Lynk & Co 01 facelift bakal masuk pasaran Eropah

Lynk & Co 01 facelift bakal masuk pasaran Eropah

Empat tahun selepas Lynk & Co dilancarkan, kini syarikat itu bakal menembusi pasaran Eropah dengan membawa produk pertama iaitu SUV 01 versi facelift, serta cara menarik bagi pengguna di sana memilikinya.

Rupa 01 facelift ini pernah bocor Julai lalu dan kereta yang ditunjukkan ini menggunakan peningkatan yang sama, termasuk rekaan bampar yang lebih menyerupai model coupe 05. Gril hadapannya kini lebih nipis di bahagian tengah dan bahagian dalamnya menggunakan corak baru. Lampu yang terletak di bawah juga nampak lebih nipis, menggunakan bentuk lebih berpetak dan mempunyai bahagian dalam yang gelap.

Bukaan udara yang terdapat pada bucu bampar menggunakan rekaan petak menegak, sementara yang di tengah lebih besar dan keduanya disambungkan dengan kemasan plastik warna hitam. Bampar belakang juga menggunakan rupa hampir sama, dengan pemantul cahaya menegak, dua muncung ekzos bulat dan diffuser. Rekaan rim 20 inci itu juga adalah baru.

Lynk & Co 01 facelift bakal masuk pasaran Eropah

Pada bahagian dalam, rekaan kabin direka semula, dan sekali lagi ia menghampiri rekaan 05 dengan jalur corong pendingin hawa yang panjang, roda stereng baru, konsol tengah lebih bersih, panel instrumen digital 12.3 inci serta skrin sesentuh yang lebih besar (12.7 inci) di tengah. Menurut Lynk & Co, sistem kenderaan ini akan dilengkapkan dengan sambungan serta navigasi atas talian, sokongan untuk aplikasi luar serta “kamera media sosial.”

Semua ciri serta kelengkapan yang penuh ini akan diberi secara standard pada 01 yang dijual di Eropah dan pembeli cuma perlu memilih warna, sama ada hitam atau biru, dan penggerak sama ada hibrid (HEV) atau plug-in hybrid (PHEV). Perincian teknikal masih belum didedahkan, tetapi ia mungkin adalah sama sahaja seperti 01 yang dijual di pasaran China.

Di sana, 01 HEV dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter turbo, menghasilkan kuasa 143 PS pada 5,500 rpm dan 215 Nm tork antara 2,500 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan motor elektrik 40 kW (54 PS) dan 130 Nm, sekaligus menjadikan kuasa keseluruhannya 197 PS dan 345 Nm tork. Penggunaan bahan api berada pada kadar 4.8 l/100 km.

Sementara itu, versi PHEV pula mendapat enjin yang lebih berkuasa, menghasilkan kuasa 180 PS dan 265 Nm tork antara 1,500 hingga 4,000 rpm. Digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 60 kW (82 PS) dan 160 Nm, model ini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS dan 425 Nm tork, manakala penggunaan bahan api pula 1.6 l/100 km, dengan jarak gerak elektrik 51 km.

Satu lagi bahagian penting yang diperkenalkan oleh Lynk & Co adalah servis berasaskan langganan untuk 01. Melaluinya pengguna boleh memiliki kenderaan pada masa yang mereka mahukan, dengan bayaran bulanan yang kosnya diunjurkan tidak lebih daripada €500 (RM2,400). Semua insurans, penyelenggaraan berkala serta akses kepada platform perkongsian kenderaan sudah termasuk dalam harga tersebut.

Langganan kenderaan ini boleh dibatalkan pada bila-bila masa dengan notis awal satu bulan. Selain sistem langganan ini, sudah tentu, orang ramai juga boleh membeli 01 seperti kereta biasa, tetapi perkongsian kenderaan ini dianggap sebagai satu bahagian yang penting dalam perniagaan mereka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required