Kereta elektrik sepenuhnya (EV), Nissan Leaf kini dijual di Malaysia pada harga RM145k selepas ia menerima pengecualian penuh terhadap duti import dan eksais untuk kereta EV seperti yang diumumkan oleh kerajaan pada Bajet 2022 yang dibentangkan tahun lalu. Harga baharu ini adalah RM44k lebih murah berbanding harga ketika ia dilancarkan dalam pasaran tempatan dengan atas jalan tanpa insuran RM188,888 pada Julai 2019.
Masih tiada sebarang pengumuman rasmi dari Nissan Malaysia berkenaan perkara ini, namun kami mengetahui harga baharu tersebut menerusi platform langganan kereta tempatan iaitu GoCar (juga subsidiari Tan Chong Group) yang menyediakan program langganan kereta elektrik iaitu GoEV yang menawarkan Nissan Leaf.
GoEV menyenaraikan Nissan Leaf untuk anda pilih dalam pakej pembelian langsung dengan harga bermula RM145k, atau menerusi pakej langganan dengan bayaran bulanan bermula RM2,300. Berdasarkan risalah yang disiarkan di bawah, untuk unit bagi pakej pembelian langsung, GoEV akan memberikan kereta baharu yang belum didaftarkan.
KEMASKINI: GoCar telah membuat pengesahan bahawa mereka tidak menjual unit-unit baharu Nissan Leaf, dan kereta yang berharga RM145k tersebut adalah unit-unit terpakai dari flit langganan mereka, dan unit-unit berkenaan adalah terhad. Edaran Tan Chong Motor (ETCM) merupakan pengedar rasmi untuk Nissan Leaf di Malaysia.
Perniagaan utama GoCar adalah menerusi pakej langganan. Jadi sekiranya anda memilih untuk melanggan Nissan Leaf melalui syarikat ini, anda ditawarkan dengan kontrak untuk melanggan kereta berkenaan untuk tempoh satu-, dua0 atau tiga-tahun.
Bayaran bulanan paling rendah untuk melanggan Nissan Leaf ini adalah RM2.3k sebulan, dan ia adalah untuk pakej paling lama iaitu tiga tahun. Bagi pakej dalam tempoh lebih singkat, bayaran bulanan yang dikenakan adalah lebih tinggi. Untuk melanggan, anda perlu membayar deposit keselamatan (yang akan dipulangkan) dengan jumlah dua bulan langganan bersama bayaran bulanan pertama.
Pakej langganan tersebut adalah termasuk sekali dengan kos penyelenggaraan/servis berkala, insuran, cukai jalan, peranti telematik, pengecas wallbox 7kW, serta komponen-komponen haus dan lusuh lain seperti tayar, pad brek, getah pengelap cermin, bateri 12V dan sebagainya – jadi anda tidak perlu risau tentang kos-kos berkenaan.
Walau bagaimanapun, pelan langganan tersebut hanya mengehadkan perjalanan sejauh 20,000 km setahun untuk kereta yang dilanggan (atau 1,666 km sebulan). Sekiranya pelanggan memandu lebih dari had jarak perjalanan tersebut, mereka perlu membuat bayaran tambahan RM2.30 untuk setiap km. Jadi sekiranya anda risau berkenaan nilai jualan semula mahupun kos penyelenggaraan kereta elektrik penuh, tetapi berminat dengan EV, anda mungkin perlu mencuba pakej langganan dari GoEV ini berbanding pakej pembelian langsung.
Nissan Leaf pasaran Malaysia adalah diimport terus dari Jepun (CBU) dan ia datang dengan perlindungan waranti pengeluar selama tiga-tahun/100,000 km serta servis percuma selama tiga-tahun/60,000 km. Manakala bateri EV lithium-ion untuk kereta ini pula diberikan waranti selama lapan-tahun/160,000 km.
Dengan harga baharu RM145k, Nissan Leaf kini lebih murah berbanding Hyundai Kona Electric yang dijual juga tanpa cukai dengan harga bermula RM149,888 hingga RM199,888. Leaf dijual hanya dengan satu varian di Malaysia menampilkan bateri 40 kWj dengan jarak gerak 311 km untuk satu cas penuh (kitaran NEDC), manakala varian asas Kona Electric e-Lite pula datang dengan bateri 39.2 kWj dan menawarkan jarak gerak 305 km yang dicapai menerusi ujian WLTP yang lebih ketat.
Untuk mengecas pula, Leaf menampilkan penyambung Type 1 untuk pengecas AC dan juga CHAdeMO untuk pengecas DC. Manakala bagi Kona, ia diberikan penyambung Type 2 untuk pengecas AC dan CCS2 untuk pengecas DC. Kami sudahpun memandu uji Nissan Leaf, dan anda boleh baca ulasan berkenaan pada PAUTAN INI.
GALERI: Nissan Leaf generasi kedua pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.