BMW 7 Series G70 2023 diperkenal – konsep rekaan baru, lampu Swarovski, TV 8K 31 inci di belakang

BMW 7 Series G70 2023 diperkenal – konsep rekaan baru, lampu Swarovski, TV 8K 31 inci di belakang

Persaingan dalam segmen kenderaan mewah nampaknya semakin sengit apabila BMW melancarkan 7 Series G70 baru untuk bersemuka dengan antaranya Mercedes-Benz S-Class W223. Perkara yang menjadi bualan hangat adalah rekaan mukanya, tetapi sebenarnya ia juga melibatkan pelbagai lagi peningkatan lain.

Gril besar itu mungkin sudah biasa kita lihat kerana sudah semakin banyak digunakan tetapi yang lebih pelik adalah lampu jenis terpisah itu. Unit yang lebih nipis di atas adalah DRL LED dan penunjuk arah (boleh dipilih dengan versi kristal Swarovski), sementara bahagian yang di bawah pula adalah lampu utama yang datang standard dalam unit LED adaptif bersama lampu tinggi matriks (tiada pilihan LaserLight).

Garis bumbung dan badan G70 ini adalah berbeza berbanding model sebelumnya, sementara pembuka pintu pula menggunakan jenis yang rata dengan permukaan, seperti SUV elektrik iX. Bagi memberikan privasi kepada penumpang, cermin segi tiga di pintu belakang digelapkan sepenuhnya.

Pergi ke belakang, 7 Series baru ini mendapat lampu LED dengan jalur krom di dalam manakala tempat nombor plet pula sudah diubah dari atas penutup but ke bampar di bawah. Muncung ekzos bagi kebanyakan model akan disembunyikan, dan hanya varian M760e sahaja yang akan mempunyai empat muncung ekzos di bahagian bawah bamparnya.

Seperti biasa, pelanggan juga akan disediakan dengan pakej M Sport, yang memberikan kemasan hitam pada pelbagai bahagian termasuk bampar dan skirting, serta rim 20 inci. Pakej M Sport Pro pula ditambah dengan gril hitam, spoiler belakang hitam, rim 21 inci, brek M Sport warna hitam dan tali pinggang dengan jalur tiga warna M.

Model ini hanya ditawarkan dalam versi jarak roda panjang, dan ukurannya adalah 5,391 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,544 mm tinggi. Ini bersamaan dengan 130 mm lebih panjang, 48 mm lebih lebar dan 51 mm lebih tinggi berbanding model G12. Jarak roda 3,215 mm pula menjadikannya lima milimeter lebih panjang.

Selain bahagian luar, bahagian dalam juga berubah sepenuhnya, dengan terdapat panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin sesentuh 14.9 inci untuk sistem infotainmen – diambil daripada iX bersama sistem BMW Operating System 8.

Corong pendingin hawa kini disembunyikan, dan di tempat biasanya terdapat panel Interaction Bar yang bersambung sepanjang papan pemuka tersebut. Panel ini disepadukan dengan lampu suasana serta butang kawalan untuk pengudaraan, lampu serta pembukaan glovebox. Roda stereng menggunakan unit seperti 2 Series Active Tourer manakala konsol tengah dengan tombol iDrive lutsinar (unit kristal disediakan sebagai pilihan) dan butang pemilih gear adalah sama seperti iX.

BMW 7 Series G70 2023 diperkenal – konsep rekaan baru, lampu Swarovski, TV 8K 31 inci di belakang

Binaan lebih istimewa dibuat di bahagian belakang, dengan pembeli boleh mendapatkan tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi mengurut dan berliang, serta pilihan Axecutive Lounge yang memberikan pelarasan sandar sehingga 42.5 darjah dan rekaan ottoman tanpa ruang. Turut diberikan adalah perehat tangan besar dengan pengecas Qi tanpa wayar.

Pesta skrin di bahagian belakang bermula dengan skrin sesentuh 5.5 inci yang diletakkan di tepi setiap pintu, dan yang paling menyerlah adalah BMW Theatre Screen 8K 31.3 inci yang disepadukan dengan Amazon Fire TV dan membenarkan akses kepada pelbagai servis streaming. Kawalan pendingin hawa empat zon, bumbung panoramik serta sistem bunyi Bowers & Wilkins 655 watt dengan 18 pembesar suara diberikan standard.

Pilihan tambahan yang disediakan pula adalah termasuk sistem B&W Diamond Surround Sound 1,965 watt dengan 36 pembesar suara serta exciter yang diletakkan pada penyandar tempat duduk belakang. Turut disediakan adalah bumbung panoramik Sky Lounge dengan jalur lampu yang diukir atas kaca serta pintu yang boleh dibuka secara automatik.

Melalui model ini, BMW menunjukkan mereka serius dengan penggerak elektrik apabila memperkenalkan juga i7, iaitu versi elektrik penuh yang ditawarkan hanya dalam satu varian. Di Amerika Syarikat dan China, 7 Series akan diperkenalkan dalam varian 740i, yang menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter turbo B58 berkuasa 380 PS/520 Nm, sementara pasaran lain juga akan ditambah dengan varian 735i yang ditala untuk menghasilkan 286 PS/435 Nm.

Terdapat juga varian lebih berkuasa 760i xDrive yang menggunakan enjin V8 4.4 liter twin turbo N63 berkuasa 544 PS dan 750 Nm. Semua enjin ini dipadankan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan baru serta motor elektrik bersepadu, menjadikan ia sebagai hibrid ringkas.

Pasaran Eropah cuma akan menerima i7 pada waktu awal ini, tetapi nanti ia akan ditambah dengan 740d xDrive yang menggunakan enjin enam silinder 3.0 liter turbo B57 300 PS/650 Nm. Dua model plug-in hybrid akan diperkenalkan ke seluruh dunia tahun depan, iaitu 750e xDrive dan M760e xDrive. Kedua-duanya menggunakan enjin 740i, dipadankan bersama motor elektrik 145 kW (200 PS), menjadikan kuasa keseluruhannya masing-masing 490 PS/700 Nm dan 571 PS/800 Nm.

Untuk aspek keselamatan, 7 Series baru ini datang standard dengan Autonomous Emergency Braking sementara apabila mengambil pakej Driving Assistant, ia ditambah dengan pemerhati titik buta dan amaran perlanggaran, AEB undur, amaran trafik dari belakang dengan brek automatik serta amaran buka pintu.

Driving Assistant Plus pula memberikan Adaptive Cruise Control dengan bantuan kekal lorong dan stop-and-go yang boleh digunakan sehingga kelajuan 180 km/j, manakala varian Professional pula membenarkan ia digunakan pada kelajuan sehingga 250 km/j, boleh mengenal pasti lampu trafik, serta bantuan tukar lorong.



GALERI: BMW 760i xDrive G70

GALERI: BMW M760e xDrive G70

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required