Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

Selepas teaser dengan imej luaran tanpa sebarang penyamaran disiarkan bulan lalu, kini sedan berprestasi tinggi dari Korea, Hyundai Elantra N didedahkan sepenuhnya untuk peringkat global. Sedan pertama dalam barisan model N sebenar Hyundai ini bukan hanya menerima enjin yang lebih berkuasa, malah menerima pelbagai tingkat taraf casis yang ekstensif berbanding Elantra standard.

Seperti juga hot-hatch i30 N dan Veloster N, serta hot-SUV Kona N, Elantra N menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan terus yang menghasilkan 280 PS dan tork maksima 392 Nm. Berbanding enjin sebelum ini, ia menerima pengecas turbo dengan kipas turbin 5 mm lebih besar iaitu 52-mm, bersama bentuk dan material pada lock silinder yang dioptimakan.

Ini membolehkan enjin tersebut bukan sahaja lebih tahan, malah memberikan prestasi lebih baik dengan membekalkan tork maksima dengan lengkuk rata bermula 5,500 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT lapan-kelajuan, dan pada pasaran tertentu ia masih menerima pilihan kotak gear enam-kelajuan manual.

Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

Model yang dilengkapi kotak gear DCT turut diberikan fungsi N Grin Shift (NGS) yang memberikan lebih tujahan boost selama 20 saat dengan satu sentuhan butang bagi menghasilkan kuasa maksima 290 PS. Dengan sistem Launch Control, ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 250 km/j. Manakala untuk model manual, ia diberikan mod rev-match automatik membolehkan gear diturunkan dengan agresif tanpa memerlukan kemahiran heel & toe.

Seperti juga i30 N, Elantra menerima e-LSD pada kotak gear bagi membolehkan kedua-dua roda hadapan ‘mengigit’ permukaan tar dengan lebih cengkaman ketika mengambil selekoh bagi mengurangkan understeer. Buat pertama kali, struktur Integrated Drive Axle (IDA) yang direka pada kereta rali Hyundai i20 WRC dipindahkan ke model produksi jalan raya menerusi Elantra N ini.

Menerusi IDA, komponen yang terdiri dari drive shaft, hab roda dan galas roda dihasilkan secara bersepadu, serta menampilkan knuckle yang diperbuat daripada aluminium. Ini membolehkan bukan sahaja ia 1.7 kg lebih ringan, malah boleh menahan g-force lateral yang lebih ekstrem, menurut Hyundai.

Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

Sebagai sebuah sedan, Elantra N ini masih dihasilkan bagi membolehkan ia membawa keluarga dengan selesa walaupun berada dalam liga kereta prestasi. Oleh itu selain dari sistem suspensi adaptif yang membolehkan ia ditala untuk memberikan keselesaan, ia juga diberikan bush suspensi hadapan jenis dual compound yang sesuai digunakan sama ada untuk pemanduan prestasi dan juga keselesaan ketika membawa penumpang.

Elantra N bukan hanya menerima kuasa yang lebih besar. Hyundai N memberikan pelbagai ubahsuai bagi membolehkan kerangka badan model berprestasi tinggi ini lebih keras berbanding model biasa bagi memberikan pengendalian dan rasa yang lebih baik.

Antara perkara yang disentuh termasuk gegelang strut empat poin pada bahagian cagak atas suspensi hadapan serta pendakap-pendakap penguat pada subframe hadapan, terowong tengah, tengah dan belakang bawah badan. Satu bar penguat istimewa berwarna merah turut dipasang (boleh dilihat apabila but belakang dibuka) antara cagak suspensi kiri dan kanan untuk menambah ketegaran badan Elantra N ini.

Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

Untuk brek, Elantra N menerima cakera bersaiz 360 mm di hadapan, angkup berwarna merah dengan logo N bersama pad brek geseran tinggi. Plat pelindung di belakang cakera brek tersebut bukan sahaja untuk mengelakkan ia terkena debu dan kotoran lain, malah direka bagi membolehkan udara dialirken ke cakera berkenaan dan disejukkan secara maksimum.

