Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sudah menyatakan bahawa tiada lagi sekatan jalan raya yang akan dibuat selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi mereka yang sudah lengkap vaksin mulai hari ini. Sehubungan dengan itu, hari ini Polis Diraja Malaysia menyatakan bahawa pasukan pemantau akan diarahkan untuk ke lokasi tumpuan orang ramai bagi mengesan mereka yang merentas negeri tanpa suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali dalam laporan Berita Harian, polis akan akan mengeluarkan kompaun kepada individu belum lengkap divaksin tetapi mengambil kesempatan turut merentas negeri.
Pemantauan dan pemeriksaan pasukan berkenaan akan dibuat di lokasi tumpuan orang ramai termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuhraya, dan Hazani menegaskan bahawa tiada lagi amaran akan diberi dan pihaknya akan lebih bertegas dalam penguatkuasaan berkenaan.
“Pemeriksaan secara mengejut yang akan dilakukan dari semasa ke semasa itu bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung.
“Kerajaan sudah umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu.
“Aspek pematuhan SOP sudah diingatkan sejak tahun lalu lagi. Ada masanya kita perlu berkeras. Kali ini, kita terus kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap tanpa diberi amaran dahulu,” katanya kepada akhbar berkenaan hari ini.
“Kita sedia maklum tiada lagi sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi sekatan jalan raya dan operasi lain seperti Op Benteng tetap dilaksanakan untuk menangani aktiviti jenayah dan pelanggaran SOP,” katanya lagi.
Selain dari R&R, pemantauan SOP ini turut akan dibuat secara rawak di kawasan tumpuan awam lain di seluruh negara termasuk pusat-pusat beli belah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.