Toyota mengumumkan bahawa mereka telahpun menjual lebih dari 50 juta unit Corolla, sekaligus memperkukuhkan lagi gelaran sebagai kereta paling popular di dunia – takhta yang telah menjadi miliknya sejak tahun 1997. Tahun lalu sebanyak 1.1 juta unit Corolla telah terjual di 150 negara atau secara purata sebuah Corolla terjual dalam masa 28 saat, dengan pengeluarannya dibuat pada tidak kurang dari 12 kilang di seluruh dunia.
Toyota Corolla generasi pertama telah dilancarkan di Jepun pada November 1966, iaitu hampir 55 tahun yang lalu. Model berkenaan dibangunkan oleh pasukan jurutera yang diketuai oleh seorang bekas pereka pesawat udara, Tatsuo Hasegawa. Ia direka dengan sasaran bagi menghasilkan sebuah kereta yang selesa, senyap, mampu milik, selamat dalam masa yang sama masa masih memberikan estetika yang sporty.
Bagi yang belum mengetahui, nama “Corolla” berkenaan bukanlah bermaksud mahkota, sebaliknya ia merujuk kepada bahagian yang paling cantik pada sesebuah bunga iaitu kelopak yang membentuk gegelang disekelilingnya. Nama tersebut dipilih bagi membangkitkan imej sebuah kereta kompat yang direka cantik, menarik perhatian, berkualiti tinggi, dan dianggap beraspirasi pada sebahagian pasaran.
Toyota mengeksport Corolla ini keluar dari Jepun sejurus sahaja ia dilancarkan di negara tersebut. Sebanyak 15 unit Corolla generasi pertama (dengan kod casis KE10) dalam versi dua pintu dijana enjin siri-K 1.1 liter dieksport ke Australia (pasaran eksport pertama Toyota). Kurang dari dua tahun kemudian, Toyota telah memulakan operasi kilangnya di negara berkenaan pada 1968, yang juga kilang pertamanya di luar Jepun. Kini, lebih 1.5 juta Corolla telah terjual di Australia.
Pada tahun yang sama juga Corolla KE10 tersebut turut mula dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia menerusi kilang Champion Motors yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam. Kilang yang dimiliki oleh Inchcape Group tersebut kemudian ditukar namanya kepada Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) – turut juga memasang beberapa kenderaan jenama lain sebagai kontraktor.
Dalam tahun-tahun awalnya, ASSB mempunyai kadar pengeluaran tertinggi di Malaysia dan dengan sambutan menggalakkan terhadap Corolla ketika diperkenalkan pada 1968, ia mula menjadi model utama yang dikeluarkan dari ASSB. Model Toyota lain ditambah dari tahun ke tahun, meningkatkan lagi populariti Toyota dalam masyarakat di Malaysia dan berjaya meletakkannya sebagai jenama No. 1 menjelang 1970 an, dengan Corolla menjadi model paling laris.
Pada tahun 1970 juga Corolla telah menjadi kereta import kedua paling laris di Amerika Syarikat, manakala pada Mei tahun yang sama model generasi kedua Corolla telah dilancarkan. Model dengan kod casis E20 tersebut menampilkan jarak roda lebih jauh iaitu 2,335 mm berbanding model E10. Ia juga tampil dengan enjin siri-T baharu dalam kapasiti 1.4 liter dan 1.6 liter. Empat tahun selepas diperkenalkan, Corolla E20 sudahpun menjadi kereta kedua paling laris di dunia.
Model generasi ketiga Corolla (dikenali dengan kod casis E30, E40, E50 dan E60) diperkenalkan pada tahun 1974, ketika itu pasaran automotif global sedang memulih selepas terjejas akibat krisis minyak dunia pada tahun 1973. Ketika ini juga jualan model-model domestik di AS dengan enjin V8 gergasi mula jatuh kerana menggunakan bahan api yang jauh lebih banyak. Oleh itu, Corolla generasi ketiga ini menerima permintaan yang sangat tinggi kerana menampilkan enjin dengan kapasiti yang jauh lebih kecil.
Model dengan bentuk badan lebih berkotak, Toyota Corolla generasi keempat dengan casis E70 muncul pada tahun 1979. Di Malaysia kita mungkin kenal model ini dengan nama KE70 kerana kebanyakkannya dijana oleh enjin pushrod 1.3 liter 4K. Namun di Jepun, model ini diberikan pelbagai unit rangkaian kuasa termasuk dengan enjin 2T-G 1.6 liter DOHC 8 injap yang dikenali sebagai Corolla 1600GT TE71.
E70 juga muncul dalam pelbagai versi bentuk badan, bukan sahaja dalam versi sedan empat pintu dan wagon lima-pintu, ia juga dihasilkan dalam versi sedan dua-pintu, wagon tiga-pintu, coupe tiga-pintu, hatchback tiga-pintu dan juga liftback tiga pintu, bersama pelbagai pilihan enjin dari siri-K, siri-A dan siri-T.
Model generasi kelima muncul pada tahun 1983, dikenali dengan kod casis E80. Buat pertama kalinya, Corolla kini tampil dalam kerangka enjin hadapan pacuan hadapan (FF), berbanding enjin hadapan pacuan belakang (FR) pada model-model generasi terdahulu. Tahun yang sama juga menyaksikan angka jualan Corolla sudahpun mencapai 10 juta unit.
