Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

Setelah berberapa teaser disiarkan, ini dia, SUV kompak berprestasi tinggi Hyundai Kona N secara rasminya didedahkan! Menurut Hyundai, Kona N merupakan ‘Hot SUV sebenar’ pertama yang menggabungkan kebolehan beraksi di litar bersama sifat serba boleh sebuah kenderaan pelbagai guna.

Kona N merupakan juga SUV pertama yang menerima sentuhan penuh sayap perlumbaan Hyundai N selepas hot-hatch i30 N, Veloster N dan i20 N. Seperti anda boleh lihat, gambar yang disertakan pada pendedahan ini menunjukkan Kona N beraksi di Litar Nurburgring, tempat model-model N Hyundai diuji dan ditala.

“Kona N merupakan hot SUV sebenar dengan tahap prestasi sama seperti hot-hatch. Ia memecahkan tradisi SUV yang dianggap kurang menyeronokkan untuk dipandu. Sebagai model N, ia melangkaui had SUV biasa. Kona N boleh dibelasah pada selekoh di litar lumba dan memberikan keseronokan pemanduan seharian,” kata Albert Biermann, presiden dan ketua R&D Hyundai.

Sama seperti i30 N facelift dengan Performance Package yang diperkenalkan tahun lalu, Kona N menerima enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 280 PS dan tork maksima 392 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik N DCT klac berkembar lapan-kelajuan jenis basah, memacu hanya roda hadapan.

Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

Transmisi N DCT berkenaan adalah versi yang ditingkat taraf dari kotak gear 8DCT yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai. Ia dihasilkan untuk digunakan pada model-model berprestasi N penuh, menampilkan ketahanan yang lebih kuat, nisbah gear unik dan juga unit kawalan komputer yang ditala untuk N bagi memberikan tukaran lebih pantas.

Gandingan enjin dan kotak gear ini juga diberikan mod pemanduan seperti N Grin Shift (NGS), N Power Shift (NPS) dan N Track Sense Shift (NTS). Dengan mod NGS, pemandu akan diberikan kuasa tambahan 10 PS dengan hanya menekan satu butang merah pada roda stereng bagi mendapatkan kuasa keseluruhan 290 PS. Manakala dengan sistem Launch Control, Hyundai Kona N mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 240 km/j.

Tipikal sebuah jentera N, Kona N ini juga menerima casis yang ditingkat taraf dari Kona biasa. Badan SUV ini diberikan titik-titik kimpalan yang lebih banyak, struktur gegelang topang yang dipertingkat dan juga kerangka yang diperkuat bagi memberikan casis yang lebih keras serta mengurangkan olengan badan.

Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

Ia juga diberikan LSD elektronik yang digelar N Corner Carving Differential, untuk cengkaman roda hadapan lebih baik ketika mengambil selekoh, bersama rim aloi forged 19-inci lebih ringan dan tayar berprestasi, serta set brek lebih besar dengan angkup merah menyerlahkan logo N.

Menurut Hyundai, Kona N untuk varian asas datang standard dengan Launch Control, Sistem Ekzos Bervariasi, dan juga N Grin Control System – sistem terakhir yang diberitahu tersebut menawarkan lima mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, N, Custom) yang akan melaras semula parameter operasi untuk enjin, kawalan kestabilan elektronik, bunyi ekzos dan juga stereng.

Untuk kabin, Hyundai menyifatkan Kona N diberikan kokpit “pengalaman permainan video dalam dunia nyata” menampilkan skrin 10-inci untuk sistem infotainmen dan kluster instrumen digital dengan “paparan head-up perlumbaan” yang ditambah dimensi seperti dalam permainan video dalam mod N dan Sport. Mod N direka bagi memberikan elemen yang didigitalkan serta memberikan informasi seperti masa satu pusingan lap di litar, peta litar N yang memberitahu kedudukan kereta dalam litar.

Hyundai Kona N – ‘Hot SUV’ berkuasa 280 PS/392 Nm, 0-100 km/j 5.5 saat, diberi talaan untuk litar lumba!

Kona N juga menampilkan butang N yang boleh diatur sendiri oleh pemandu sebagai ciri tambahan, yang boleh dibuat menerusi mod toggle custom. Mod ini boleh dipra-tetap mengikut kemahuan pemandu. Butang-butang tersebut turut boleh menghidupkan dan mematikan pemasa lap. Bagi Kona N pasaran Eropah, ia turut diberikan fungsi N Road Sense, yang akan secara automatik mensarankan mod N diaktifkan apabila mengesan papan tanda jalan berliku – jahat betul dia punya hasutan.

Bagi rupa pula, Kona N menampilkan penggayaan yang hampir sama seperti Kona N-Line (yang bakal dilancarkan di Malaysia). Rupa lebih garang SUV ini disumbangkan oleh gril sarang lebah yang lebih lebar bersama logo N, jalur serlahan merah pada skirt sisi bersama lencana N dan juga diffuser belakang yang juga lebih agresif bersama dua tip ekzos lebih besar.

Bahagian atas pintu tailgate belakang Kona N ini menerima spoiler bumbung dengan dua sayap, bersama lampu brek tiga segi yang bersepadu. Kona N juga merupakan model pertama yang diperkenalkan dengan warna badan Sonic Blue, iaitu satu lagi warna istimewa untuk divisi N Hyundai selain warna rasmi mereka, Performance Blue. Hyundai N menyatakan warna tersebut adalah “prebiu untuk pengembangan model SUV” mereka – macam petunjuk untuk Tucson N pula kan?

Seperti model N lain, kabin Kona N ini juga menampilkan serlahan-serlahan warna Performance Blue, lencana-lencana N, serta perincian unik N termasuk tempat duduk sport, roda stereng, tombol gear dan set pedal aloi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required