Mercedes-AMG E63 S Final Edition – model terakhir dengan enjin V8, edisi selamat tinggal hanya 999 unit

Mercedes-AMG E63 S Final Edition – model terakhir dengan enjin V8, edisi selamat tinggal hanya 999 unit

Baru sahaja kami laporkan tempoh hari bahawa model generasi baharu Mercedes-AMG C 63 sah tidak lagi menggunakan enjin V8, dan bakal digantikan dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder sebaris bersama bantuan motor elektrik bagi menghasilkan kuasa lebih besar berbanding enjin 4.0 liter turbo berkembar model generasi sebelumnya.

Perubahan ini bukan hanya untuk C 63, malah ianya akan membabitkan model AMG siri 63 yang lain termasuk untuk sedan E-Class iaitu E 63. Justeru, sempena produksi terakhir Mercedes-AMG E 63 yang menggunakan enjin V8 ini, jenama berkenaan telah pun memperkenalkan model edisi khas digelar sebagai Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ Final Edition.

Model ini dihasilkan hanya 999 unit secara keseluruhan yang terdiri dari versi badan sedan empat pintu dan juga wagon. Ia masih dijana oleh unit rangkaian kuasa yang sama terdiri dari enjin V8 4.0 liter turbo berkembar berkuasa 612 PS dan tork maksima 850 Nm, bersama kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G.

Sistem pacuan semua roda 4Matic+ yang sama juga masih dibekalkan, di mana ia bukan sahaja mampu mengagihkan tork kepada semua roda secara bervariasi, malah turut boleh menghantar sepenuhnya kuasa ke gandar belakang dilengkapi differential yang boleh dikunci untuk beraksi seperti jentera pacuan roda belakang sebenar.

Mercedes-AMG E63 S Final Edition – model terakhir dengan enjin V8, edisi selamat tinggal hanya 999 unit

Oleh itu, prestasi untuk model Final Edition ini pastinya masih sama dengan E 63 S versi ‘biasa’, yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat serta mencatatkan kelajuan maksima 300 km/j.

Apa yang membezakan model edisi terhad ini adalah perincian menerusi pakej pengayaan seperti warna badan Matte Graphite Grey Magno (satu-satunya pilihan warna badan yang diberikan), rim aloi 20-inci tujuh-jejari berkembar dalam kemasan digilap dan hitam berkilat dari AMG, serta logo AMG istimewa pada tiang-C.

Ia juga menerima AMG Night Package secara standard yang terdiri dari perincian termasuk kemasan hitam berkilat pada komponen seperti splitter hadapan, panel sisi bawah, kemasan fender hadapan, kemasan sekeliling cermin tingkap, perumah cermin sisi dan perapi apron belakang.

Ia juga ditambah dengan cermin belakang gelap dengan pelindung panas, serta kemasan krom hitam pada tip ekzos. Pelanggan juga boleh menambah dua pakej karbon yang ditawarkan.

Mercedes-AMG E63 S Final Edition – model terakhir dengan enjin V8, edisi selamat tinggal hanya 999 unit

Pada bahagian dalaman pula, ia datang standard dengan tempat duduk bucket AMG Performance larasan elektrik dan dilengkapi pemanas. Kabin model edisi khas ini menerima upholsteri kulit Nappa dalam kemasan titanium grey pearl dan hitam bersama serlahan jahitan benang kuning. Balutan kulit Nappa juga boleh ditemui pada panel instrumen dan pintu.

Pemandu pula menerima roda stereng yang dibalut dengan kulit Nappa hitam bersama gentian mikro Dinamica serta jahitan benang kuning. Perincian kabin istimewa lain untuk model ini termasuk karpet kaki hitam dengan logo AMG dan serlahanan sekeliling kuning, bersama kemasan-kemasan gentian karbon serta lencana AMG Final Edition yang memperincikan nombor produksi “satu dari 999 unit” yang lain.

Sepanjang bendul pintu, model edisi terhad ini diberikan perapi pintu dari material logam tahan karat dalam kemasan black brushed, bersama lencana AMG serta pencahayaan berwarna kuning. Pembeli Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ Final Edition juga akan menerima selimut kereta khas istimewa untuk kegunaan indoor.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required