Pasangan beregu badminton Indonesia, Greysia Polii dan Apriyani Rahayu yang menang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru in telah menerima pelbagai hadiah penghargaan selepas mereka pulang tempoh hari. Namun antara hadiah yang paling lumayan diterima oleh kedua-dua atlit berkenaan adalah Honda City Hatchback RS yang disumbangkan oleh Honda Prospect Motor (HPM).

Greysia Polii menerima City Hatchback RS berwarna putih, manakala Apriyani Rahayu pula menerima unit yang berwarna merah. Warna-warna yang dipilih untuk diberikan kepada pasangan beregu berkenaan sebenarnya mewakili warna bendera ‘Sang Saka Merah-Putih’ Indonesia.

“Honda percaya bahawa ‘the power of dreams‘ boleh memaksa kita bagi mencapai prestasi terbaik. Ketika Indonesia sedang meraikan hari kemerdekaan, ini adalah tanda penghargaan dan terima kasih kami dari Honda kepada wira negara,” kata Honda dan menambah bahawa mereka berharap penghargaan ini akan meningkatkan semangat dan prestasi atlit-atlit Indonesia berkenaan selepas membanggakan negara.

Menurut HPM lagi, mereka memilih City Hatchback RS sebagai model untuk diberikan kerana karekternya yang sporty padan dengan semangat atlit-atlit berkenaan. Model ini telah dilancarkan di Indonesia Mac lalu, dan ia kini menggantikan tempat Honda Jazz yang tidak lagi dijual.

City Hatchback hanya ditawarkan dalam varian tunggal RS, dijana oleh enjin yang sama seperti model sedan iaitu unit 1.5 liter DOHC i-VTEC NA berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm. Apa yang menarik, model pasaran Indonesia ini ditawarkan dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan, selain pilihan transmisi CVT automatik.

Selain hadiah dari HPM ini, Greysia Polii dan Apriyani Rahayu juga bakal menerima bonus tunai dari kerajaan Indonesia dan beberapa syarikat swasta berjumlah lima bilion rupiah (RM294,121).