Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

Indonesia bakal menggunakan sistem kutipan tol lebuhraya tanpa sebarang palang selewat-lewatnya pada tahun hadapan, dimulakan di Jawa dan Bali dan kemudian akan menggunakan sistem tersebut di seluruh republik berkenaan pada 2023, lapor akhbar Detik.com.

Negara berkenaan menggunakan sistem yang digelar sebagai Multi Lane Free Flow (MLFF) ini sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kesesakan jalan raya. Sistem tersebut disediakan oleh syarikat dari Hungary, Roatex Ltd menerusi entiti tempatan, PT Roatex Indonesia Toll System.

“Secara proses nanti tidak akan ada palang lagi di depan, tidak akan ada gerbang, jadi boleh dikatakan corak pemikiran para pengguna itu akan kita gantikan dengan palang maya,” kata Emil Iskandar, ketua pembangunan perniagaan syarikat tersebut.

Emil turut menegaskan bahawa syarikatnya turut telah bersedia dengan segala kemungkinan bagi mengatasi individu-individu yang cuba masuk ke lebuhraya secara percuma atau cuba untuk memperdaya sistem tanpa palang berkenaan. Menurutnya, ada dua sistem yang telah disiapkan bagi berhadapan masalah tersebut.

Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

Sistem pertama adalah menggunakan gantri tetap pada pintu masuk lebuhraya. Gantri tersebut akan dilengkapi dengan modul-modul pengawasan termasuk kamerta yang akan mengenalpasti setiap kenderaan atau data kenderaan yang melintas pada jalan masuk berkenaan.

Manakala sistem kedua pula adalah menggunakan unit kawalan bergerak yang menampilkan pasukan pengawasan. Menurut Emil, unit kawalan bergerak berkenaan akan melakukan tugas yang sama seperti pada gantri tetap dengan mengumpul semua data kenderaan yang masuk ke lebuhraya.

“Kami akan mengenalpasti setiap data kenderaan yang masuk, sama ada data pengguna yang sudahpun berdaftar atau pun data pengguna yang belum berdaftar. Jadi ada kemungkinan pengguna yang belum mendaftar di aplikasi MLFF itu masuk melintas ke jalan MLFF. Namun semuanya akan kami kesan ke dalam fungsi penguatkuasaan. Kemudian data itu akan kami hantar, masuk ke pemprosesan data dan selepas itu data berkenaan akan disalurkan terus ke data pihak polis bagi diambil tindakan,” jelas Emil.

Sebelum ini pernah tular video satu ujian di tol Simpang Susun Waru-Bandara Juanda, Surabaya yang menggunakan sistem Radio Frequency Identification (RFID) yang bukan sahaja tidak memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan ketika melalui palang tol, malah turut boleh melepasinya pada kelajuan tinggi.

Menurut jurucakap syarikat PT Citra Marga Nusaphala Persada (CMNP) yang menguruskan lebuhraya berkenaan, Annisa Indrayanti kepada akhbar Kompas, sistem RFID tersebut adalah sistem Single Lane Free Flow (SLFF) yang secara asasnya sama dengan sistem MLFF, cuma masih menggunakan palang.

Kita di Malaysia juga mungkin akan turut mengguna pakai sistem MLFF pada masa akan datang. Menurut presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Azman Ismail pada Julai 2019, semua lebuhraya di seluruh negara akan menggunakan sistem MLFF setelah sistem RFID diimplementasikan di semua plaza tol.

“Saya yakin kami boleh (mencapai dalam masa tiga tahun). Ia bukan sesuatu yang baru sahaja kami mulakan, ia adalah kerja yang sedang berjalan. Jika anda tanya pada berberapa syarikat konsesi, kebanyakkan peralatan sudah pun dipasang di lorong, pada peringkat perintis,” katanya dalam satu laporan Bernama kira-kira dua tahun lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required