Pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) sepatutnya berlumba dalam musim penuh Kejohanan Rali British (BRC) tahun ini dengan Proton Iriz R5. Namun kerana pandemik Covid-19, kejohanan tersebut hanya berjaya dilangsungkan sebanyak satu pusingan iaitu di Cambrian Rally 2020, dengan pemandu utama MEM, Oliver Mellors berjaya mengutip 14-mata selepas menduduki tangga ke-4.
Setakat ini, MEM masih belum mengumumkan sebarang rali yang akan disertai oleh mereka untuk tahun ini selepas BRC sah dibatalkan untuk keseluruhan musim 2020. Namun pada hujung bulan lalu, pasukan tersebut sudahpun mula melakukan ujian semula selepas kelonggaran lockdown yang telah dibenarkan oleh kerajaan UK.
Ujian kali ini dibuat untuk talaan bagi rali yang berlangsung di atas permukaan tar. Ia bukan sahaja disertai oleh Oliver Mellors, malah turut melibatkan sebuah lagi Iriz R5 yang dipandu oleh juara Rali British Wanita untuk musim 2017 dan 2018, Nabila Tejpar.
Tejpar sepatutnya akan mula berlumba dengan Iriz R5 ini pada pusingan kedua BRC 2020 di West Cork Mac lalu. Selain itu, dia juga sepatutnya akan bertindak sebagai pemandu unit Iriz R5 kedua untuk pusingan-pusingan BRC 2020 yang berlangsung di atas permukaan tar termasuk rali Clacton, Ypres dan Ulster.
Sudah tentu, ujian ini bukan di buat ‘saja-saja’. Menurut MEM, mereka akan menyertai rali semula pada berberapa bulan akan datang. Namun rali mana yang akan disertai belum lagi diumumkan secara rasmi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.