Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

Perkenalkan wajah korporat baru bagi barisan kenderaan elektrik akan datang oleh Volvo. Volvo Concept Recharge telah diumumkan ketika persidangan Tech Moment yang julung kalinya diadakan, yang menyentuh tentang beberapa teknologi dan ciri utama yang dirancang akan dilaksanakan pada kenderaan keluarannya bagi tempoh beberapa tahun ke depan.

Paling penting, Concept Recharge merupakan model flagship terbaru yang dirancang pengenalannya tahun depan. SUV berkenaan, seperti yang dirujuk oleh pengeluarnya, akan menggunakan asas platform serba baru, walaupun perincian lainnya masih belum didedahkan. Ia juga tidak akan dikenali dengan nama seperti XC90 atau XC100, kerana Volvo akan menerapkan kaedah nama yang lain untuk model-model akan datang.

Melihat gambar Concept Recharge ini, ia sebuah SUV yang nampak meyakinkan. Tanpa enjin dan kedudukan pek bateri dialih ke bahagian lantai bawah, Volvo berhasil memanjangkan jarak antara rodanya, merendahkan garis bumbung dan mengurangkan ketinggian bonet juga. Tiang A juga lebih condong, semuanya bertujuan untuk menghasilkan permukaan paling lancar untuk aliran udara.

Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

Antara sentuhan rekaan lain termasuk overhang depan dan belakang yang lebih pendek, bahagian belakang yang hampir vertikal, roda besar dengan pelindung aero dan sudah tentu, lampu utama LED Thor’s Hammer. Ia kini lebih tirus, dan ada pemisah antara DRL dari elemen lampu utamanya yang diperbuat daripada teknologi definisi tinggi terkini Volvo. Gril depan tertutup sepenuhnya, dan terletak logo Iron Mark.

Meneruskan pendekatan “less is better”, lampu belakang vertikal Concept Recharge adalah lebih kurus daripada yang pernah ada. Ada juga elemen “sayap” yang akan naik pada kelajuan melayar yang lebih tinggi untuk memperbaiki aerodinamik keseluruhan.

Rekaan kabin juga baru, dengan kokpit direka sedemikian rupa untuk tidak mengganggu perhatian pemandu dengan pelbagai maklumat. Sebab itu ia hanya menggunakan paparan instrumen yang kurus. Hanya maklumat penting sahaja dipaparkan, seperti kelajuan, tunjuk arah dan tahap cas bateri — selebihnya dikeluarkan, tetapi masih boleh dilihat melalui paparan terapung head-up display.

Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

Di tengah ada paparan skrin sentuh besar bersaiz 15-inci. Ia dikuasakan oleh Android Automotive OS dengan Google Assistant, Google Maps dan Google Play tersedia. Perisian itu akan menggunakan visual VolvoCars.OS terbaru, yang menampilkan antaramuka yang lebih ringkas yang lebih intuitif berbanding sebelumnya. Aplikasi telefon pintar khas juga akan membuatkan semua pengalaman ini lebih mudah.

Ada banyak meterial semula jadi digunakan sebagai perincian untuk ruang kabin ini. Tidak ketinggalan lampu LED untuk di bawah papan pemuka dan bahagian pintu, untuk menerbitkan suasana mood yang pelbagai. Lantai yang rata memberikan lebih banyak ruang untuk penumpang. Seperti SUV semasa Volvo, tempat duduk belakang kedudukannya lebih tinggi untuk memberikan penglihatan lebih baik kepada penumpang.

Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

Seperti dilaporkan sebelum ini, model flagship terbaru akan menggunakan sensor LiDAR sebagai standard untuk semua varian. Sistem pengimejan tepat ini dibangunkan oleh Luminar berfungsi dalam kadar sangat pantas berbanding sistem kamera stereo biasa, yang menurut Volvo akan membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa. Ini yang pertama dalam industri, dan sistem LiDAR ini menelan kos US$1,000 satu.

Ini digabungkan pula dengan sistem-atas-chip Nvidia Drive Orin, akan membolehkan automasi pada tahap yang lebih tinggi (Highway Pilot). Bahkan, sistem pemanduan sendiri ini boleh dikemaskini dengan cara over-the-air, lebih mudah. Ia juga lebih selamat daripada serangan siber, jadi pengguna tidak perlu risau kenderaan pandu-sendiri mereka dicuri oleh hacker, misalnya. Bagaimanapun, Highway Pilot hanya boleh digunakan di tempat ia dibenarkan sahaja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required