertenaga serta paparan grafik equaliser pada bahagian depan, belakang dan roda kenderaan. Wanderlust pula lebih sesuai untuk perjalanan jauh supaya pengguna dapat lebih menikmatinya.
Bahagian papan pemuka kenderaan ini mempunyai dua fungsi. Apabila memandu, tingginya akan dinaikkan dan roda stereng dipanjangkan secara elektronik supaya mudah dicapai. Apabila tidak dipandu, papan pemuka boleh berubah bentuk dan dijadikan sebagai katil atau bangku. Panel instrumen OLED pula boleh diubah menjadi lampu dan hiasan meja.
Kebanyakan bahan yang digunakan dalam kenderaan ini adalah bahan mesra alam dan boleh dikitar semula. Antara yang banyak digunakan adalah kain kitar semula daripada wool, polyester dan Tencel. Pereka yang terlibat juga memberi banyak fokus kepada “bahan mono” supaya ia mudah dikitar semula apabila tidak digunakan lagi pada kenderaan ini.


MINI Convertible
dari RM 318,888
MINI 5 Door
dari RM 293,888
MINI Aceman
dari RM 213,888
MINI Electric
dari RM 193,888
MINI 3 Door
dari RM 279,888
MINI Countryman
dari RM 258,888