Industri automotif di Malaysia telah terjejas teruk kerana sekatan pergerakan penuh yang sedang dijalankan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Ini kerana industri berkenaan melibatkan pelbagai lapisan rantaian bekalan, dan dengan penutupan kilang, pengeluar-pengeluar kenderaan, pembekal komponen serta jaringan pengedar turut terpaksa tidak boleh beroperasi. Tiada kereta yang dihasilkan di kilang, maka bilik pameran juga tidak mempunyai kereta untuk dijual.
Honda Malaysia mempunyai operasi yang besar di Malaysia, dengan kilang yang terletak di Pegoh, Melaka. Sejak sekatan pergerakan penuh dikenakan pada Jun lalu, kilang berkenaan turut terpaksa ditutup, bersama pejabat jualannya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor serta jaringan pengedar-pengedarnya di seluruh negara. Hanya berberapa pusat servis selepas jualan boleh dibuka dengan tenaga kerja minima serta semua pelanggan yang datang perlu membuat temu janji terlebih dahulu.
Disebabkan perkara ini, prestasi jualan Honda Malaysia telah terjejas teruk. Menurut pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia Madoka Chujo, jualan syarikatnya dari Mei hingga Julai telah jatuh 52% berbanding tempoh sama tahun lalu. Jualan Honda Malaysia mencatatkan hampir 12,000 unit pada tempoh berkenaan untuk tahun 2020 (ketika itu Malaysia masih di bawah tempoh PKPB dan PKPP) berbanding hanya sekitar 5,700 unit pada tahun ini.
Menurut Chujo lagi, masalah ini bukan sahaja menjejaskan jualan mereka, malah turut memberikan implikasi kepada perkara lain. “Penutupan perniagaan yang berpanjangan ini turut telah menjejaskan produksi model baharu Honda Malaysia kerana tiada ujian yang boleh dijalankan pada fasiliti pembuatan. Tambahan pula, rantaian pembekalan dan pengeksportan komponen syarikat juga terjejas,” jelasnya.
“Industri automotif menyokong jaringan yang luas untuk komponen tempatan dan pembekal komponen yang terdiri dari berberapa peringkat. Pembekal-pembekal ini mungkin tidak boleh mengekalkan operasi mereka dan ini akan menjejaskan rantaian pembekalan secara keseluruhan. Sekatan pergerakan sedia ada yang dipanjangkan dan tiada bayangan bila perniagaan boleh disambung semula telah menjejaskan perancangan serta pelaburan keseluruhan jenama-jenama automotif,” tambahnya lagi.
Seperti yang kami laporkan bulan lalu, pengedar serta kakitangan mereka adalah antara kumpulan yang terjejas teruk. 101 pengedar Honda di seluruh negara kini sedang berhadapan dengan masalah kewangan dan juga keadaan yang tidak menentu berkenaan pekerjaan untuk penasihat-penasihat jualan dan servis, menurut Honda Malaysia. Penasihat jualan yang bergantung kepada komisen sebagai mata pencarian kini sedang teruk terjejas.
“Honda Malaysia memahami kesusahan yang sedang diharungi oleh pengedar dan juga kakitangan Honda, dan oleh itu, syarikat sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mereka bagi mengharungi masa yang sukar ini. Salah satu usaha berkenaan adalah dengan mendaftar rakan-rakan sekerja Honda di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi mempercepatkan kadar vaksinasi negara,” kata Chujo.
Honda Malaysia mensasarkan 100% dos pertama untuk semua kakitangannya menjelang pertengahan bulan ini. Syarikat berkenaan berharap sektor automotif boleh dibuka semula di bawah SOP dan garis panduan ketat yang ditetapkan oleh kerajaan, yang boleh mengelakkan impak jangka masa panjang seperti pemberhentian pekerja dan juga potensi penutupan perniagaan jaringan rantaian bekalan mereka.