Hampir dua minggu lalu, Acura telah mengumumkan bahawa mereka akan menghasilkan semula model Integra generasi baharu, yang bakal muncul pada tahun hadapan. Namun tiada sebarang perincian lanjut didedahkan oleh divisi mewah Honda berkenaan melainkan satu teaser yang menayangkan lampu hadapan model baharu berkenaan, bersama perkataan ‘Integra’ terukir pada bampar seakan model-model generasi sebelumnya.

Jadi ramai yang berpendapat bahawa Integra mungkin akan dibangunkan di Amerika Syarikat sebagai model istimewa yang eksklusif dengan logo Acura, dan mungkin juga akan dibangunkan dengan asas sedan Acura TLX dijelmakan sebagai sebuah coupe. Tak mustahil juga ia akan menjadi seperti model-model Acura yang lain iaitu model premium yang tidak dikongsi dengan barisan model-model Honda.

Namun menerusi satu temuramah oleh Motor Trend dengan naib presiden dan pegawai jenama Acura, Jon Ikeda, bayangan Integra generasi baharu berkenaan serba sedikit telah didedahkan. Dan ia nampaknya masih mengekalkan banyak DNA tradisi Integra, serta seakan sudah pasti turut akan hadir dengan logo Honda!

Acura Integra Teaser Sketch

Imej lakaran untuk Teaser Acura Integra 2023

Menurut Ikeda, Integra bakal menjadi model Acura untuk menggantikan NSX yang bakal dihentikan pengeluarannya di Performance Manufacturing Centre (PMC) di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat tidak lama lagi. Namun Integra akan melakukan tugas yang ‘terbalik’ berbanding NSX di mana ia bukan kereta halo yang bersifat berada di kedudukan tertinggi dalam hieraki model Acura dengan harga yang sangat mahal, tetapi akan diletakkan pada kedudukan paling bawah (entry level) supaya ia mampu dimiliki oleh ramai orang dalam masa yang sama membawa imej prestasi Acura.

NSX generasi kedua telah diperkenalkan pada 2016 dan bakal diakhiri dengan model ‘selamat tinggal’ Type S yang diperkenalkan bulan ini. Selama enam tahun dalam pasaran, NSX telah melakukan tugasnya untuk menaikkan semula imej Acura, dan misi ini akan disambung oleh Integra. “Sekarang masa yang sesuai untuk kereta halo bersara dan kereta volume entry perlu dikeluarkan semula. Ini masanya untuk Integra kembali,” kata Ikeda.

Jadi, Ikeda mengatakan bahawa Integra tidak akan diasaskan dari Acura TLX bagi memastikan ia boleh dijual pada harga lebih mampu milik, tetapi Integra bakal diasaskan dari Honda Civic generasi ke-11. Ini sememangnya DNA sebenar Integra kerana sejak dari model Honda Quint (sebelum lahirnya Quint Integra) sehingga model ke generasi-generasi seterusnya, ia sememangnya dihasilkan dari Civic tetapi diberikan dengan imej yang lebih sporty.

Ini juga bermaksud Integra bakal menggantikan tugas Acura ILX sebagai model paling mampu milik mereka, namun ia bukan model kesinambungan dari ILX yang juga sebenarnya diasaskan dari Honda Civic generasi kesembilan. “Integra bukan pengganti untuk ILX tetapi Integra merupakan model yang berada pada peringkat paling asas kami. Kami tidak ada rancangan untuk menghasilkan model yang lebih rendah dari itu,” kata Ikeda lagi.

Walaupun projek ini akan diketuai oleh Acura di Amerika Syarikat, Ikeda menjelaskan bahawa Integra akan dibangunkan di Jepun. Proses ini juga dilihat berlainan dengan NSX kerana model berkenaan sememangnya direka, dibangunkan dan dikilangkan di Amerika Syarikat. Faktor ini membayangkan bahawa Integra turut akan dijual di pasaran lain dan ada kemungkinan ia akan dijual dengan logo Honda di Jepun.

Ikeda sebelum ini pernah memiliki dua buah Integra, yang dibeli sebagai Honda pertamanya selepas bekerja dengan jenama berkenaan. Jadi Ikeda menyatakan bahawa beliau sendiri akan memastikan Integra generasi baharu ini mempunyai “segala elemen yang menyebabkan dia sendiri mahu membeli Integra,” seperti faktor harga – kerana ia diasaskan dari Civic.

Honda Civic generasi ke-11 masih akan diperkenalkan dalam dua versi prestasi iaitu Civic Si dan juga Civic Type R. Jadi tidak mustahil Integra bakal dijana oleh rangkaian kuasa dari mana-mana dua model prestasi berkenaan. Malah Ikeda turut menyatakan bahawa Integra tidak akan akan ditawarkan dalam versi hibrid.

“Saya sedar ramai yang mahukan Integra Type S,” kata Ikeda yang membayangkan model prestasi berkenaan bakal diperkenalkan pada Integra dalam barisan model Type S Acura.

Sebagai model paling bawah dalam hieraki, adakah Integra akan muncul dalam bentuk badan coupe dua pintu atau model empat pintu yang sporty, atau kedua-duanya sekali? Apabila ditanya soalan ini, Ikeda hanya menjawab “mungkin”. Integra mungkin popular dalam versi coupe, namun dari model generasi pertama sehingga ketiga, ia turut muncul dalam bentuk empat pintu. Malah, untuk model pertama Integra Type R, ia juga dihasilkan dalam versi empat pintu yang dikenali dengan kod casis DB8, berbanding DC2 untuk ITR coupe.

Menurut Ikeda lagi, Integra akan dibuat di Amerika Syarikat, iaitu pasaran terbesar Acura buat masa sekarang, dan ia akan menjadi model yang paling banyak dijual setelah dilancarkan nanti. Ini akan membantu Acura mencapai sasaran jualan tahunan 200,000 unit di Amerika. Beliau menambah, Acura mensasarkan untuk menjual sebanyak 180,000 unit kenderaan tahun ini, dengan model utamanya adalah SUV Acura MDX.