Walaupun masih belum ada model-model Proton dijual ke pasaran China, jenama kereta nasional Malaysia berkenaan telah dinamakan sebagai salah satu jenama yang akan membekalkan kereta rasmi untuk Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022, yang bakal berlangsung dari 10 hingga 25 September 2022 nanti.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton hari ini, mereka dipilih kerana kaitannya dengan Geely Auto Group, yang merupakan Rakan Kongsi Prestij Rasmi untuk sukan yang bakal berlangsung di Hangzhou, dalam wilayah Zhejiang, China berkenaan.
Proton menyatakan bahawa pengiktirafan ini bukan sekadar memberikan peluang kepada mereka untuk menyokong acara pelbagai-sukan terbesar di Asia tersebut, malah secara tidak langsung akan memberikan peluang kepada Proton untuk tampil sebagai jenama antarabangsa dan meningkatkan imej di Asia.
Dengan perlantikan ini, Proton akan membawa kesemua model sedia ada mereka termasuk Proton Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 dan X70 untuk bertugas di Sukan Asia Hangzhou 2022.
Disamping itu, Proton turut akan melancarkan kempen peringkat nasional untuk meningkatkan keterujaan dikalangan rakyat Malaysia menjelang sukan tersebut, bagi menaikkan semangat olahragawan negara yang sedang berusaha untuk menyampaikan persembahan terbaik mereka di Sukan Asia kelak. Kempen akan dijalankan dengan meraikan semangat kesukanan di kalangan rakyat dan menonjolkan peranan sukan dalam memupuk perpaduan, selain dari mempromosikan aktiviti kecergasan dan sukan.
Kempen tersebut juga adalah “untuk mengukuhkan hubungan di antara Proton dengan orang ramai, selaras dengan slogan acara tahun ini – ‘Heart to Heart, @Future'” menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan tersebut.
“Mencerminkan komitmen Proton ke arah ‘Inspiring Connections’ dan usaha berterusan kami untuk kecemerlangan, kami ingin menampilkan cara baru bagi memeriahkan Sukan Asia ke-19 melalui kempen-kempen kami. Acara pelbagai sukan di Asia akan memberikan platform penting kepada Proton, dan matlamat kami adalah untuk menghubungkan semua lapisan masyarakat untuk menyertai kami dan memberikan sokongan kepada olahragawan negara bagi mendorong mereka untuk mencapai kejayaan, dan meraikan identiti kita sebagai sebahagian dari Keluarga Asia,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
Kempen ini akan dimulakan dengan “Peraduan PROTON Ignite Your Life” di mana pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah apabila mereka menempah dan mendaftar model-model baharu Proton yang terdiri dari Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 ataupun X70 dari 1 Februari hingga 31 Julai 2022.
Antara hadiah menarik yang ditawarkan menerusi peraduan ini termasuk hadiah utama iaitu perjalanan eksklusif ke Hangzhou untuk merasai acara sukan berkenaan secara langsung, serta hadiah bulanan seperti e-baucar untuk produk sukan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.