Sebelum ini Acura ada mengumumkan bahawa mereka akan menghidupkan semula nama ‘Integra’ yang bakal muncul di pasaran Amerika Syarikat pada tahun hadapan. Divisi mewah Honda berkenaan menyatakan bahawa Integra akan menjadi model paling mampu milik dari Acura, diasaskan dari Civic generasi ke-11 dan akan dibangunkan di Jepun.

Tapi, tiba-tiba Integra muncul pula di China. Imej yang disiarkan oleh portal automotif China, Autohome ini diambil dari laman sesawang kementerian industri dan teknologi informasi negara berkenaan, memaparkan Integra tersebut yang sebenarnya adalah sedan Honda Civic generasi ke-11, yang menampilkan muka dan bahagian belakang yang lebih unik.

Amalan untuk menghasilkan model kembar khas bagi pasaran China ini bukan perkara baharu kerana Honda diwakili oleh dua syarikat kerjasama tempatan di republik berkenaan iaitu Dongfeng Honda dan juga Guangqi Honda yang dimiliki oleh GAC. Kedua-dua entiti berkenaan bukan sahaja mempunyai dua jaringan jualan yang berbeza, malah masing-masing turut mempunyai fasiliti produksi yang tersendiri.

Antara contoh model kembar lain Honda di pasaran China ini termasuk SUV segmen-B Honda Vezel (atau HR-V di Malaysia) yang dijual oleh GAC, dan juga Honda XR-V yang dihasilkan oleh Dongfeng Honda. Manakala untuk Civic generasi ke-11 ini, ia dikilangkan oleh Dongfeng Honda di Wuhan, manakala kembarnya, Integra diproduksi oleh Guangqi Honda di Guangzhou.

Honda Integra khas untuk pasaran China ini masih menampilkan profil sisi badan yang sama dengan Civic sedan. Namun mukanya telah diberikan lampu hadapan lebih nipis (dengan sistem LED matrix seperti Civic Hatchback JDM), gril dengan elemen sarang lebah seperti Civic Hatchback tetapi dengan bentuk yang berbeza, serta rekaan sudut pada liang udara yang lebih tajam.

Manakala di belakang, Integra diberikan lampu dengan grafik LED berbentuk-L, manakala sambungannya pada penutup but direka lebih nipis dan tajam berbanding lampu belakang Civic. Ia juga diberikan bampar dengan kemasan hitam di bawah yang lebih besar yang turut menempatkan lampu kabus merah ala-kereta lumba di tengah, bersama reflektor sisi yang diletakkan dalam posisi menegak.

Integra pasaran China ini juga dilihat ditawarkan dengan pelbagai opsyen antaranya pilihan rim bersaiz dari 16- hingga 18-inci, spoiler ekor itik berwarna hitam dibelakang, diffuser bampar belakang dengan tip ekzos berkembar yang diserlahkan dan pelbagai lagi.

Model khas untuk pasaran China ini masih menerima sistem mekanikal yang sama seperti Civic sedan, menampilkan rangkaian kuasa gandingan enjin 1.5 liter empat silinder VTEC turbo berkuasa 182 PS (sama seperti model pasaran AS dan Jepun) dan kotak gear CVT automatik. Sistem keselamatan juga sama dengan diberikan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing.