Mercedes-AMG C63 2022 – tiada V8, 670 hp dari 2.0L Turbo 4-silinder hybrid, motor elektrik belakang

Mercedes-AMG C63 2022 – tiada V8, 670 hp dari 2.0L Turbo 4-silinder hybrid, motor elektrik belakang

Sebelum didedahkan sepenuhnya, Mercedes-AMG telahpun membuat pratonton untuk model generasi baharu Mercedes-AMG C 63 ketika berlangsungnya perlumbaan Nürburgring 24-jam baru-baru ini. Unit yang dibawa tersebut masih lagi mengenakan pelekat penyamaran, dan beberapa perincian berkenaan sedan prestasi tinggi tersebut telah pun diumumkan.

Seperti biasa, ia diasaskan dari C-Class biasa, untuk kali ini generasi W206 yang sudahpun berada lebih setahun dalam pasaran. Apa yang menarik, tiada lagi enjin V8 akan dibekalkan untuk lawan terus kepada BMW M3 G80 ini, dan ia akan digantikan dengan enjin empat-silinder seperti apa yang dilaporkan sebelum ini.

Menurut laporan Autocar, C 63 generasi baharu ini akan menerima enjin M139 2.0 liter empat silinder sebaris sama seperti Mercedes-AMG A 45 S, dipasang secara menegak kebelakang seperti C 43 4Matic yang telah diperkenalkan April lalu (turut sudah tidak menerima enjin V6 seperti generasi sebelumnya), serta diberikan bantuan kuasa dari teknologi elektrifikasi.

Enjin M139 pada C 63 berkenaan menghasilkan kuasa lebih besar dari versi C 43 (408 PS) dan A 45 S (421 PS), iaitu pada kadar 470 hp, menjadikan ia enjin empat-silinder produksi paling berkuasa di dunia. Enjin tersebut turut dibantu dengan sistem hibrid ringkas 48-volt dengan starter generator pacuan tali sawat seperti pada enjin M256 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris Mercedes-AMG CLS 53 4Matic+, menghasilkan kuasa dan tujahan tambahan 22 hp/249 Nm.

Tidak cukup dengan itu, C 63 generasi baharu ini turut menerima motor elektrik pada gandar belakang yang menerima kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan 201 hp, membolehkan sedan berkenaan dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 670 hp dan tork maksima 750 Nm!

Mercedes-AMG C63 2022 – tiada V8, 670 hp dari 2.0L Turbo 4-silinder hybrid, motor elektrik belakang

Imej Mercedes-AMG C43, C 63 pastinya akan kelihatan lebih agresif

Bagi sistem transmisi, ia masih menerima kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Bentangan konfigurasi unit rangkaian kuasa bagi C 63 ini menepati apa yang didedahkan oleh Mercedes-AMG dalam pembentangan strategi E Performance yang dibuat pada Mac tahun lalu.

Jadi walaupun C 63 baharu ini telah ‘kehilangan’ empat silinder serta kapasiti enjin yang jauh lebih kecil, kuasa yang dihasilkan sebenarnya adalah 167 hp/50 Nm lebih besar dari model generasi sebelum ini. Malah yang paling penting, ia juga tampil dengan kuasa 167 hp/100 Nm berbanding BMW M3 Competition sedia ada.

Dengan tidak lagi menggunakan enjin M177 4.0 liter V8 dengan turbo berkembar, model generasi baharu ini dapat dihasilkan lebih ringan. Menurut Mercedes-AMG, enjin baharu ini ditimbang hanya seberat 160.5 kg, membolehkan ia 48.5 kg lebih ringan dari enjin M177.

Walaupun menerima pelbagai kelengkapan tambahan untuk sistem hibrid seperti bateri lithium-ion dan motor elektrik, berat keseluruhan C 63 generasi baharu ini didakwa adalah lebih ringan berbanding model sebelumnya. Malah model ini juga dikatakan mempunyai titik graviti lebih rendah bagi memberikan kelincahan serta kawalan badan lebih baik.

Laporan ini juga menyebut bahawa versi produksi C 63 yang diasaskan dari C-Class W206 ini bakal didedahkan secara rasmi dalam masa beberapa bulan lagi, manakala penghantaran kepada pelanggan akan bermula tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required