Gangguan bekalan cip semikonduktor menjadi hadangan utama bagi banyak industri sejak penularan pandemik Covid-19, termasuklah turut memberi kesan kepada industri automotif, menyebabkan pengeluar kenderaan baru terganggu kerana kekurangan bekalan.

BMW sebelum ini memaklumkan pihaknya tidak mengharapkan masalah berkenaan dapat diatasi dalam masa terdekat, sekaligus memberi gambaran bahawa gangguan bekalan ini akan kekal untuk separuh kedua tahun 2021. Kini, CEO Renault, Luca de Meo pula berkongsi pandangan yang sama, dengan mendedahkan bahawa beliau menjangkakan masalah itu akan berterusan hingga tahun depan.

Memetik laporan Automotive News Europe, beliau berkata dalam sesi pendengaran di parlimen Perancis bahawa gangguan bekalan itu “merupakan masalah struktural yang akan berlangsung hingga 2022.” “Tetap akan berlaku ketegangan dalam sistem walaupun kapasiti pengeluaran kembali pulih.”

Pengeluar kenderaan Perancis itu masih di dalam fasa pengurangan jumlah pengeluaran, tetapi de Mateo menjelaskan perkara yang lebih mengecawakan ialah keadaan industri yang tidak konsisten, dengan prospek bekalan “berubah setiap minggu”. Dalam situasi ini, beliau menjangkakan pengeluaran Renault tahun ini akan menurun sebanyak 100,000 unit.

Kekurangan cip semikonduktor berlaku kerana lonjakan permintaan daripada pelanggan terhadap peranti elektronik sepanjang lockdown pandemik Covid-19 di banyak negara. Ini tidak hanya memberi kesan kepada penurunan pengeluaran kenderaan dan tempoh menunggu yang lama, bahkan kesan sama turut dirasakan oleh pengeluara peranti elektronik lainnya.