Kini secara rasmi, Hyundai Kona N bukan lagi sekadar cerita-cerita kosong – jenama dari Korea berkenaan telah pun mendedahkan prototaip yang masih dengan pelekat penyamaran SUV segmen-B yang disuntik steroid tersebut sebagai teaser sebelum pendedahan model produksi sebenarnya tidak lama lagi!

Dalam video yang disiarkan, Hyundai Kona N berkenaan didedahkan turut diberikan sistem ekzos yang memberikan bunyi letupan seperti tembakan senapang, sama macam hot-hatch i30 N dan Veloster N. Dan Hyundai turut menegaskan bahawa “Ya, ia memang model N.”

Dan walaupun Kona N ini sebuah jentera yang memang dihasilkan untuk keseronokan memandu di litar, ia masih lagi bersifat praktikal seakan Kona biasa yang membolehkan anda membawanya untuk ke membeli barangan keperluan di pasar raya serta berkhemah di kawasan pedalaman.

Namun masih belum diumumkan secara rasmi sebarang perincian teknikal untuk Kona N ini, tetapi berdasarkan laporan-laporan sebelum ini model tersebut akan dijana oleh enjin 2.0 liter turbo dan ditawarkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan kelajuan.

Jadi boleh dijangka, ia akan mengggunakan enjin yang sama seperti Veloster N dan i30 N. Dalam versi facelift terkini untuk kedua-dua hot-hatch berkenaan, model standard akan terus menjana 250 PS/353 Nm, manakala versi dengan Performance Pack pula ditala bagi mendapatkan kuasa 280 PS/392 Nm.

Manakala untuk transmisi, ia turut mungkin akan mengambil kotak gear N DCT yang sama seperti dua hot-hatch N berkenaan yang dibangunkan sendiri oleh Hyundai, serta menampilkan fungsi seperti N Grin Shift, N Power Shift dan N Track Sense Shift. Hyundai juga mengesahkan fungsi Launch Control turut dibekalkan pada Kona N ini.

Walaupun keseluruhan panel badan unit prototaip Kona N ini dibalut dengan pelekat penyamaran, jelas ia diberikan penampilan lebih garang berbanding Kona biasa menerusi apron pada bampar hadapan yang lebih agresif, skirt sisi lebih labuh dua tip ekzos oval yang lebih besar. Kona N ini juga nampaknya turut menerima rim lebih besar bersama tayar ultra prestasi tinggi Pirelli P Zero.

“Kami teruja untuk mengembangkan resipi kejayaan yang kami bangunkan dengan i30 N dan, yang terbaru, dengan i20 N kepada antara SUV kami yang paling popular dalam pasaran sekarang: Kona. Tambahan Kona ke dalam keluarga N akan membawa jenama berprestasi tinggi ini ke tahap seterusnya,” kata Andreas-Christoph Hofmann, naib presiden pemasaran dan produk Hyundai Motor Europe.