Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

Baru sahaja didedahkan di Amerika Syarikat bulan April lalu, dengan pantas, Honda Civic sedan generasi ke-11 kini sudahpun dilancarkan secara rasmi Thailand! Model pasaran Thai ini masih mengekalkan asas rekaan yang sama seperti Civic yang muncul di AS, namun diberikan pelbagai perincian tersendiri yang mungkin akan diterapkan pada pasaran-pasaran lain di rantau Asia Tenggara.

Di Thailand, Civic generasi baharu ini ditawarkan dalam tiga varian bermula dengan model asas EL yang dijual pada harga 964,900 baht (RM122,100), diikuti dengan varian pertengahan EL+ berharga 1,009,900 baht (RM127,800). Manakala model varian tertinggi adalah Civic RS yang dijual pada harga 1,199,900 baht (RM151,800).

Namun ketiga-tiga varian ini semuanya dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder, dimana enjin 1.8 liter NA i-VTEC sudah tidak lagi ditawarkan di Thailand. Enjin VTEC Turbo tersebut kini ditala semula bagi menghasilkan 178 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm.

Talaan kuasa berkenaan adalah 5 PS lebih besar dari enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada Civic generasi ke-10, namun jika dibandingkan dengan model pasaran Amerika Syarikat dan juga Jepun, kuasa yang dihasilkan berkenaan adalah 4 PS lebih kecil. Menurut Honda, dengan rangkaian kuasa ini Civic mampu mencatatkan penggunaan bahan api gabungan 17.2 km setiap liter.

Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

Bagi model tertinggi RS, ia menerima rupa paling garang dengan kemasan-kemasan hitam seperti pada penutup cermin sisi, pembuka pintu, serta diberikan spoiler pada but belakang juga dalam kemasan hitam. Ia juga menerima bampar belakang dengan diffuser hitam berkilat serta menyerlahkan tip ekzos krom di kiri dan kanan.

Walau bagaimanapun, model RS ini tidak diberikan rmi 18-inci seperti di AS, sebaliknya menerima rim 17-inci kemasan hitam kusam dengan rekaan tersendiri. Dua model lebih rendah tidak menerima spoiler but, diffuser dan juga tip ekzos krom, serta hanya diberikan rim 16-inci.

Dari segi saiz, Honda Civic 2022 ini adalah lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,678 mm (30 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,733 mm (33 mm lebih jauh). Menurut Honda, ini membolehkan penumpang belakang menerima ruang kaki lebih luas, serta ruang pinggul lebih besar di hadapan dan belakang.

Rupa kabin Civic pasaran Thai ini juga hampir seiras dengan model pasaran AS. Ia diberikan papan pemuka yang direka jauh lebih ringkas dari Civic FC, menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa. Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas.

Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

Honda menyatakan bahawa kabin Civic generasi baharu ini dihasilkan dari material yang lebih berkualiti tinggi. Tiang-A yang kini 50 mm lebih kebelakang bukan sahaja memberikan garis badan luaran yang lebih cantik, malah ia turut memberikan pandangan pada cermin hadapan yang lebih luas, dakwa Honda lagi.

Bagi model RS, ia diberikan sistem infotainmen HondaConnect yang sama dengan Accord, serta menampilkan skrin sesentuh bersaiz sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar serta kawalan pelbagai fungsi dari jarak jauh menggunakan aplikasi telefon pintar.

Manakala untuk varian EL dan EL+, ia diberikan sistem infotainmen biasa dengan skrin tujuh-inci bersama sokongan Apple CarPlay yang masih menggunakan wayar. Model pasaran Thailand ini tidak menerima sistem bunyi Bose seperti Civic generasi baharu di AS dan Jepun, namun kesemua varian diberikan lapan pembesar suara.

Secara standard, varian asas EL diberikan lampu hadapan automatik halogen projektor, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin bersama fungsi kunci walkaway, tempat duduk fabrik, sistem pendingin hawa zon tunggal, dan juga kamera undur.

Varian EL+ pula menerima tambahan kelengkapan seperti cermin sisi dengan fungsi lipat automatik, roda stereng balutan kulit, upholsteri kulit serta tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa elektrik lapan-hala.

Model tertinggi Civic RS pula diberikan perincian seperti lampu hadapan LED penuh, pengelap cermin automatik, upholsteri Ultrasuede hitam, lampu suasana kabin merah, cermin pandang belakang malap automatik, sistem pendingin hawa dua zon, set pedal aloi, pedal penukar gear, dan juga mod pemanduan Sport baharu.

Varian RS juga menerima tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan berkuasa elektrik empat hala, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, dan juga kunci berbentuk kad Honda Smart Key.

Semua varian Civic generasi ke-11 pasaran Thailand ini diberikan dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing – ya, ia turut dipadankan pada varian asas EL. Pakej tersebut terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan fungsi baharu amaran mula gerak kehadapan.

Walau bagaimanapun, teknologi Honda Sensing terbaharu seperti yang diterima pada Civic di AS dan Jepun iaitu sistem pemanduan autonomi tahap 2 dengan kelajuan di bawah 65 km/j Traffic Jam Assist (TJA) tidak diberikan untuk Civic pasaran Thai ini. Sistem kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch pula hanya diberikan pada model RS.

Selain itu, kesemua varian Civic Thailand ini juga menerima kelengkapan keselamatan standard seperti enam beg udara (tanpa dua beg udara lutut seperti pasaran lain), kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang

Civic ini turut menerima fungsi keselamatan baharu iaitu pengingat tempat duduk belakang bagi mengingatkan pemandu agar memeriksa dahulu tempat duduk belakang mereka sebelum meninggalkan kereta, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Model RS pula diberikan tambahan fungsi pengingat pemakaian tali pinggang keledar belakang.

Honda Thailand turut memperkenalkan pakej aksesori Modulo untuk Civic ini serentak dengan pelancarannya. Ia menampilkan kit badan yang terdiri dari spiltter udara hadapan, skirt sisi dan juga diffuser belakang, kesemuanya dalam kemasan hitam. Kit lengkap ini dijual pada harga 18,500 baht (RM2,300).

Honda Civic generasi ke-11 sudah dilancarkan di Thai – bermula RM122k, 1.5L VTEC Turbo, 178 PS/240 Nm

Modulo juga menawarkan Sport Package berharga 8,900 baht (RM1,100) yang menampilkan kemasan gril krom hadapan dengan rekaan Solid Wing Honda, bagi menjadikan muka Civic berkenaan lebih seiras dengan Accord, bersama liang udara palsu untuk bampar belakang.

Satu lagi pakej yang lebih lengkap disediakan yang dipanggil Exclusive Sport Package – secara asasnya Sport Package dengan tambahan spoiler belakang – dijual pada harga 17,200 baht (RM2,200). Pembeli turut boleh menambah kemasan krom untuk tip ekzos dengan harga 1,950 baht (RM250).

Aksesori asli Modulo lain yang turut ditawarkan termasuk rim 17-inci kemasan hitam dengan rekaan jejari turbin berharga 5,250 baht (RM660), scuff plate bernyala berharga 5,100 baht (RM640), penutup cermin sisi kemasan hitam berharga 1,950 baht (RM250) dan juga lampu untuk ruang kaki berharga 2,200 baht (RM270).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required