Volkswagen Passenger Cars Malaysia, (VPCM) mendedahkan bahawa mereka kini lebih fokus untuk menawarkan kereta-kereta berkualiti premium pada harga berpatutan. Oleh itu, dua model entry-level segmen-B jenama Jerman berkenaan iaitu hatchback Polo dan sedan Vento tidak akan dijual lagi di sini, dan model paling mampu milik VW di Malaysia kini adalah Golf R-Line.
“Ada jarak dalam pasaran untuk kereta berkualiti premium dengan titik harga yang mampu dimiliki, dan itulah yang akan kami tawarkan,” kata Erik Winter, pengarah urusan VPCM dalam satu temu ramah eksklusif.
“Kami telah mengemaskini portfolio kami bagi memastikan bahawa kami hanya menawarkan model yang sesuai dengan strategi perniagaan kami. Semua model sedia ada kami mempunyai gabungan prestasi, kemewahan dan praktikaliti yang ideal – menjadikannya pilihan terbaik untuk pelanggan,” tambahnya lagi.
Antara contoh apa yang dikatakan oleh Winter ini adalah Arteon R-Line. Dengan harga RM260k, pembeli bukan sahaja menerima sebuah sedan eksekutif dengan bentuk seakan coupe, malah ia dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm.
Arteon R-Line juga dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar DSG tujuh-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda 4Motion, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.6 saat – tiada sedan premium dengan harga hampir sama seperti Arteon R-Line ini yang mampu memberikan spesifikasi dan angka prestasi yang sama.
Walau bagaimanapun, barisan model-model yang ditawarkan oleh VPCM dilihat tidak menawarkan fungsi-fungsi bantuan pemanduan, di mana saingan-saingan terdekat jenama tersebut lazimnya menawarkan perincian paling kurang pun dengan brek kecemasan automatik (AEB) secara standard.
Pada Volkswagen Golf Mk8 misalnya, ia sebelum ini dijangka akan dipadankan dengan sistem AEB, namun fungsi berkenaan nampaknya tidak disertakan ketika model generasi baharu tersebut dilancarkan di sini pada Februari lalu.
Memberi respon terhadap perkara ini, Winter berkata: “Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan, dan kami akan terus menambah pelbagai perincian pada produk kami. Apa-apa kemaskini terhadap sistem bantuan pemanduan kami memerlukan kelulusan teknikal dan kawalselia. Sistem-sistem keselamatan aktif berkenaan kini sedang menjalani proses penilaian dan kelulusan teknikal untuk Malaysia. Ia akan ditawarkan setelah proses-proses ini lengkap.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.