Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

E-Class paling berkuasa pernah dihasilkan, dan W213 tertinggi dalam barisan model – Mercedes-AMG E63 – kini secara rasminya tiba di pasaran Malaysia setelah diperkenalkan pada peringkat global Oktober tahun lalu.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz hanya membawa model tertinggi dan paling berkuasa E 63 S 4MATIC+, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM998,888. Dalam tempoh terhad juga, MBM turut menawarkan versi istimewa E 63 S 4MATIC+ Edition 1, yang menawarkan ciri-ciri yang lebih tersendiri.

E 63 S 4MATIC+ ini dijana oleh enjin AMG M178 4.0 liter V8 turbo berkembar, yang pertama kali diperkenalkan pada AMG GT S. Enjin ini menggantikan enjin M157 5.5 liter V8 yang menjana E 63 dan E 63 S W212 sebelum ini. Walaupun kapasiti enjin baharu ini lebih kecil, kuasa yang dihasilkan adalah lebih besar berbanding enjin 5.5 liter terdahulu.

Enjin pada E 63 S 4MATIC+ menghasilkan kuasa 612 hp pada takat 5,750 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 850 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm (557 hp/720 Nm pada enjin 5.5 liter), 49 hp/100 Nm lebih berkuasa dari versi E 63 4MATIC+ standard. Walau bagaimanapun, tork pada enjin 4.0 liter varian S ini sedikit kurang dari E 63 S W212, di mana enjin 5.5 liter pada model berkenaan dicatatkan pada 900 Nm.

Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

Enjin baharu ini dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan-kelajuan, menggantikan kotak gear AMG Speedshift MCT tujuh-kelajuan sebelum ini. Kotak gear baharu ini juga menggunakan klac pemula (start clutch) menggantikan torque converter pada kotak gear lama, bagi memberikan respon yang lebih baik dan juga lebih ringan. Kotak gear baharu ini dikatakan mampu menukar gear lebih pantas, penurunan gear lebih laju serta diberikan fungsi double-clutching.

Padanan enjin dan transmisi baharu ini membolehkan E 63 S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (standard 3.5 saat) sebelum mencapai kelajuan maksima yang 300 km/h pada model yang hadir bersama pakej AMG Driver.

Berbanding E 63 W213 yang dipacu roda belakang, E 63 W213 menerima sistem pacuan semua roda bervariasi 4MATIC. Menerusi sistem berkenaan, penyambung yang dikawal secara elektro-mekanikal dihubungkan kepada gandar belakang untuk menyalurkan kuasa secara bervariasi kepada gandar hadapan, dengan agihan tork yang dikira secara berterusan berdasarkan keadaan pemanduan dan input dari pemandu, membolehkan kereta ini berubah dari sebuah jentera pacuan semua roda dengan cengkaman jalan yang kuat kepada sebuah jentera pacuan roda belakang sepenuhnya bergantung pada keadaan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, E 63 S 4MATIC+ W213 turut menerima fungsi Drift Mode sebagai ciri standard. Fungsi ini boleh diaktifkan menerusi program pemanduan “RACE” menggunakan pedal penukar gear – mematikan fungsi ESP serta transmisi boleh dikawal secara manual. Apabila fungsi ini diaktifkan, E 63 S 4MATIC bertukar kepada sebuah jentera pacuan roda belakang sepenuhnya, dan ia kekal berfungsi sehingga pemandu sendiri mematikannya. Gandar belakang pada model S ini juga diberikan unit LSD dengan sistem kawalan elektronik.

Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

Program pemanduan AMG Dynamic Select ditawarkan dengan pilihan empat mod iaitu Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. Ia turut diberikan mod “RACE” untuk kegunaan di litar perlumbaan tertutup. Untuk fungsi Racestart pula, kawalan logiknya kini telah ditala semula dan turut dipermudahkan lagi.

Dalam program Sport, Sport+ dan Race, pemandu perlu menekan pedal brek sepenuhnya dengan kaki kiri dan pedal pendikit juga secara sepenuhnya dengan kaki kanan untuk mengaktifkan sistem elektronik agar kuasa enjin dilaras pada kuasa sepenuhnya.

