PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

Dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk menjawab pertanyaan ini: dalam kalangan jenama premium Jerman, yang mana satu menawarkan kenderaan dengan pakej paling menarik? Dan kita tahu hanya ada dua seteru rapat dalam konteks ini di Malaysia, iaitu BMW dan Mercedes-Benz. Jika diperhatikan barisan penawaran kedua-dua jenama itu, dalam satu-satu segmen yang sama, model yang ada selalu hadir dengan kelengkapan dan memberikan nilai yang hampir sama.

Tetapi, dalam banyak situasi, bagi sesetengah orang, untuk membandingkan model dalam segmen yang sama itu, model dari BMW akan selalu mempunyai satu kelebihan, iaitu aspek pemanduan. Ketika anda duduk di kerusi pemandu, dan merasakan sendiri apa yang ada untuk ditawarkannya, model-model BMW jarang mengecewakan dan itulah yang akan membezakan pengalaman anda bersamanya berbanding kereta dari pengeluar lain.

Dengan percambahan dan perkembangan teknologi digital dan elektrifikasi dalam kenderaan, agaknya inilah satu-satunya “ramuan” yang masih dapat diberikan dengan cukup berkesan dan tepat oleh BMW, walaupun untuk berlaku adil terhadap pesaing yang lain, mereka tidak ketinggalan begitu jauh di belakang dalam aspek berkenaan. Tetapi, adakah pernyataan ini masih boleh diguna pakai untuk model-model SUV-nya?

PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

SUV. Dalam segmen yang mana pun, kita tahu sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mendominasi — atau setidak-tidaknya berkembang pesat — dalam pasaran tempatan. Lihat sahaja, hampir semua jenama akan mempertaruhkan SUV ketika ini. Di sini, cukup untuk kita beri perhatian kepada SUV premium dari jenama yang ada dalam pasaran, yang setara dengan subjek yang ingin dibincangkan di sini — BMW X3 G01 2022.

Setepatnya, model yang ditampilkan ini ialah BMW X3 xDrive30e, yang merupakan salah satu varian — dan menjadi varian paling tinggi — bagi model BMW X3 G01 yang dilancarkan pada Februari lalu untuk pasaran tempatan. Dua lagi varian yang ditawarkan adalah X3 sDrive20i dan xDrive30i. Dan ini juga merupakan kali pertama X3 dalam versi plug-in hybrid (PHEV) diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Ketiga-tiga varian berkenaan kini merupakan model pemasangan tempatan (CKD), dan dilengkapi dengan pakej M Sport sebagai standard.

Untuk mengecilkan skop kepada hanya model dengan teknologi berkaitan sahaja (PHEV), model paling hampir sebagai lawannya yang dipertaruhkan oleh Mercedes-Benz ialah GLC 300e Coupe. Kenapa kecilkan skop? Kerana kita hanya akan memerhatikan model-model SUV dengan teknologi PHEV sahaja, yang berada dalam segmen yang sama untuk lebih mudah faham penawaran yang ada ketika ini.

PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

GLC 300e Coupe kini dijual di Malaysia pada harga RM398,888 atas jalan tanpa insurans, dan termasuk SST. Walaupun ia model PHEV, reka bentuk coupe yang ditawarkan itu sedikit membezakan keadaan ruang kabinnya — ia mungkin lebih sporty, tetapi tidak memberikan ruang seluas versi biasa GLC yang lain. Model ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menjana 211 PS pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,200 rpm hingga 4,000 rpm.

Motor elektriknya pula memberikan kuasa sebanyak 122 PS dan 400 Nm, dengan keseluruhan sistem menyediakan sebanyak 320 PS dan 700 Nm tork. Kuasanya disalurkan melalui sistem 4Matic, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 230 km/j. Jarak pemanduan elektrik sepenuhnya yang diberikan oleh model ini adalah 43 km.

Dan, GLC mungkin contoh terbaik untuk menjelaskan betapa banyaknya penawaran SUV dalam kelas yang sama, bahkan daripada pengeluar yang sama juga: selain versi PHEV ini, terdapat empat lagi model/varian Mercedes-Benz GLC yang ditawarkan ketika ini di Malaysia, dalam kedua-dua bentuk badan SUV dan juga Coupe. Ini baru dari satu jenama sahaja, dalam segmen yang spesifik ini.

PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

Pesaing yang bertentang secara berdepan dengan BMW X3 xDrive30e ketika ini untuk pasaran tempatan sebenarnya ialah Volvo XC60 Recharge T8 2022, yang hadir bukan sahaja dengan teknologi PHEV yang setara, tetapi juga dengan bentuk badan SUV yang selayaknya, dan bukan coupe seperti model Mercedes-Benz yang dinyatakan tadi.

Hujung Mei lalu, Volvo Malaysia memperkenalkan versi kemaskini bagi SUV berkenaan, yang kini dijual pada harga RM353,888. Antara pembaharuan yang dilakukan tahun 2022 ini untuk XC60 ialah penambahan lapis ketiga bateri di bawah lantainya, menambah kapasiti daripada 11.6 kWh kepada 18.8 kWh. Kesannya, ini memberikan lonjakan kepada jarak pemanduan elektrik sepenuhnya, daripada hanya 45 km kepada 81 km. Motor elektriknya juga lebih berkuasa, menyediakan tambahan 58 PS menjadikannya kini 145 PS.

SUV Volvo ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang ditala semula untuk memberikan lebih kuasa pada rpm lebih rendah. Ia menghasilkan 317 PS dan 400 Nm. Integrated Starter Generator (ISG) ada terletak di antara enjin dan kotak gear lapan-kelajuan, bertujuan untuk menghidupkan enjin dan membantu memberikan prestasi tambahan ketika pecutan.

Keseluruhan sistem Recharge T8 menyediakan 462 PS dan 709 Nm ke semua roda, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 4.8 saat — setengah saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Bacaan penggunaan minyak juga bertambah baik, dari 2.2 liter per 100 km kepada hanya 1.6 liter per 100 km. Dari segi prestasi janaan kuasa, ini yang paling tinggi.

Jika kita memperluas skop dan tidak hanya menghadkannya kepada PHEV semata-mata, maka dalam segmen yang dinyatakan ini sahaja terdapat juga penawaran lain, termasuk daripada pengeluar lain. Sekadar contoh, Lexus NX (hadir dalam dua penawaran varian; NX 350 F Sport dan NX 250 Luxury, dengan harga bermula RM371k) juga boleh dipertimbangkan dalam kelompok ini, yang mempunyai spesikasi hampir setara. Tidak lupa juga, sebuah lagi model dari pengeluar Jerman juga, Audi Q5 dari RM486k, juga ada dalam bentuk Sportback).

Jadi, apa pula yang ada pada BMW X3 xDrive30e 2022? Pertama, harga model ini sebenarnya sekitar RM8,000 lebih murah berbanding versi petrolnya, xDrive30i. Dengan SST, model petrol X3 berkenaan dijual pada harga RM337,950, manakala versi PHEV yang sedang anda lihat ini pada harga RM356,800.

BMW X3 xDrive30e 2022 dilengkapi dengan sistem janaan hibrid yang sama dengan model sedan 330e; unit enjin B48 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 184 PS dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm tork antara 1,350 hingga 4,000 rpm. Enjin ini memberikan ouptut yang sama dengan varian paling rendah model ini, sDrive20i.

Yang menjadi tambahan kepada model PHEV ini tentulah kehadiran motor elektriknya — yang memberikan 50 kW (68 PS) kuasa — dan terletak di antara kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan dan unit enjin tadi, menjadikan janaan keseluruhan yang dihasilkan oleh sistem ini adalah sebanyak 252 PS dan 420 Nm tork.

Kuasa elektrik paling tinggi sebanyak 80 kW (109 PS) tersedia dengan pecutan gesaan melalui fungsi XtraBoost, membolehkan xDrive30e mencecah 292 PS dalam tempoh 10 saat. Dalam keadaan ini, model PHEV berkenaan boleh memecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat, 0.2 saat lebih pantas berbanding varian xDrive30i. Kedua-dua model berkenaan juga lengkap dengan pacuan semua roda.

PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

Bateri lithium-ion 12 kWh pula diletakkan di atas gandar belakang, membolehkan xDrive30e dipandu dalam mod elektrik sepenuhnya sejauh 50 km mengikut kitaran WLTP. Ini juga menurut pengeluarnya membantu merendahkan lagi bacaan penggunaan minyak menjadi antara 2.0 hingga 2.6 liter per 100 km. Untuk mengecas baterinya pula memerlukan masa 3.6 jam menggunakan wallbox 3.7 kW AC, atau memakan masa enam jam dengan soket tiga-pin domestik yang biasa.

Apa tanggapan tentang aspek pemanduannya? Ia sebetulnya sangat menarik untuk merasakan sebuah X3 dalam penawaran seperti ini. Antara pengalaman yang sangat menyenangkan adalah ketika awal menghidupkan kenderaan dan semuanya senyap. Pergerakan terawalnya juga biasanya senyap, tanpa campur tangan enjin, dan hanya dipacukan secara elektrik sepenuhnya. Bagi yang sudah pernah memandu kenderaan elektrik atau hibrid, ini mungkin bukan perkara baru.

Tetapi untuk BMW X3 xDrive30e ini, ia ada memberikan perasaan bahawa dalam keadaan itu pun SUV ini cukup bertenaga. Tetapi jika anda menggunakan model ini, dan ingin memanfaatkan kelebihan daya tujah motor elektrik serta mendapatkan bacaan penggunaan bahan api yang menjimatkan itu, maka keadaan dan kuasa bateri perlulah selalu dipastikan berada dalam keadaan yang penuh atau memadai. Kerana jika kuasa baterinya tiada atau sangat berkurangan, ia akan cenderung beroperasi seperti kereta dengan enjin biasa. Dan jika ini keadaannya, maka tidaklah anda dapat mengoptimumkan prestasi sebenar SUV ini.

PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

Saya selalu membayangkan pemilihan cara pemanduan dalam tiga mod untuk SUV ini. Pertama, ketika bergerak dalam kawasan letak kereta atau dalam persekitaran perumahan misalnya, ada elok membiarkannya dalam pacuan elektrik. Maksudnya, dalam keadaan pemanduan yang tidak memerlukan enjin untuk bergerak, maka itu lebih mesra alam dan tidak membazir tenaga. Ini bahkan boleh dipraktis untuk perjalanan yang tidak begitu jauh, kerana SUV ini mampu memberikan jarak 50 km perjalanan dalam mod berkenaan.

Kemudian, untuk pemanduan dalam bandar, terutama dalam keadaan trafik sesak, pemandu boleh memilih untuk berada dalam mod hibrid. Mod ini, dengan senarai ciri keselamatan aktif yang ada padanya (senarai akan kita lihat di bawah), menjadikan pemanduan lebih bertenang dan santai. Tidak ada apa yang ingin dikejar, maka nikmatilah sahaja semua yang ada dalam SUV ini ketika dalam perjalanan.

Seterusnya, ketika dalam perjalanan yang sedikit jauh dan jalan yang terbuka, misalnya di lebuhraya, mod Sport bersedia menjadi pendamping yang baik dan memuaskan. Dan dalam mod ini, enjin menjadi pemacu utamanya, tiada lagi bantuan teknologi elektrifikasi terhadap pacuan pemanduan. Dan, bagi mereka yang masih inginkan aspirasi dan sensasi memandu secara natural, inilah mod yang akan membuatkan anda mengecapi semua itu. Untuk memilih mod berkenaan, tidak sukar: ketiga-tiga butang ada tidak jauh dari tombol gear.

PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

Menarik untuk menyedari bagaimana dengan adanya mod dan cara pemanduan berbeza seperti ini melatih pemandu untuk lebih peka dengan persekitaran dan suasana trafik untuk lebih aktif memikirkan tentang apa yang terbaik untuk dilakukan. Saya fikir, ini akan dapat membantu kita untuk menjadi pemandu yang lebih peka terhadap segalanya; cara kita memandu, keadaan trafik di sekitar, prihatin terhadap penggunaan tenaga dan sebagainya. Dan, jika anda masih ragu-ragu dengan pengalaman dan kos penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), maka model PHEV ini menyediakan yang terbaik antara dua “dunia” tersebut.