Sedan ini diberikan rim 19-inci dengan rekaan tersendiri, berbeza dari i30 N. Ia juga merupakan model pertama Hyundai N yang diberikan tayar Michelin Pilot Sport 4S dengan saiz 245/35ZR19, berbanding tayar Pirelli P Zero bagi model-model sebelum ini.

Rupa asas Elantra generasi ketujuh ini sebenarnya sudahpun direka garang. Imej agresif tersebut diperkuatkan lagi pada rekaan Elantra N ini menerusi muka yang diilhamkan dari topi keledar perlumbaan, bersama liang udara sisi dan bawah yang lebih besar, skirt sisi dengan diffuser udara, serta bahagian diffuser pada bampar belakang yang lebih menyerlah dan menempatkan dua tip ekzos oval bersaiz besar di kiri dan kanan.

Manakala pada but belakang, ia dilengkapi dengan sayap yang dikenali sebagai ‘3 Brigde Spoiler’. Seperti model-model N penuh lain (kecuali Kona N), Elantra N ini terlebih dahulu tampil dalam warna hero Performance Blue seperti jentera lumba Hyundai Motorsport dalam WRC dan WTCR. Ia juga menerima serlahan merah terang dari spoiler bawah bampar hadapan, melalui skirt sisi, sehingga kemasan diffuser di belakang.

Menurut Hyundai, kit aero pada sedan sport ini bukan hanya untuk cantik, ia juga mampu untuk menambah prestasi dengan mengalirkan udara lebih baik menerusi skirt sisi, manakala spoiler belakang pula memberikan downforce 125% lebih kuat ketika kelajuan maksima, serta dapat mengelakkan bahagian belakang dari terangkat dengan mengelakkan aliran udara melalui bucu belakang, sekaligus memberikan lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

Pada bahagian kabin, rupa asas dari model Elantra biasa masih kelihatan. Model lebih liar ini menerima perincian unik Hyundai N seperti roda stereng, tombol gear dan set pedal sport. Pembeli turut ditawarkan dengan tempat duduk hadapan bucket N dengan emblem bernyala, yang bukan sahaja lebih ringan, malah ia juga membuatkan posisi duduk 10 mm lebih rendah serta memberikan ruang lutut penumpang belakang lebih luas kerana dihasilkan 50 mm lebih nipis.

Hyundai Elantra N didedahkan – sedan prestasi dengan enjin 2.0L Turbo, berkuasa 280 PS/392 Nm!

Pemandu menerima paparan meter digital sepenuhnya yang bukan sahaja memnerikan fungsi asas yang sama seperti Elantra standard, malah diberikan paparan grafik lebih garang bersama tambahan informasi pemanduan prestasi tinggi seperti suhu minyak pelincir dan cecair penyejuk, tork dan boost turbo.

Untuk infotainmen, Elantra N ini menampilkan skrin 10.3-inci. Selain fungsi biasa yang boleh dijumpai pada model Elantra standard seperti hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, skrin tengah ini mempunyai hubungan bersama aplikasi telefon pintar Hyundai N yang mampu memberikan analisis data pemanduan anda di litar serta membuat perbandingan masa setiap lap menerusi N Track Map.

Juga seperti model-model N penuh lain, Elantra N menerima sistem Linear Variable Exhaust Valve yang memberikan bunyi ekzos dari tahap rendah sehingga tahap 100% agresif dengan bunyi tembakan ‘pop & crackle’. Malah menerusi sistem bunyi Bose, ia turut diberikan N Sound Equaliser yang menurut Hyundai memberikan bunyi enjin maya (atau palsu) yang lebih baik dengan empat tetapan iaitu Sport, High Performance, TCR (kereta lumba touring TCR) dan juga Custom.

Walaupun telah didedahkan hampir kesemuanya, Hyundai masih belum mengumumkan harga dan tarikh bila Elantra N ini akan mula dijual. Ia dijangka akan mula ditawarkan di pasaran negara asalnya, Korea Selatan (dikenali sebagai Avante N) terlebih dahulu dan diikuti pasaran pada akhir tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required