Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

Minggu lalu kami telah siarkan satu artikel mengapa kereta elektrik (EV) tidak boleh dicaj sepantas mengisi minyak petrol, hasil temuramah kami bersama Johan Hellsing, pakar prinsipal Pergerakan dan Tenaga di China Euro Vehicle Technology (CEVT) iaitu pusat inovatif milik Zhejiang Geely Holding Group.

Ramai juga dikalangan pembaca yang mengutarakan persoalan “kenapa tak buat sistem swap sahaja bateri seperti kita tukar tong gas di rumah?” Sebenarnya, dalam temuramah yang sama, kami turut bertanya kepada Hellsing apa pandangan beliau tentang masa hadapan kaedah penggantian bateri berkenaan.

Menurut Hellsing, kaedah tersebut memang mungkin, tetapi atas beberapa faktor ia belum lagi relevan buat masa sekarang. “Saya tidak menolaknya, tetapi saya tidak dapat mengatakan adakah ia akan berjaya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa banyak proses kejuruteraan tambahan perlu dibuat contohnya memberikan pek bateri tersebut kedapan air dan juga menampilkan perlindungan pelanggaran sebaik bateri yang dihasilkan dalam kedudukan tetap seperti bateri EV lazim buat masa sekarang.

Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

“Apa yang berlaku di China sekarang adalah sangat menarik untuk diikuti, kerana dari perspektif teknologi ia boleh diselesaikan. Sudah tentu pasti ada keperluan yang lebih tinggi – kereta akan jadi lebih mahal, dan juga lebih berat, tetapi jika ada peluang perniagaan, ia mungkin akan direalisasikan,” katanya.

Peluang perniagaan yang dimaksudkan oleh Hellsing adalah ia perlu menjadi perniagaan skala besar dan bateri tersebut bukan hanya boleh digunakan pada kereta. Sekiranya bateri tersebut boleh menjadi sumber tenaga bagi sektor lain selain kereta, permintaanya sudah tentu menjadi tinggi dan kaedah ini mungkin akan diimplementasikan.

“Saya rasa kunci utama untuk menentukannya adalah adakah ia akan menjadi skala besar bagi menjadikan bateri-bateri yang tidak digunakan pada kereta bukan hanya disimpan (untuk menunggu kereta seterusnya).” jelas beliau.

Ini bukan kali pertama individu dari Geely menjelaskan bahawa kaedah gantian bateri ini belum lagi relevan sebagai teknologi arus perdana buat masa sekarang. Jun lalu, ketua jurutera untuk platform kereta elektrik SEA Geely Auto Group, Kent Bovellan turut menyatakan perkara yang sama kepada paultan.org dalam satu sesi temuramah.

Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

Bagi yang belum mengetahui, bateri kereta elektrik bukanlah seperti bateri 12V yang anda lihat pada kereta berkuasa petrol atau diesel. Bateri EV ini bersaiz sangat besar dan berat, sehinggakan faktor utama kereta elektrik lebih berat dari kereta konvensional adalah kerana bateri berkenaan.

Kebanyakkan kereta elektrik sekarang termasuk Tesla dan model-model dari platform SEA Geely sendiri, bateri berkenaan dijadikan sebagai lantai, bukan sahaja untuk memastikan ia tidak akan mengorbankan ruang, malah ia juga membolehkan kereta tersebut mendapat titik graviti yang rendah.

Oleh itu, bateri-bateri kereta EV ini perlu dihasilkan benar-benar kedap air, dan ia juga perlu mempunyai perlindungan yang cukup baik sekiranya kereta berkenaan terlibat dalam kemalangan – sekarang bayangkan untuk menjadikan sesuatu yang cukup besar dan berat, serta dihasilkan dengan cukup ‘kebal’ sebegini perlu dibuat agar ia mudah dibuka dan dipasangkan kembali.

Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

“Pertama sekali, saya memilih kaedah bateri bersepadu kerana saya mahu menghasilkan struktur seni bina paling ringan yang mungkin berdasarkan saiz kenderaan. Jadi, saya memilih kaedah bateri bersepadu untuk SEA. Geely turut membuat penyelidikan kaedah penggantian bateri tetapi rekaan anda akan menjadi sangat terhad dari segi dimensi dan saya tak rasa kaedah penggantian bateri ini akan menjadi sesuatu yang besar sebelum kami mencapai standard,” jelas Bovellan.

Standard yang dimaksudkan Bovellan adalah sebelum kaedah penggantian bateri dapat diimplementasikan sepenuhnya, semua pengeluar perlu menetapkan satu standard yang sama contohnya saiz dan juga kesesuaian lain bagi memastikan bateri tersebut boleh digunakan untuk semua kereta, seperti sistem mengecaj buat masa sekarang.

“Anda boleh bayangkan untuk semua EV, untuk mengecaj, mereka mempunyai penghubung berbeza, tentu akan celaru. Setiap syarikat perlu letak fasiliti pengecj mereka. Ia sama sekali serupa apa yang akan terjadi dengan kaedah penggantian. Jika kita tidak ada standard, semua orang perlu membuat stesen mereka sendiri dan memerlukan bateri mereka sendiri pada setiap stesen…ia tentu celaru,” jelasnya.

Stesen penggantian bateri untuk MPV Maple 80V

Walau bagaimanapun, Geely tidak membiarkan sahaja teknologi penggantian bateri ini tanpa sebarang penyelidikan. Kerana nampak potensi yang ada pada teknologi tersebut, tahun lalu Geely Technology Group mendemonstrasikan kaedah berkenaan pada MPV Maple 80V, iaitu MPV Geely Jiaji dalam versi elektrik sepenuhnya dihasilkan berdasarkan platform CV.

Maple 80V merupakan produk pertama Geely yang menampilkan teknologi penggantian bateri. Dengan teknologi ini, bateri yang sudah kekurangan kuasa pada MPV tersebut boleh digantikan dengan bateri yang sudah siap dicaj menerusi stesen penggantian pandu lalu, dan keseluruhan proses dilakukan secara automasi dan mengambil masa hanya 90 saat.

Menurut Geely, mereka telah mewujudkan 39 stesen penggantian bateri tersebut di China, serta sudah merancang untuk menambah 200 lokasi lagi menjelang 2023, dan sehingga 1,000 lokasi menerusi perjanjian yang telah dibuat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required