Sekali tengok, macam kereta rali Audi Quattro S1 Group B pun ada, macam Mitsubishi Starion pun ada. Apa benda sebenarnya ni? Tuan-tuan dan puan-puan, ini adalah kereta konsep prestasi sel bahan api hidrogen (FCEV) terbaharu dari divisi perlumbaan Hyundai iaitu Hyundai N, diberi nama N Vision 74!
Bentuk retro pada kereta konsep ini sebenarnya diilhamkan dari model konsep Hyundai Pony Coupe yang didedahkan pada 1974 direka oleh pereka lagenda Itali, Giorgetto Giurgaro. Menurut Hyundai, kereta konsep Pony Coupe 1974 berkenaan selepas itu telah dijelmakan dalam bentuk prototaip sebagai kereta prestasi pertama jenama dari Korea Selatan tersebut, namun ia tidak berjaya di bawa sehingga ke peringkat produksi.
Walaupun projek kereta prestasi pertama tersebut tidak dapat direalisasikan pada 1974, Hyundai menyatakan bahawa ‘semangat’ seluruh syarikat untuk menghasilkan model sedemikian telah tercetus sejak dari itu, sehinggalah mereka berjaya mewujudkan Hyundai N dan menghasilkan pelbagai model prestasi sebenar dengan lencana tersebut sejak akhir-akhir ini.
Jadi, N Vision 74 ini merupakan model konsep yang dibangunkan bagi memperingati semula Hyundai Pony Coupe, dan ia diadun dengan teknologi elektrifikasi untuk model prestasi yang ada pada Hyundai buat masa sekarang. Ia dihasilkan dengan saiz 4,952 mm panjang, 1,995 mm lebar, 1,331 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,905 mm.
Hyundai menyatakan bahawa bentuk profil dinamik, permukaan dan tiang-B yang unik pada N Vision 74 ini ditiru terus dari Pony Coupe Concept 1974. Ia kemudiannya diberikan kit aerodinamik seakan kereta rali Group B era 80’an, menampilkan kesemua fender yang direka lebar dan berpetak, spoiler ‘sodok’ di hadapan, diffuser yang agresif pada bampar belakang serta spoiler belakang dengan sayap gergasi.
Manakala lampu hadapan dan belakang dibentuk menyerupai lampu Pony Coupe Concept menggunakan susunan lampu Parametric Pixel seperti pada model EV produksi Hyundai Ioniq 5 dan Ioniq 6. Gril hadapan N Vision 74 ini juga menggunakan mesh seiras Pony Coupe. Manakala untuk roda, ia diberikan rim seakan rim kereta lumba jenis aerodisc era 80’an yang bersaiz besar, sesuai dengan rekaan kit aero retro yang diberikan.
Tiada imej bahagian dalaman N Vision 74 ini didedahkan, namun Hyundai menyatakan bahawa kabin kereta ini direka bagi memberikan “ruang yang menghiburkan tanpa kehilangan seni bina asli Pony Coupe Concept”. Ia diberikan kokpit yang direka fokus kepada pemandu dengan menggandingkan elemen warisan sejarah dan rekaan moden, seperti kluster paparan instrumen digital dan butang-butang analog.
Hyundai menyifatkan N Vision 74 ini sebagai “makmal bergerak prestasi tinggi” pertama mereka yang dibangunkan menggunakan sistem sel bahan api hidrogen termaju pernah dihasilkan oleh Hyundai N. Hyundai telah memulakan pembangunan teknologi sel bahan api hidrogen ini bermula dengan kereta konsep Hyundai N 2025 Vision Gran Turismo yang didedahkan pada 2015, yang turut menjadi inspirasi kepada pembangunan N Vision 74 ini.
Kereta konsep ini dibekalkan dengan dua motor elektrik untuk memacu gandar belakang yang berkuasa lebih dari 671 hp (500 kW) dan tork maksima melebihi 900 Nm. Tiada sebarang perincian prestasi dinyatakan, namun ia didakwa boleh mencapai kelajuan melebihi 250 km/j.
Motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri berkapasiti 62.4 kWh bersama kebolehan mengecas cepat 800-volt. Manakala untuk sistem sel bahan api hidrogen yang digunakan untuk menghasilkan kuasa untuk disimpan pada bateri, ia menerima tangki berkapasiti 4.2 kg yang boleh dipenuhkan dalam masa 5 minit, dengan stack sel bahan api 85 kW (maksimum 95 kW). Ini membolehkan N Vision 74 tersebut bergerak dalam jarak lebih 600 km.
Hyundai menyatakan bahawa dengan jarak gerak yang jauh serta kebolehan untuk mengisi semula sel bahan api hidrogen dengan pantas, N Vision 74 menjanjikan keseronokan memandu bersama sumber kuasa yang mampan menerusi teknologi yang canggih.
Jurutera Hyundai membangungkan struktur hibrid elektrik-bateri digabungkan dengan sistem FCEV yang diatur dalam konfigurasi baharu. Menurut Hyundai, dengan sistem sel bahan api dan elektrik bateri yang berfungsi bersama pada N Vision 74 ini membolehkan keberkesanan sistem penyejukkan ditambah baik. Hyundai turut meneroka sistem penyejukan tiga-saluran menerusi N Vision N 74 ini, bagi mengimbangi antara prestasi dan penyejukkan.
Teknologi prestasi tinggi tersebut diintegrasikan sepenuhnya kepada rekaan bagi memenuhi keperluan pengurusan haba sistem FCEV. Malah dengan dua punca kuasa berbeza, ia boleh digunakan bergantung situasi pemanduan yang berbeza.
Agihan tork antara dua motor pada gandar belakang kereta ini telah ditala dan diperhalusi melalui sistem torque vectoring yang diberikan. Ini membolehkan pemandu menikmati pengalaman mengambil selekoh yang jitu dan juga responsif, dakwa Hyundai.
Tiada sebarang petunjuk dari Hyundai yang menyatakan bahawa kereta konsep ini akan dijelmakan dalam bentuk produksi. Namun naib presiden Hyundai Motor Company, Till Wartenberg menyatakan bahawa “projek-projek makmal bergerak ini merupakan aset yang baik bagi menyediakan visi elektrifikasi Hyundai N menjadi realiti, iaitu Ioniq 5 N tahun depan.”
Ya, secara tidak langsung versi produksi kereta elektrik prestasi tinggi Hyundai Ioniq 5 N disahkan akan muncul pada tahun depan menerusi kenyataan ini!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.