GALERI: BMW ix xDrive40 2022 di M’sia – SUV elektrik dengan 326 PS, jarak 425 km, harga dari RM361k

GALERI: BMW ix xDrive40 2022 di M’sia  – SUV elektrik dengan 326 PS, jarak 425 km, harga dari RM361k

BMW iX dilancarkan di pasaran Malaysia pada Ogos tahun lalu, tapi baru kini kita mendapat unit tempatan, dan difahamkan penghantaran model yang ditempah akan bermula pertengahan bulan ini. SUV elektrik ini telah mula dipromosi sejak Disember lalu, dengan model Sport pula diperkenalkan pada Januari 2022.

Untuk itu, kami membawakan galeri penuh bagi fotonya, dan kereta yang anda lihat ini adalah varian spesikasi asas xDrive40 yang ditawarkan pada harga atas jalan RM361,430, tanpa insurans, atau RM379,800 dengan waranti lima-tahun dan pakej servis, berbanding waranti standard dua-tahun, tanpa had perbatuan (semua model didatangkan dengan waranti bateri lapan-tahun/160,000 km).

Harga ini termasuk dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 50% bagi model import sepenuhnya (CBU) yang bakal tamat pada 30 Jun 2022. Bagi varian Sport pula, harganya telah meningkat sebanyak RM46,000, kini menjadi RM407,430, atau RM425,800 dengan waranti lima-tahun dan pakej servis. Jika ingin memiliki Pakej Kuasa yang didatangkan dengan pengecas wallbox 22 kW dan kabel pengecasan awam, kos tambahan sebanyak RM4,600 akan dikenakan.

GALERI: BMW ix xDrive40 2022 di M’sia  – SUV elektrik dengan 326 PS, jarak 425 km, harga dari RM361k

Bagi penjana kuasanya, kedua-dua varian menampilkan sistem janaan yang sama — dua motor elektrik, diletakkan pada setiap satu gandar yang menyalurkan pacuan semua-roda. Ia memberikan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan tork 630 Nm, yang membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.

Kuasa yang disalurkan untuk e-motor dijanakan dari bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 76.6 kWh (71 kWh) yang mampu memberikan jarak sehingga 425 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, xDrive40 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit. Ada juga pengecas pantas DC dengan kuasa sehingga 150 kW menggunakan sambungan CCS2, yang boleh mengecas 0-80% dalam masa 31 minit.

Varian xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat.

GALERI: BMW ix xDrive40 2022 di M’sia  – SUV elektrik dengan 326 PS, jarak 425 km, harga dari RM361k

Menjengah bahagian kabinnya, ia diberikan sistem Live Cockpit Professional dengan paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan juga paparan skrin sesentuh sentral 14.9-inci — yang kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8 baharu.

Selain itu, ia turut ditawarkan dengan pakej dalaman Atelier bersama kawalan dan komponen terpilih dalam rona Gold Bronze. Sementara itu, tempat duduk, papan pemuka, konsol tengah dan perehat tangan tengah diberikan kemasan kulit sintetik Sensatec. Kelengkapan standard yang lain termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, peredam pasif standard, pengecas tanpa wayar Qi, kawalan pergerakan, bantuan parkir, kamera undur dan 12-pembesar suara dengan output mencecah 205 watt.

Untuk varian Sport, ia menerima ciri tambahan termasuk lampu utama Laserlight, brek Sport dengan kaliper berwarna biru, bumbung matahari panoramik dengan pencahayaan Sky Lounge, kamera 360-darjah dan sistem bunyi Harmon Kardon 655-watt dengan 18-pembesar suara.

Bagi aspek keselamatan, iX didatangkan dengan elemen standard bagi pakej Driver Assistant, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang, dan bantuan lampu tinggi.

Varian Sport juga menerima ciri tambahan bagi pek Professional yang merangkumi kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop-and-go, dan bantuan pemusatan lorong untuk fungsi pemanduan separa-automatik Tahap 2. Ia juga diberikan sistem pemantauan tekanan tayar dan sekatan pancaran tinggi bagi mengelakkan pemandu lain silau dengan suluhan lampu varian ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required