Seperti dijangkakan, untuk berada di belakang stereng dan mengendalikan pemanduannya — walaupun ini sebuah SUV — adalah perkara yang paling ingin dilakukan. Boleh terasa dinamik pemanduannya yang terperinci dan cukup berkuasa untuk membawa beban. Untung SUV ini tidak terlalu tinggi kedudukannya dari jalan, ia terasa seperti membawa sebuah kereta biasa, dengan kelebihan ruang kabin yang lebih luas dan selesa. Ini satu hal yang menyenangkan dan jadi kelebihannya.

Selain perbezaan sistem elektrifikasi, tidak banyak hal lain yang membezakan model xDrive30e berbanding versi petrolnya. Penggayaan yang ada adalah dari versi facelift semasa, termasuk lampu utama trapezoid yang lebih nipis — dengan unit LED adaptif dan DRL hexagonal sebagai standard — gril yang lebih besar serta lampu belakang dengan kesan 3D yang menarik dilihat.

Pakej M Sport pula bukan sesuatu yang asing, terutama untuk X3 di sini. Ia melibatkan bahagian bukaan udara yang besar di tengah, perincian bentuk L di sudut, body cladding dalam warna badan serta bampar belakang dengan gaya diffuser dan muncung ekzos bersegi. Rim juga sama dengan versi petrol, menggunakan unit bersaiz 20-inci Style 787 M dua-tona, dengan brek M Sport dan kaliper biru untuk model PHEV ini — tema biru yang akan kelihatan juga di beberapa perincian lain model SUV ini.

Bahagian dalaman lain tidak banyak berubah berbanding model petrol. Kelengkapan M Sport boleh dilihat dengan jelas juga, melibatkan stereng yang lebih tebal, kerusi, pedal aloi, pelapik bumbung hitam dan scuff plate hitam M di tepi. Kerusi juga hadir dalam balutan kulit Vernasca dan juga kulit buatan Sensatec untuk balutan papan pemuka.

Sedikit kekurangan model ini mungkin, disebabkan ruang yang diperlukan untuk menempatkan bateri, saiz but xDrive30e ini 100 liter lebih kecil berbanding varian X3 yang lain, dengan kapasiti 450 liter, dengan ruang barangannya tidak rata sepenuhnya. Namun, kapasiti maksimum untuk ruang baranganya masih memberikan 1,500 liter, jadi ia tidaklah terlalu jauh berbeza.

xDrive30e ini turut menggunakan sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional yang dikemaskini, berserta paparan berkembar 12.3-inci. Sistem bunyi pula terdiri daripada 16 pembesar suara dengan Harman Kardon 464-watt. Tambahan kecil, versi PHEV ini turut datang dengan kamera 360-darjah.

PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

Lain-lain kelengkapan adalah sama sahaja dengan versi petrolnya. Ini termasuklah penyerap hentak pasif (tiada suspensi M Sport untuk PHEV), sistem tanpa kunci, butang penghidup, kawalan pendingin tiga zon, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, bumbung panoramik, kawalan melayar pasif, bantuan parkir serta pintu ruang barangan belakang bebas kendalian tangan.

Model ini juga lengkapi dengan pakej Driving Assistant, yang termasuk di dalamnya ciri seperti AEB, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang dengan penhindaran perlanggaran. Enam beg udara, kawalan kestabilan dan Isofix di belakang juga tersedia.

Dari sudut keselamatan ini, menarik untuk melihat model-model BMW kini datang dengan ciri bantuan keselamatan aktif yang bertambah lengkap, walaupun mungkin sedikit terlewat menawarkan itu (paling tidak untuk pasaran Malaysia), misalnya ketika kita membandingkannya dengan Volvo XC60 sebagai contoh.

BMW X3 xDrive30e datang dengan empat pilihan warna, iaitu Alpine White, Brooklyn Grey metalik, Phytonic Blue dan Carbon Black. Jaminan pula ia meliputi tempoh dua tahun tanpa had perbatuan sebagai standard pada harga RM337,950, dan boleh juga dipilih dengan pakej jaminan lanjutan sehingga lima-tahun pada harga RM356,800.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required