Ducati Scrambler Nightshift, yang diperkenalkan kepada dunia sebagai tambahan variasi Scrambler tahun 2021 kini sudah tiba di Malaysia. Ia dilancarkan dengan harga jualan RM65,900 tidak termasuk insurans.
Perbezaan paling jelas bagi Scrambler Nightshift ini, berbanding versi Scrambler yang lain adalah ia menggunakan warna serba gelap, dengan panel badan serta tangki yang dicat warna Aviator Grey.
Selain daripada itu, Scrambler NightShift juga datang dengan beberapa kelengkapan lain yang menjadikannya unik berbanding varian lain. Ini termasuk tempat duduk jenis rata yang boleh dinaiki dua orang, pemegang lebih lurus yang diambil daripada Scrambler 1100 Sport Pro, cermin sisi cafe racer, lampu siang LED, rim spoked 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, plet tepi daripada Full Throttle serta penunjuk arah LED.
Kelengkapan asas lain sama sahaja seperti Scrambler 803 sedia ada, termasuklah enjin L-Twin 803 cc serta padanan transmisi enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 73 hp pada 8,250 rpm dan 66.2 Nm tork pada 5,750 rpm. Enjin ini juga menepati tahap emisi Euro 5.
Suspensi model ini menggunakan unit daripada Showa, yang terdiri daripada fork 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Brek adalah unit cakera 330 mm dengan angkup empat piston di hadapan, 245 mm dengan angkup satu piston di belakang, dan ia dilengkapi dengan sistem Cornering ABS.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.