Untuk mod Comfort pula, silinder nombor dua, tiga, lima dan lapan enjin V8 ini boleh dinyahaktifkan ketika ia dipandu pada tahap separa-bebanan menerusi sistem AMG Cylinder Management bagi mendapatkan penggunaan petrol yang lebih ekonomi.

Model ini menampilkan rekaan muka yang lebih garang, dengan bonet dan fender direka selari seperti pada model coupé, yang menurut Mercedes ia memberikan pendekatan yang lebih dinamik. Ruang roda turut dilebarkan lebih 17 mm dari E-Class standard untuk memmuatkan trek roda yang lebih lebar dan juga roda yang lebih besar pada gandar hadapan.

Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

Mercedes-AMG E 63 S juga menerima gril hadapan dua baris kemasan krom perak dan hitam serta ditempatkan lencana AMG. Ia juga dipadankan dengan splitter dan apron hadapan besar diinspirasikan dari rekaan sayap jet dengan kemasan berwarna hitam. Bahagian belakang pula dipadankan dengan spoiler but, apron belakang direka seperti diffuser serta tip ekzos berkembar dengan elemen krom pada sistem ekzos sport yang boleh dipilih.

E 63 S 4MATIC+ didatangkan dengan rim aloi ringan 20-inci lima jejari berkembar dengan kemasan akhir high-sheen dan turut dibaluti tayar berprofil 265/35R20.

Model ini juga menampilkan suspensi AMG yang menerima kejuruteraan semula, diasaskan dari suspensi udara Air Body Control pelbagai-kebuk. Suspensi ini juga menampilkan rekaan gandar hadapan empat-hubungan yang terdiri dari komponen aloi forged dengan wishbone, rod strut, hubungan spring serta gandar belakang yang menerima kejuruteraan semula membolehkan ia disesuaikan dengan prestasi dinamik jentera ini yang telah dipertingkatkan. Turut dilengkapi adalah pembawa roda spesifik AMG, talaan elastokinematik yang dioptimakan untuk dinamik kenderaan serta camber yang lebih negatif.

E 63 S 4MATIC+ hadir dengan cagak enjin dinamik sebagai ciri standard serta dibekalkan dengan stereng sensitif-kelajuan elektromekanikal AMG Sport. Untuk brek pula, sedan sport ini diberikan sistem brek berprestasi tinggi AMG, dengan varian S menampilkan cakera brek bahagian hadapan yang lebih besar berbanding model standard. Sistem brek AMG karbon seramik dengan diameter lebih besar turut ditawarkan sebagai opsyen untuk varian S.

Bahagian dalaman pula, E 63 diberikan elemen kemasan aluminium trapezium dan tempat duduk sport pada bahagian hadapan, dengan pilihan upholsteri balutan kulit nappa hitam/gentian mikro Dinamica, kulit nappa nut brown atau kulit nappa macchiato, serta diberikan opsyen tempat duduk dengan penahan kepala AMG Performance.

Khas untuk E 63 S 4MATIC+, ia turut dipadankan dengan balutan kulit nappa pada panel instrumen, sulaman AMG pada bahagian hadapan perehat kepala, jalur tempat duduk dan tali pinggang keledar kelabu kristal dan jam analog rekaan IWC. Paparan skrin lebar dengan dua monitor juga dibekalkan sebagai ciri standard.

Untuk model Edition 1, ia diberikan warna badan designo night Black Magno, jalur dinamik pada panel sisi serta roda aloi forged 20-inci AMG kemasan hitam matte dengan bahagian flange menerima kemasan digilap hingga berkilat.

Pada bahagian dalaman pula, ia menerima tempat duduk sport AMG Performance balutan kulit nappa hitam dengan jahitan kuning serta roda stereng AMG Performance. Berdasarkan gambar juga, model ini turut menerima sistem audio premium Burmester dan juga jam analog rekaan IWC.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required