BMW Malaysia telah merombak semula harga 3 Series, dengan menyaksikan 320i Sport, 330i M Sport, 330e M Sport dan 330Li M Sport kini menjadi lebih mahal berbanding sebelumnya. Walaubagaimanapun, bagi M340i xDrive, harganya telah berkurang banyak berbanding harga asal yang hampir RM400k.
Harga yang kami nyatakan ini adalah tidak termasuk insurans, dan diberikan sekali dengan jaminan tanpa had batuan selama dua tahun. Ia juga telah dikira sekali dengan pengecualian cukai yang diberi sehingga 30 Jun ini, dan tertakluk untuk semua model 3 Series kerana ia dipasang di dalam negara, kecuali M3 Competition.
Pada waktu artikel ini ditulis, 320i Sport dijual pada harga RM233,269.43, iaitu RM505.78 lebih tinggi berbanding RM232,763.65 yang tertulis dalam senarai harga bertarikh 12 Januari 2022. Ini juga berlaku pada 330i M Sport yang kini dijual RM702.22 lebih tinggi, menjadi RM274,914.24, serta 330Li M Sport, yang kini RM354.46 lebih tinggi berbanding RM280,518.68 sebelum ini.
Peningkatan yang lebih tinggi berlaku pada model plug-in hybrid 330e M Sport, iaitu sebanyak RM1,343.65, menjadi RM256,192.60. Bagi satu-satunya versi M Performance untuk 3 Series pula, iaitu M340i xDrive, ia kini dijual pada harga RM351,749.41, bersamaan kurang RM41,484.72 berbanding harga RM393,234.13 pada bulan Januari.
Apabila dibandingkan senarai harga pada bulan Januari dengan sekarang, kami dapati peningkatan untuk 320i Sport, 330i M Sport dan 330Li M Sport mempunyai kaitan dengan SST kerana harga jualannya apabila tidak termasuk SST adalah sama seperti pada bulan Januari.
Walaupun begitu, apabila kami rujuk harga sebelum lagi daripada tarikh tersebut, iaitu 14 Julai 2021, harga untuk tiga varian ini sudah pun pernah dinaikkan sebanyak RM3,000 untuk 330i M Sport dan 330Li M Sport, sementara 320i Sport pula sebanyak RM2,000. Model 320i Sport juga pernah dinaikkan harganya sebanyak RM4,000 pada bulan Januari 2021, sementara harga tanpa SST bagi 330e M Sport turun sebanyak RM1,644.18 pada waktu itu.
Perkara sama turut berlaku pada 330e M Sport, yang menyaksikan harga jualan dengan SST bertambah RM5,000 dari Julai 2021 hingga Januari 2022, dan naik sekali lagi sebanyak RM8,863 menjadi harga seperti sekarang. Sementara itu, harga termasuk SST bagi M340i xDrive naik RM4,000 dari Julai 2021 ke Januari 2022, tetapi sekarang turun RM50,000 mengikut senarai harga terkini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.