Marc Philipp Gemballa Marsien – Porsche 911 Turbo S untuk off-road, inspirasi dari 959 Paris-Dakar Rally

Marc Philipp Gemballa Marsien – Porsche 911 Turbo S untuk <em>off-road</em>, inspirasi dari 959 Paris-Dakar Rally

Firma kejuruteraan Jerman, Marc Philipp Gemballa baru sahaja mendedahkan kereta sport pertama keluarannya yang digelar sebagai Marsien. Nama ‘Gemballa’ macam pernah dengar kan? Ya, pengasas syarikat baharu ini merupakan anak kepada Uwe Gemballa iaitu pengasas Gemballa GmBH, yang juga terkenal menghasilkan kereta sport istimewa berasaskan Porsche.

Sebelum menubuhkan syarikat sendiri yang menggunakan namanya ini, Marc Philipp yang baru sahaja berumur 27-tahun ini telah pun berkhidmat dengan pelbagai jenama automotif terkemuka seperti Aston Martin, Mercedes-Benz dan juga Porsche.

Berbalik kepada jentera baharu yang diperkenalkan ini, Marsien masih diasaskan dari model produksi Porsche iaitu 911 Turbo S dari generasi 992. Tidak sukar untuk menafsirkan apa yang ingin disampaikan oleh pereka Mersien, Alan Derosier ini, kerana ia jelas diinspirasikan dari model lagenda Porsche 959, dan dengan tayar off-road yang diberikan, mengingatkan semula kita kepada jentera rali dengan livery biru-putih Rothmans, Porsche 959 Paris-Dakar Rally.

Tayar off-road yang diberikan pada kereta sport ini bukan sekadar kosmetik semata-mata, kerana Marsien sememangnya dihasilkan untuk beraksi pada permukaan lasak. Malah nama Marsien itu sendiri adalah diambil dari perkataan Perancis, ‘Martian’ yang bermaksud ‘dari Marikh’.

Marc Philipp Gemballa Marsien – Porsche 911 Turbo S untuk <em>off-road</em>, inspirasi dari 959 Paris-Dakar Rally

Bagi mentransformasi 911 Turbo S kepada Marsien, badan kereta sport ini dihasilkan semula menggunakan gentian karbon sepenuhnya, dihasilkan oleh pembekal peneraju dalam industri di Jerman. Ia juga menerima kelengkapan khas lain seperti jalur lampu LED dibelakang, komponen-komponen karbon yang terdedah di hadapan dan cermin sisi baharu

Pelanggan juga ditawarkan sama ada untuk mengenakan pilihan cat badan istimewa pada kereta ini atau untuk tidak mengenakan sebarang cat pada badannya bagi mendedahkan sepenuhnya badan gentian karbon kereta berkenaan.

Model isitimewa ini masih dijana oleh enjin enam-silinder bentangan rata 3.8 liter yang sama dengan 911 Turbo S, tetapi mendapat sentuhan semula oleh penala lagenda Porsche, RUF Automobile. Ia kini menghasilkan 750 PS dan tork maksima 930 Nm atau 100 PS/130 Nm lebih berkuasa dari asal. Pembeli turut boleh memilih versi yang menghasilkan 830 PS, yang diberikan pengecas turbo VTG lebih besar serta talaan semula pada kotak komputer enjin.

Marc Philipp Gemballa Marsien – Porsche 911 Turbo S untuk <em>off-road</em>, inspirasi dari 959 Paris-Dakar Rally

Selain itu, enjin Marsien ini turut menerima salur ambilan udara yang direka semula dan sistem ekzos titanium dari Akrapovic. Transmisi juga menerima pelbagai komponen lebih baik bersama aci pacu lebih panjang yang diambil dari Cayenne dan kemudiannya diperkuatkan lagi.

Marsien dipadankan dengan off-road 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang, dibalut dengan tayar jenis all-terrain. Namun pembeli masih ditawarkan dengan set roda yang lebih sesuai digunakan di atas permukaan tar terdiri dari rim 20-inci di hadapan dan 21-inci di belakang, bersama tayar UHP dari Michelin. Kedua-dua pilihan rim staggered ini menampilkan rekaan lug nut tunggal seperti kereta lumba sebenar.

Suspensi Marsien pula dibangunkan bersama KW Automotive. Ia menggunakan sistem double wishbone baharu di hadapan bersama sistem adaptif dengan penyerap hentak omboh solid dengan larasan ketinggian boleh ubah. Menerusi larasan paling tinggi, ia akan memberikan kelegaan tanah dengan jarak 250 mm, memaksima kebolehannya pada laluan off-road.

Daya tekanan serta lambungan semula suspensi berkenaan juga telah ditala semula, dan ia turut menerima mod pemanduan off-road iaitu Gravel, Mud, Sand dan Snow. Bawah badan kereta ini juga diberikan panel pelindung aluminium solid bagi mengelak sebarang kerosakan ketika dipandu lasak. Jika pemiliknya masih rasa tidak cukup, mereka turut boleh memilih pakej off-road yang menampilkan suspensi rali sebenar dari Reiger yang lebih hardcore.

Pada bahagian kabin, Marsien ditawarkan dengan pilihan upholsteri kulit penuh atau Alcantara. Ia juga diberikan konsol tengah gentian karbon yang diinspirasikan dari Carerra GT, serta kemasan-kemasan gentian karbon pada bendul pintu serta bahagian lain, unit pemadam api istimewa dan juga plak nombor siri binaan.

Menurut Marc Philipp Gembala, mereka hanya menghasilkan sejumlah 40 unit Marsien. Kos untuk memiliki 911 Turbo S yang tidak sama dengan orang lain ini bermula 495,000 euro (RM2.45 juta), dan ia sebenarnya belum termasuk harga sebuah 911 Turbo S sebagai asas untuk ditransformasi!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required