Hyundai Elantra N – imej teaser sedan prestasi sebenar tanpa sebarang pelekat penyamaran disiar

Hyundai Elantra N – imej <em>teaser</em> sedan prestasi sebenar tanpa sebarang pelekat penyamaran disiar

September tahun lalu, Hyundai telah menyiarkan sedikit video untuk sedan prestasi mereka, Elantra N pada akhir video pendedahan jentera lumba sebenar Elantra N TCR. Video tersebut memaparkan unit prototaip Elantra N dengan pelekat penyamaran penuh berkenaan keluar dari garaj, serta menyerlahkan bunyi pop & crackle dari ekzos seperti model-model prestasi penuh N yang lain.

Nampaknya tarikh pendedahan penuh untuk Elantra N ini semakin dekat, dan Hyundai baru sahaja menyiarkan imej teaser yang mendedahkan sedikit bahagian belakang dan sisi, serta rim Elantra N ini tanpa sebarang pelekat penyamaran. Tiada sebarang perincian didedahkan, tetapi Hyundai menyifatkan Elantra N ini sebagai “kereta untuk kegunaan setiap hari yang menggabungkan praktikaliti serta ciri sporty yang mengujakan dari kereta lumba pretasi tinggi”.

Seperti model-model N penuh lain (kecuali Kona N), Elantra N ini terlebih dahulu tampil dalam warna hero Performance Blue seperti jentera lumba Hyundai Motorsport dalam WRC dan WTCR. Ia juga menerima serlahan merah terang dari spoiler bawah bampar hadapan, melalui skirt sisi, sehingga kemasan diffuser di belakang.

Hyundai Elantra N – imej <em>teaser</em> sedan prestasi sebenar tanpa sebarang pelekat penyamaran disiar

Imej ini juga mendedahkan Elantra N menerima rim 19-inci bersama tayar Michelin Pilot Sport 4S, angkup brek berwarna merah, tip ekzos oval serta spoiler belakang yang jauh lebih besar dari model standard.

Menurut Hyundai, kit aero sedan sport ini bukan hanya untuk cantik, ia juga mampu untuk menambah prestasi dengan mengalirkan udara lebih baik menerusi skirt sisi, manakala spoiler belakang pula dapat mengelakkan bahagian belakang dari terangkat dengan mengelakkan aliran udara melalui bucu belakang, sekaligus memberikan lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

“Elantra N merupakan sedan prestasi tinggi yang mendedahkan sisi lebih sporty Elantra serba baharu kami menerusi penambahbaikan yang mengujakan jenama N,” kata Till Wartenberg, naib pengerusi pengurusan dan sukan permotoran sub-divisi jenama N di Hyundai Motor Company.

Hyundai Elantra N – imej <em>teaser</em> sedan prestasi sebenar tanpa sebarang pelekat penyamaran disiar

“Kami hasilkan ia untuk menjadi kereta sport yang dibuktikan dalam perlumbaan dengan kemampuan pemanduan dinamik serta gaya yang peminat prestasi sukakan. Saya tak sabar untuk mendedahkan Elantra N, tambahan kepada barisan model jenama N yang menawarkan prestasi berdenyut. Nantikan pendedahan sulungnya untuk peringkat dunia secara digital,” tambahnya lagi.

Model ini diasaskan dari Elantra generasi ketujuh yang diperkenalkan pada Mac tahun lalu. Sedan ini dijangka akan menerima unit penjana yang sama seperti jentera N yang lain. Untuk model terkini dan juga versi-versi facelift Hyundai N, versi dengan Performance Package menerima enjin 2.0 liter turbo yang ditala bagi menghasilkan 280 PS/392 Nm.

Jika sebelum ini model-model prestasi N hanya diberikan kotak gear manual enam-kelajuan, versi kemaskini terbaharu turut menampilkan pilihan transmisi klac berkembar automatik DCT lapan-kelajuan. Ia masih menerima kelengkapan prestasi tinggi lain seperti e-LSD dan juga suspensi jenis adaptif, dan kuasa dari enjin hanya memacu roda hadapan.

Hyundai turut mengumumkan perincian lebih lanjut akan didedahkan dalam masa berberapa minggu lagi.

GALERI: Spyshot unit prototaip Hyundai Elantra N yang sedang diuji

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required