Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

Bagi yang belum mengetahui, selain dari pasaran UK dan Australia, Proton sebenarnya pernah masuk ke pasaran Jepun. Ya, Jepun! Tetapi, hanya Satria Neo yang di bawa kesana.

Ini kerana pengedar yang membawa Satria Neo ke Jepun adalah pengeluar peralatan prestasi tinggi khususnya untuk transmisi dan suspensi dari negara tersebut iaitu Carrosser Co. Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco. Cusco sebenarnya berminat untuk menghasilkan kereta rali berasaskan Satria Neo kerana model tersebut sememangnya sangat berpotensi. Jadi dalam masa yang sama mereka turut menjadi pengedar untuk versi produksi biasa kereta berkenaan di Jepun.

Unit yang anda lihat tampil dalam hantarn blog Gazoo.com hari ini adalah milik Encik Junichi Miyasaka yang kini berumur 49 tahun. Satria Neo miliknya ini merupakan jentera rali sebenar yang dibina oleh Cusco dan digunakan oleh pasukan Cusco Jr Rally Team dalam Kejohanan Rali Seluruh Jepun musim 2012 dan 2013. Apa yang menarik, Gazoo.com menyatakan bahawa En Miyasaka kini tidak mempunyai kereta lain untuk kegunaan hariannya selain dari Satria Neo ini.

Menurut En Miyasaka lagi, Satria Neo ini dibeli selepas kereta rali Suzuki Swift Sport HT81S miliknya terlibat dalam kemalangan pada 2013. Satria Neo ini kini digunakan oleh En Miyasaka untuk berlumba di Kejohanan Rali Hokkaido dalam kategori RA3.

Tidak seperti Satria Neo S2000 yang dibina oleh Mellors Elliot Motorsport di UK, jentera rali yang dibina oleh Cusco di Jepun ini adalah untuk kategori produksi. Jadi ia masih menggunakan enjin asal Campro S4PH 1.6L yang sama dengan model standard, dan ia cuma ditala semula menerusi pemadanan kotak komputer perlumbaan.

Selain dari enjinnya yang masih standard, Satria Neo ini menerima kelengkapan-kelengkapan seperti kereta rali lain seperti rollcage penuh, pemadam api, komputer trip, tempat duduk dan tali pinggang keledar perlumbaan dan pelbagai lagi. Ia turut diberikan perlalatan prestasi dari Cusco seperti LSD dan komponen-komponen suspensi lain termasuk set penyerap hentak rali boleh laras sepenuhnya.

Selain itu, Satria Neo ini juga dipadankan dengan rim Enkei 15-inci serta disertakan dengan corong bumbung bagi memberikan udara segar kepada pemandu dan juruarah di dalam kabin. En Miyasaki turut masih mengekalkan grafik badan Cusco Jr Rally Team pada badan kereta ini yang menampilkan watak bernama “Sato Ria”. Kalau anda nak tahu, orang Jepun sememangnya memanggil Satria ini dalam loghat mereka yang berbunyi Satoria.

Untuk lebih perincian berkenaan latar belakang En Miyasaki dan juga lebih gambar kereta rali Satria Neo miliknya ini, anda boleh lawati sendiri laman blog Gazoo.com pada PAUTAN INI.

Proton Satria Neo tampil dalam blog Gazoo.com

Sedikit sejarah berkenaan kereta rali Satria Neo binaan Cusco ini, pasukan berkenaan telah memberikan kereta ini kepada tiga pelumba Cusco Junior Rally Team dari Jepun iaitu Hiroshi Yanagisawa, Yuya Sumiya dan Akira Bamba, digunakan dalam Kejohanan Rali Jepun dan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk kategori N2. Juara Kejohanan Rali Indonesia lapan-kali, Rifat Sungkar turut memandu kereta ini pada pusingan ke-8 Kejohanan Rali Jepun 2011, yang merupakan percubaan pertamanya memandu dalam rali di atas permukaan tar.

Jentera rali Cusco Satria Neo Group N ini juga mencatatkan kenangan manis buat Karamjit Singh. Setelah menyepi dari APRC selepas penampilan terakhirnya pada 2005, Karam kembali ke kejohanan tersebut pada pusingan kedua musim 2011, iaitu di Rali Queensland yang berlangsung di Australia pada 13 hingga 15 Mei.

Beliau terus memberikan impak besar pada kejohanan tersebut dengan menjadi juara kategori N2, meninggalkan Akira Bamba 4.5 minit di belakang, dalam masa yang sama menjadikan Satria Neo ini sebagai kereta rali 2WD terpantas sepanjang perlumbaan berkenaan. Karamjit turut meraih tempat ke-sembilan secara keseluruhan yang rata-rata di dominasi jentera jauh lebih berkuasa seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru WRX.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required