Honda telah melancarkan sebuah model touring kelas permulaan, iaitu CB200X di pasaran India dengan harga 144,500 rupee (RM8,159). Gaya badannya mengikut konsep sama seperti CB500X sementara enjin dan mekanikal pula diambil daripada model naked Honda Hornet 2.0 yang juga ada dijual di negara itu.
Enjin satu silinder 184.4 cc pada model ini menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-Fi dan dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 17 hp pada 8,500 rpm dan 16.1 Nm tork pada 6,000 rpm. Informasi penting dipaparkan pada skrin LCD dan di bahagian pemegang terdapat suiz untuk lampu kecemasan.
Semua lampu utama pada CB200X menggunakan unit LED, sementara lampu penunjuk arah hadapan pula disepadukan pada pelindung tangan. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera, dan sistem ABS single-channel dipasang untuk mengawal kuasa pada brek hadapan.
Walaupun mempunyai karekter yang berbeza berbanding Hornet 2.0, CB200X ini masih menggunakan suspensi yang sama, iaitu fork USD berwarna emas di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban, menghasilkan kedudukan dari tanah 167 mm dan tinggi tempat duduk 810 mm.
Secara keseluruhan, model ini mencatat berat 147 kg (5kg lebih ringan berbanding Hornet 2.0) dan didatangkan terus dengan rim 17 inci dan tayar berbunga kasar untuk menjadikan ia sesuai sekiranya dibawa ke jalan offroad.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.