Hyundai Kona facelift tiba di Malaysia – dua varian 2.0L NA CVT, harga antara RM120k hingga RM137k

Hyundai Kona facelift tiba di Malaysia – dua varian 2.0L NA CVT, harga antara RM120k hingga RM137k

Tidak sampai enam bulan Hyundai Kona diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, kini Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) melancarkan pula versi facelift. Melalui model baru ini, HSDM mula mengambil langkah yang agresif kerana Malaysia menerima crossover segmen B ini agak cepat.

Dua varian dilancarkan iaitu varian asas pada harga RM119,888 tidak termasuk insurans, dan 2.0 Active RM136,888. Harga ini masing-masing adalah RM4,000 dan RM2,000 lebih murah berbanding harga tahun 2021 yang ditetapkan untuk model sebelumnya.

Model ini diimport sepenuhnya dari Korea dan harga yang ditetapkan sudah mengambil kira pengurangan cukai SST sebanyak 50% yang diberikan kerajaan sehingga bulan Jun ini, dan diberikan bersama jaminan lima tahun atau 300,000 km dan pakej servis percuma tiga tahun atau 50,000 km.

Berbeza berbanding model sebelum ini, Kona facelift cuma ditawarkan dalam satu pilihan enjin sahaja iaitu unit empat silinder 2.0 liter Nu MPI Atkinson-cycle yang menghasilkan kuasa 149 PS pada 6,200 rpm dan 180 Nm tork pada 4,500 rpm. Kotak gear pula telah diganti dengan unit CVT yang dipanggil sebagai Intelligent Variable Transmission (iVT), daripada unit automatik enam kelajuan sebelum ini.

Facelift pertama bagi Kona ini boleh dianggap besar kerana melibatkan banyak perubahan luar dan dalam. Keseluruhan bahagian depannya telah ditukar, dengan kemasan badan warna kontras pada keliling badan (hitam untuk 2.0 dan kelabu untuk Active), gril lebih nipis, logo Hyundai dibawa ke atas, skid plate silver berbentuk U serta lampu DRL atas yang lebih nipis.

Pada varian Active, DRL ini juga bertindak sebagai penunjuk arah, sekaligus memberikan lebih ruang kosong di bawah untuk lampu utama jenis LED penuh yang mempunyai rekaan dalam seperti sisik (model asas menggunakan halogen). Konsep rekaan yang sama turut digunakan pada bahagian belakang dengan varian Active mendapat unit lampu LED sementara varian asas menggunakan jenis halogen. Rekaan rim juga diubah (17 inci untuk 2.0 dan 18 inci untuk Active).

Hyundai Kona facelift tiba di Malaysia – dua varian 2.0L NA CVT, harga antara RM120k hingga RM137k

Pada bahagian dalam, Kona facelift mendapat konsol tengah yang direka semula lebih tinggi serta brek parkir elektronik, sekaligus memberikan lebih ruang untuk tempat simpanan barang di belakangnya. Corong pendingin hawa juga adalah baru, dengan mempunyai kemasan aluminium di sekelilingnya, jalur yang direka semula dan bentuk bulat di hujung.

Bagi pilihan warna, untuk varian Active, anda disediakan dengan warna badan luar Surfy Blue, Misty Jungle (kelabu) dan Ignite Flame (merah) bersama balutan kulit hitam di dalam, atau warna badan Dive In Jeju (biru) dan Dark Knight (kelabu) yang datang dengan balutan kulit dalam berwarna putih, bersama kemasan merah.

Model 2.0 asas pula menggunakan balutan fabrik hitam, berserta pilihan warna yang sama seperti sebelum ini, termasuk Chalk White, Pulse Red, Galactic Grey dan Surfy Blue. Perlu diketahui juga bahawa cuma varian Active sahaja yang mendapat kemasan lembut atas papan pemuka.

Pada bahagian infotainmen, skrin sesentuh yang terletak di tengah papan pemuka kini satu inci lebih besar, iaitu 18 inci dan ia datang dengan sistem yang boleh disambung dengan Apple CarPlay serta Android Auto secara wireless. Varian Active kemudiannya ditambah lagi dengan panel instrumen digital 10.25 inci, dengan grafik yang boleh diubah mengikut mod pemanduan.

Bagi memilih mod pemanduan ini, ia sekarang menggunakan tombol bulat menggantikan butang jenis tekan sebelum ini. Pada tombol ini, apabila dipusing, anda boleh memilih mod Eco, Comfort atau Sport, tetapi apabila ditekan, ia boleh mengubah mod kawalan cengkaman yang disediakan dalam tiga pilihan iaitu Snow, Mud dan Sand. Setiap mod mempunyai tindak balas kawalan cengkaman, transmisi serta enjin yang berbeza. Kona facelift ini masih lagi menggunakan pacuan dua roda hadapan.

Melengkapi ciri baru pada Kona adalah sistem masuk tanpa kunci dengan fungsi hidupkan enjin dari jauh, serta soket USB dan tempat cawan untuk penumpang belakang. Model 2.0 asas juga datang dengan lampu utama automatik, butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa manual, larasan tempat duduk manual, cruise control, sistem pemerhati tekanan angin tayar, pengesan undur, kamera belakang dan enam pembesar suara.

Hyundai Kona facelift tiba di Malaysia – dua varian 2.0L NA CVT, harga antara RM120k hingga RM137k

Varian Active ditambah dengan lampu kabus hadapan, sistem pendingin hawa automatik satu zon, tempat duduk pemandu larasan kuasa, pengelap cermin automatik, head-up display, pengesan jarak hadapan dan cermin sisi dengan fungsi pemanas. Untuk aspek keselamatan, semua model mendapat enam beg udara, ABS dengan EBD dan BA, Stability COntrol, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan Isofix.

Aspek ini dijadikan lebih lengkap pada varian Active, di mana ia ditambah lagi dengan pakej SmartSense yang terdiri daripada Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring dengan bantuan stereng, Rear Cross Traffic Alert dengan bantuan brek serta lampu tinggi automatik. Ia juga mendapat empat ciri baru termasuk Lane Centring Assist (masih tiada Adaptive Cruise Control), Front Departure Alert, serta amaran buka pintu dan tempat duduk belakang.

GALERI: Hyundai Kona 2.0 facelift 2021

GALERI: Hyundai Kona 2.0 Active facelift 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required