Lamborghini Countach dilahirkan semula – LPI 800-4 hanya 112 unit, V12 6.5L, 803 hp, 0-100 km/j 2.8 saat!

Lamborghini Countach dilahirkan semula – LPI 800-4 hanya 112 unit, V12 6.5L, 803 hp, 0-100 km/j 2.8 saat!

Seperti yang diumumkan tempoh hari, bersama beberapa imej teaser yang disiarkan, Lamborghini telah mendedahkan sepenuhnya supercar ikonik mereka pada era 70’an hingga 80’an dalam versi kelahiran semula – ini dia, Lamborghini Countach generasi baharu!

Secara spesifiknya, model ini dikenali sebagai Lamborghini Countach LPI 800-4, dan ia dihasilkan terhad hanya 112 unit sempena ulangtahun ke-50 nama Countach itu sendiri. Ia didedahkan di Pebble Beach, Amerika Syarikat ketika berlangsungnya acara The Quail: A Motorsports Gathering.

Countach kelahiran semula ini menampilkan rekaan yang diadun dari pelbagai versi Countach klasik khususnya dari versi konsep LP 500 dan juga model produksi asal LP 400. Ia menampilkan badan yang berbentuk baji, kemudian diberikan perincian-perincian ikonik Countach seperti penutup bonet hadapan yang berbentu trapezoid, liang udara pada sisi badan, serta sirip dan corong kemasukan udara di belakang pintu.

Lamborghini Countach dilahirkan semula – LPI 800-4 hanya 112 unit, V12 6.5L, 803 hp, 0-100 km/j 2.8 saat!

Namun, tiada lagi lampu hadapan jenis ‘pop-up’ diberikan (rekaan tersebut sudah diharamkan atas sebab-sebab keselamatan), tetapi lampu utama Countach LPI 800-4 ini dihasilkan mirip dengan kluster lampu isyarat membelok/lampu kecil pada Countach klasik. Manakala gril nipis pada muncung Countach baharu ini pula nampak seperti diinspirasikan dari Countach LP 500.

Bahagian belakangnya turut menerima rekaan yang mirip seperti Countach klasik termasuk rekaan empat tip ekzos dan lampu belakang, namun ia menerima berberapa rekaan moden bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik seperti diffuser gentian karbon pada bahagian bawah, serta spoiler kawalan elektronik dengan tiga posisi yang boleh disorokkan.

Countach LPI 800-4 ini diasaskan dari Lamborghini Aventador/Sian dengan casis monocoque. Anda mungkin lihat hanya beberapa bahagian badan Countach ini menggunakan material gentian karbon seperti pada splitter hadapan, cermin sisi dan sebagainya, namun hakikatnya keseluruhan badan supercar tersebut adalah diperbuat dari gentian karbon. Ini membolehkan Countach mencapai berat kering hanya pada 1,595 kg.

Lamborghini Countach dilahirkan semula – LPI 800-4 hanya 112 unit, V12 6.5L, 803 hp, 0-100 km/j 2.8 saat!

Seperti model klasiknya, model generasi baharu ini turut dijana oleh enjin V12 tanpa sebarang induksi paksaan. Secara spesifik, Countach menerima sistem rangkaian kuasa hibrid yang sama seperti Lamborghini Sian FKP 37. Ia terdiri dari enjin V12 NA 6.5 liter berkuasa 769 hp dan tork maksima 720 Nm yang boleh menjerit sehingga 8,700 rpm, dibantu oleh motor elektrik berkuasa 34 hp.

Motor untuk sistem hibrid 48-volt tersebut diletakkan pada kotak gear, dijana kapasitor super yang didakwa menghasilkan kuasa tiga kali ganda lebih besar berbanding bateri lithium ion, membolehkan Countach dibekalkan dengan kuasa keseluruhan berjumlah 803 hp.

Enjin tersebut diletakkan di belakang pemandu dengan kedudukan menegak sama seperti Countach asli, namun kotak gear tujuh-kelajuan yang dibekalkan menghantar kuasa ke kesemua roda menerusi sistem AWD tetapi dari Haldex. Ini membolehkan Countach LPI 800-4 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat, dan mencatatkan kelajuan maksima 355 km/j.

Casis Countch ini menampilkan suspensi jenis Double Wishbone dengan penyerap hentak dan spring yang diletakkan secara melintang untuk bahagian hadapan dan belakang. Ia turut dilengkapi brek karbon seramik dengan diameter 400 mm di hadapan dan 380 mm di belakang.

Bagi roda pula, supercar ini menerima rim dengan rekaan signatur Lamborghini seperti pendail telefon klasik bersaiz 20 inci dengan lebar 9 inci di hadapan dan rim 21 inci dengan lebar 13 inci di belakang. Ia dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Corsa bersaiz 255/30ZR20 di hadapan dan 355/25ZR21 di belakang.

Pada bahagian kabin, secara asasnya ia menampilkan rekaan asas yang sama dengan Sian, namun diberikan perincian diinspirasikan dari kokpit Countach asli. Ia menerima skrin infotainmen HDMI 8.4 inci dengan hubungan Apple CarPlay.

Pembeli boleh memilih Countach mereka dalam pelbagai warna warisan asli Lamborghini, namun kebanyakkan adalah warna solid seperti Impact White, Giallo Countach dan Verde Medio. Unit yang dibawa ke pendedahan sulungnya ini diberikan warna badan Bianco Siderale, iaitu putih dengan unsur mutiara kebiru-biruan sama seperti Countach LP 400 S milik pengasas syarikat tersebut, Ferruccio Lamborghini.

Harga untuk Lamborghini Countach LPI 800-4 ini masih belum didedahkan, namun pembeli terawal yang menempah bakal menerima kereta mereka pada suku pertama 2022.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required