BMW 2 Series Coupe G42 diperkenal – tiga pilihan enjin, M240i xDrive mampu hasilkan 374 hp, 500 Nm

BMW 2 Series Coupe G42 diperkenal – tiga pilihan enjin, M240i xDrive mampu hasilkan 374 hp, 500 Nm

Selepas muncul dalam teaser dan spyshot, BMW 2 Series Coupe G42 akhirnya didedahkan secara rasmi kepada dunia. Model serba baru ini menggunakan platform Cluster Architecture (CLAR) dan badannya menjadi lebih besar tetapi rendah, berbanding model generasi sebelumnya.

Panjang keseluruhan bertambah 105 mm, lebar bertambah 64 mm, jarak roda bertambah 51 mm, sementara tinggi pula berkurangan 28 mm. Jarak antara roda kiri dan kanan juga bertambah, iaitu 54 mm di hadapan dan 31 mm di belakang, sementara bagi varian M240i xDrive ia lebih lebar iaitu masing-masing 63 mm dan 35 mm.

Dalam keadaan standard, casis model generasi G42 ini menggunakan suspensi two-joint strut di hadapan, sementara di belakang mengunakan tetapan five-link, bersama padanan sistem stereng kuasa elektrik Servotronic. Jika mahukan yang lebih baik, pemilik diberikan pilihan suspensi M Sport, serta sistem stereng sport.

BMW 2 Series Coupe G42 diperkenal – tiga pilihan enjin, M240i xDrive mampu hasilkan 374 hp, 500 Nm

Varian M240i xDrive yang terletak di atas mempunyai kelengkapan lebih mantap, seperti suspensi M Sport, tambahan axle strut di hadapan, brek M Sport serta differential belakang M Sport. Kemudiannya, pelanggan diberikan pilihan untuk menaik taraf kepada penyerap adaptif. Rim bersaiz 17 inci diberikan standard, namun varian M Sport mendapat unit 18 inci M sementara M240i xDrive mendapat unit 19 inci.

Semasa pelancaran awal ini, varian paling tinggi yang diperkenalkan adalah M240i xDrive, yang menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter, bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic untuk menghantar 374 hp pada 5,500 hingga 6,500 rpm, dan 500 Nm tork pada 1,900 hingga 5,000 rpm kepada semua tayar. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.3 saat, sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.

Ia kemudiannya disertai 220i Coupe, yang digerakkan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo berkemampuan 184 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm tork antara 1,350 hingga 4,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan. Satu lagi varian yang menggunakan enjin petrol empat silinder, iaitu 230i akan tiba pada tahun depan.

Bagi model baru ini juga masih ada versi diesel, iaitu 220d, di mana ia mampu menghasilkan kuasa 190 hp pada 4,000 rpm dan 400 Nm tork pada 1,750 hingga 2,500 rpm. Sama seperti versi petrol, 220d ini juga menggunakan transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan.

Dengan saiz luaran yang bertambah, bahagian dalam juga menjadi lebih luas. Bahagian but contohnya, menyediakan tambahan 20 liter ruang simpanan, menjadikan keseluruhannya 390 liter. Tempat memasukkan barang juga dibuat 35 mm lebih rendah demi memudahkan pengguna.

Selain daripada gaya yang diubah, gril hadapan 2 Series G42 ini juga mempunyai jalur menegak aktif yang boleh dibuka dan ditutup secara elektronik untuk menyampaikan angin kepada enjin. Pada bucu bampar terdapat bukaan udara berbentuk segi tiga dan pada M240i xDrive, ia adalah lebih besar.

BMW 2 Series Coupe G42 diperkenal – tiga pilihan enjin, M240i xDrive mampu hasilkan 374 hp, 500 Nm

Untuk bahagian dalam, kemasan standard yang diberi adalah kombinasi fabrik hitam dengan Sensatec, serta roda stereng yang dibalut dengan kulit. Balutan kulit Vernasca disediakan sebagai pilihan tambahan apabila mengambil tempat duduk sport, dan ia boleh didapati dalam empat warna. Turut disediakan adalah piihan tempat duduk M Sport yang dibalut kulit (dua pilihan warna).

Pada bahagian keselamatan, 2 Series G42 mendapat amaran perlanggaran hadapan, informasi had laju, amaran keluar lorong serta cruise control dengan fungsi membrek secara standard. Ia kemudiannya boleh ditambah dengan amaran trafik dari belakang, cruise control aktif dengan fungsi stop and go, bantuan undur, kamera undur, pandangan 3D, head-up display dan BMW Drive Recorder.

Sistem infotainmen 2 Series baru ini dikawal oleh BMW Operating System 7 dan dipaparkan melalui skrin 8.8 inci serta panel instrumen 5.1 inci berwarna yang menjadi sebahagian daripada BMW Live Cockpit. Sebagai pilihan tambahan, pemilik boleh mendapatkan BMW Live Cockpit Professional yang terdiri daripada panel instrumen digital 12.3 inci serta panel paparan 10.25 inci di tengah.

GALERI: BMW 220i G42

GALERI: BMW M240i xDrive G42

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required