Pengunjung di Tesco Pusat Bandar Puchong pada tengah hari semalam menjadi saksi kepada sebuah kejadian dramatik, ketika sebuah Perodua Myvi putih merempuh ke dalam bangunan tersebut, melalui dinding kaca.

Menurut saksi yang merakamkan situasi ketika itu, yang dimuatnaik ke laman Facebook komuniti Puchong, kejadian malang yang berlaku pada 4.24pm itu berlaku disebabkan pemandunya secara tidak sengaja memijak pedal minyak ketika sedang ingin meletak kenderaan ketika ingin parkir. Ini menyebabkan kereta itu merempuh dinding kaca di depan dan masuk ke dalam premis. Seorang pekerja McD dilaporkan cedera, namun mujur tiada kemalangan jiwa.

“Myvi lagi!” Itu mungkin apa yang ramai antara kita fikirkan, tetapi, disebabkan hampir separuh kenderaan yang berada di atas jalan raya kini adalah Myvi, kebarangkalian untuk kereta paling popular di Malaysia itu untuk kerap terlibat dalam kemalangan adalah tinggi.

Jika perkara ini menarik perhatian anda, ia bukanlah sekadar umpanan klik. Kejadian melibatkan salah operasi pedal seperti ini sebenarnya sangat umum di seluruh dunia. Jepun juga menghadapi masalah sama memandangkan warga emas di sana kekal aktif dalam bermasyarakat. Itu perkara baik, tetapi kesilapan juga boleh terjadi ketika mereka di belakang stereng. Apa pun, kejadian seperti ini pasti akan dapat dielakkan di masa hadapan.

Sebabnya, Perodua kini telah memperkenalkan model kenderaan yang dilengkapi ciri keselamatan aktif Advanced Safety Assist (ASA). Ini dimulakan dengan Myvi generasi ketiga pada 2017, di mana varian tertingginya pertama kali memperkenalkan ASA.

Versi dipertingkat ASA 2.0 pula datang bersama pengenalan Aruz pada 2019, dan kini waima untuk model paling asas seperti Axia dan Bezza juga ada varian yang lengkap dengan ASA ini. Ativa meningkatkan lagi penawaran Perodua, menyaksikan ciri ASA ini jadi standard untuk semua varian, dan model varian tertinggi lengkap dengan ciri bantuan titik buta dan ciri pemanduan semi-autonomous.

ASA melibatkan ciri seperti amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran (AEB), penggera pergerakan depan dan kawalan salah operasi pedal. Ciri terakhir ini mengelak kenderaan daripada bergerak ke depan sekiranya ada halangan yang dikesan di depan menerusi kamera stereo, sekaligus menghindarkan kemalangan. Situasi seperti kejadian di Tesco Puchong inilah membuatan ciri berkenaan direka untuk mengatasi masalah itu.

ASA dilanjutkan lagi penawarannya kepada varian 1.5H dan 1.3X untuk Myvi melalui kemaskini yang diperkenalkan pada pertengahan tahun 2020. Myvi putih yang anda lihat dalam kejadian ini ialah dari varian 1.3G, yang tidak datang dengan ASA.

Jika anda bertanya kenapa Perodua tidak memasang ciri ini untuk semua kenderaan yang dijual, jawapannya adalah Perodua pada asasnya menjual kenderaan yang paling mampu milik kepada pengguna di Malaysia. Walaupun begitu, syarikat itu tetap menjadi pelopor untuk menawarkan aspek keselamatan yang lebih tinggi dengan menjadikannya lebih mampu milik, bermula dengan Myvi generasi ketiga.

Selepas empat tahun, ciri AEB masih lagi jarang-jarang ditemui pada kereta yang berharga di bawah RM100k di Malaysia, termasuk dalam segmen pengeluar bukan nasional. Bahkan Proton Iriz dan Persona 2022 yang baru dilancarkan hanya datang dengan kawalan kestabilan sebagai teknologi keselamatan tertinggi padanya.

Jika corak penawaran keselamatan yang dipelopori Perodua ini terus berkembang, satu hari nanti, kereta paling asas yang dijual pun mungkin akan ada ASA, dan kejadian seperti yang dinyatakan ini tidak lagi akan berlaku. Harapnya begitulah.