Namun untuk versi lebih sporty iaitu adik-beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’ atau Corolla Levin dan Sprinter Trueno, ia masih menampilkan kerangka FR yang banyak persamaan dengan kerangka Corolla E70, walaupun pada kerangkanya tertulis kod casis AE85 dan AE86. Nak tahu lebih terperinci berkenaan susur galur Levin dan Trueno? Kami dah tulis satu artikel panjang berkenaannya pada PAUTAN INI.
Toyota Corolla generasi keenam dengan kod casis E90 pula muncul pada 1987. Kali ini, Corolla tidak lagi menerapkan rekaan berkotak, tetapi tampil dengan rupa lebih kontemporari. Juga, kali ini tiada lagi model dengan kerangka pacuan roda belakang di mana versi Levin dan Sprinter Trueno turut hadir sebagai model pacuan hadapan buat pertama kali.
Ia kemudiannya digantikan dengan model generasi ketujuh Corolla E100 pada tahun 1991, serta model generasi ke lapan E110 pada tahun 1995. Pada kedua-dua generasi ini, Corolla menerima enjin 4A 1.6 liter Twin-Cam untuk versi biasa, namun hanya diberikan kepala silinder jenis ‘F’ (4A-FE), iaitu versi dengan sudut injap lebih kecil bagi yang memberikan penggunaan bahan api lebih baik berbanding kepala silinder Twin-Cam jenis ‘G’ (4A-GE) pada versi-versi prestasi seperti model Levin dan Trueno.
Model generasi kesembilan iaitu Corolla E120 diperkenalkan pada tahun 2000. Menerusi model ini, UMW Toyota mula memasang semula Corolla di kilang mereka yang terletak di Shah Alam selepas hanya menerima stok dari Thailand untuk berberapa generasi sebelumnya. Ia dikenali di Malaysia dan berberapa pasaran lain khususnya di Asia Tenggara dengan nama Corolla Altis, dijana dengan enjin 1ZZ-FE 1.8 liter VVT-i berkuasa 134 hp. Corolla kemudiannya mencatatkan satu lagi peristiwa bersejarah apabila unit ke-30 juta keluar dari kilang pada tahun 2005.
Corolla mula muncul dalam bentuk generasi ke-10 pada tahun 2006 dengan kod casis E140. Ia dilancarkan di Malaysia pada tahun 2008 dan masih dikenali dengan nama Corolla Altis. Model ini pada mulanya masih dijana oleh enjin 1ZZ 1.8 liter bersama pilihan enjin 1.6 liter, tetapi ia kemudiannya menerima enjin generasi baharu dari siri ZR dengan kapasiti 1.6 liter hingga 2.0 liter ketika diperkenalkan dalam versi facelift.
Model generasi ke-11 pula muncul dalam dua versi iaitu E160 dan E170 (lebih kurang seperti model generasi ketiga). Model E160 hanya dijual pada pasaran Jepun, Hong Kong, Macau, Bangladesh, Singapura dan Sri Lanka. Manakala pasaran lain menerima Corolla E170 yang dilihat lebih anggun serta ditawarkan dengan enjin 1.8 liter dan 2.0 liter. Jualan Toyota Corolla mencapai angka melebihi 40 juta pada September 2015.
Sekarang, Corolla sudah pun berada di generasi ke-12. Diperkenalkan pada tahun 2018, ia diasaskan dari platform modular termaju pernah dihasilkan oleh Toyota iaitu TNGA. Ia bukan sahaja menampilkan ruang dalaman lebih luas dan lebih selesa, malah menampilkan pengendalian lebih lincah menerusi titik graviti lebih rendah serta hadir dengan rupa yang jauh lebih sporty.
Model generasi ini telahpun masuk ke pasaran Malaysia secara rasmi pada Oktober 2019, dan ia masih digelar Corolla Altis serta menampilkan muka yang agak berbeza dari model pasaran Amerika Syarikat. Sejak ianya mula masuk ke Malaysia pada pada tahun 1968 sehingga kini, kira-kira 300,000 unit Corolla telah dijual di negara kita, dan turut menjadi sebahagian daripada 50 juta unit yang telah dijual di seluruh dunia.
Di Malaysia juga Corolla bukan sahaja sentiasa menjadi ikon sebuah kereta ‘ayah-ayah’ yang begitu lasak dan jarang memeningkan kepala pemiliknya, malah tidak kurang juga melihatnya sebagai platform ubahsuai yang begitu berpotensi, khususnya model-model yang mempunyai kembar dari siri Levin dan Trueno di mana pelbagai komponen termasuk enjin bulletproof 4A-GE boleh dipadankan sesama mereka dengan begitu mudah.
Model-model pacuan belakang seperti E70 dan AE85/AE86 turut menjadi pilihan sebagai jentera drift yang murah, malah pada ketika era 80’an dulu model-model ini pernah menjadi bualan dalam kalangan peminat rali tempatan. Juga, siapa tak kenal dengan AE86 milik Kedai Tauhu Fujiwara dalam manga dan anime Jepun, Initial D kan?
Jadi dalam banyak-banyak model Corolla ni, mana yang paling anda suka? Atau yang mana mempunyai sejarah manis dalam keluarga? Kongsikannya dengan kami pada ruang komen di bawah atau pada hantaran di media sosial.
- 2002 Toyota Corolla LE.
GALERI: Toyota KE10 milik UMW Toyota ketika meraikan 50-tahun operasi pemasangan tempatan (CKD)
GALERI: Toyota Corolla Altis 2019 pasaran Malaysia