Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

Setelah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Ogos lalu, Geely dan Renault dilaporkan akan mengumumkan kerjasama mereka secara rasmi tidak lama lagi yang membolehkan kedua-dua syarikat bersama-sama memproduksi kereta-kereta dari Geely di Korea Selatan.

Langkah tersebut juga mungkin membolehkan model-model dari Geely untuk dieksport secara bebas duti ke Amerika Syarikat menerusi “pintu belakang” kerana Korea Selatan mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan kerajaan AS, lapor Reuters memetik tiga individu yang berkaitan dengan perkara ini sebagai sumber.

Laporan itu menyebut bahawa perjanjian kerjasama berkenaan sebenarnya telah pun mula diusahakan sejak awal 2021 walaupun MoU hanya ditandatangani pada bulan Ogos, dan ia turut melibatkan operasi bersama di China. Perjanjian ini akan membantu Renault untuk bangkit semula di Korea Selatan serta untuk lebih menyerlah di Asia, sebut laporan itu lagi.

Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

Sumber berkenaan turut memberitahu bahawa Renault yang sebelum ini telah keluar dari pasaran China pada 2020, bakal kembali ke negara yang mempunyai pasaran automotif terbesar di dunia tersebut dengan mewujudkan jenama baharu yang fokus terhadap teknologi plug-in hybrid. Kedua-dua pihak akan bersama-sama menguruskan jenama baharu tersebut.

Model-model baharu mesra alam untuk jenama baharu itu akan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA), yang juga turut digunakan oleh Volvo. Ia turut akan menggunakan rantaian pembekalan domestik dan fasiliti pembuatan Geely di China. Manakala Renault pula akan fokus terhadapn rekaan kenderaan, serta aspek jualan dan pemasaran jenama baharu tersebut di China, tambah sumber itu lagi.

Untuk Geely, kerjasama ini akan memberikan faedah di luar China di mana mereka akan mendapat tapak produksi segera di Korea Selatan. Salah satu sumber tersebut menyatakan bahawa Geely merancang untuk memproduksi SUV Lynk & Co 01 dalam versi petrol sepenuhnya dan juga hibrid di kilang Renault-Samsung yang terletak di Busan. Rancangan itu juga turut dilihat untuk melokalisasikan produksi berberapa model hibrid Lynk & Co di Korea.

Selain itu, Renault Samsung Motors (RSM) iaitu entiti yang dikuasai 80% oleh Renault akan menghasilkan versi mereka sendiri berdasarkan model-model Lynk & Co yang diproduksi di Busan. Langkah ini diharap akan memberikan lonjakan jualan termasuk eksport untuk RSM. Syarikat tersebut buat masa sekarang dilihat sedang menguncup dengan jualan hanya 116,000 unit pada tahun lalu berbanding mencapai jualan sekali ganda lebih banyak pada 2017. Rekod jualan kumulatif RSM dari Januari hingga November tahun ini pula telah mencapai angka 120k unit.

Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

Perjanjian kerjasama Renault dengan jenama China berkenaan dilihat bakal memberikan pelbagai faedah pada masa hadapan. Namun masih belum jelas adakah kerjasama ini bakal menimbulkan sebarang masalah terhadap Pakatan Renault-Nissan.

Laporan ini turut menyatakan bahawa di China, Renault dan Nissan mempunyai rakan kerjasama tempatan yang sama iaitu Dongfeng, sebelum kerjasama Renault-Dongfeng berakhir tahun lalu. Kedua-dua jenama dari Perancis dan Jepun itu juga menghasilkan model-model yang berkongsi platform dan komponen antara satu sama lain bagi mengurangkan kos.

Sebelum ini Nissan pernah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka apabila Renault cuba berkerjasama dengan pihak lain, menyebabkan rancangan untuk bergabung dengan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) pada 2019 dibatalkan. Namun kerjasama dengan Geely ini dilihat lebih ringan kerana tidak melibatkan sebarang pertukaran ekuiti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required