Eh, apa ni? Honda Integra 2022? Kenapa lain dengan dari rupa imej teaser Integra generasi baharu yang Acura dedahkan tempoh hari? Ok, untuk pengetahuan semua, ini adalah Honda Integra khas pasaran untuk China, dan ia tidak akan dijual di pasaran lain termasuk di Jepun sendiri.
Pada asasnya, ia adalah sedan Civic generasi ke-11 dan diberikan muka hadapan dan bahagian belakang berbeza. Amalan untuk menghasilkan model kembar khas bagi pasaran China ini bukan perkara baharu kerana Honda diwakili oleh dua syarikat kerjasama tempatan di republik berkenaan iaitu Dongfeng Honda dan juga Guangqi Honda yang dimiliki oleh GAC. Kedua-dua entiti berkenaan bukan sahaja mempunyai dua jaringan jualan yang berbeza, malah masing-masing turut mempunyai fasiliti produksi yang tersendiri.
Antara contoh model kembar lain Honda di pasaran China ini termasuk SUV segmen-B Honda Vezel (atau HR-V di Malaysia) yang dijual oleh GAC, dan juga Honda XR-V yang dihasilkan oleh Dongfeng Honda. Manakala untuk Civic generasi ke-11 ini, ia dikilangkan oleh Dongfeng Honda di Wuhan, manakala kembarnya, Integra diproduksi oleh Guangqi Honda di Guangzhou.
Honda Integra khas untuk pasaran China ini masih menampilkan profil sisi badan yang sama dengan Civic sedan. Namun mukanya telah diberikan lampu hadapan lebih nipis (dengan sistem LED matrix seperti Civic Hatchback JDM), gril dengan elemen sarang lebah seperti Civic Hatchback tetapi dengan bentuk yang berbeza, serta rekaan sudut pada liang udara yang lebih tajam.
Manakala di belakang, Integra diberikan lampu dengan grafik LED berbentuk-L, manakala sambungannya pada penutup but direka lebih nipis dan tajam berbanding lampu belakang Civic. Ia juga diberikan bampar dengan kemasan hitam di bawah yang lebih besar yang turut menempatkan lampu kabus merah ala-kereta lumba di tengah, bersama reflektor sisi yang diletakkan dalam posisi menegak.
Menerusi imej yang terdedah di laman sesawang kementerian industri dan teknologi informasi China tempoh hari, Integra ini juga dilihat ditawarkan dengan pelbagai opsyen antaranya pilihan rim bersaiz dari 16- hingga 18-inci, spoiler ekor itik berwarna hitam dibelakang, diffuser bampar belakang dengan tip ekzos berkembar yang diserlahkan dan pelbagai lagi.
Perincian berkenaan spesifikasi teknikal Honda Integra pasaran China ini masih belum didedahkan. Namun menerusi lencana “240 Turbo” pada bahagian belakang menandakan bahawa ia mungkin menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti Civic iaitu gandingan enjin 1.5 liter empat silinder VTEC turbo berkuasa 182 PS (sama seperti model pasaran AS dan Jepun) dan kotak gear CVT automatik.
Imej terbaharu yang didedahkan ini juga menunjukkan bahawa Integra diberikan pilihan warna yang agak funky, termasuk Emerald Blue dan Fiery Yellow. Ia bakal dilancarkan secara rasmi di negara berkenaan pada suku keempat tahun ini
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.