Perkembangan ketika ini untuk kenderaan, teknologi elektrifikasi adalah jalan ke depan bagi banyak pengeluar. Dan, bagi Perodua dan Proton, walaupun agak terlewat, kedua-duanya pernah menyatakan hasrat untuk ikut serta dengan gelombang itu, antaranya seperti laporan yang pernah dikeluarkan oleh RHB Investment Bank.

Di dalam laporan itu, bank berkenaan memberi gambaran bahawa Proton dijangka melancarkan model elektrik pertamanya pada 2027, sementara Perodua bakal memperkenlkan model hibrid EV pada 2024. Bagi Proton, itu bukanlah kejutan memandangkan ia pernah dinyatakan oleh Proton sebelum ini.

Bagi Perodua juga itu sudah boleh dijangka, sekurang-kurangnya berkaitan teknologi yang akan diterapkan dalam konteks ini — sejak 2019, Perodua memaklumkan langkah pertama mereka dalam hal ini adalah untuk mengeluarkan kereta hibrid, yang diulang sekali lagi November lalu. Apa yang baru sekarang adalah tempoh masa tahun 2024 agar perkara itu dimulakan.

Secara rasminya, Perodua juga memang sudah mempunyai kehadiran hibrid di dalam barisan kenderaannya ketika ini, melalui program pajakan Ativa Hybrid. Ogos tahun lalu, Perodua umumkan bakal membawa masuk 300 unit Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid untuk tujuan kajian dan penilaian, dengan program jemputan khas untuk pelanggan terpilih melanggan model berkenaan bertujuan untuk pengumpulan data selama tempoh percubaan selama lima tahun.

Laporan berkenaan yang menyebut bahawa model Perodua hibrid akan mula dijual tahun depan menjadikan Ativa Hybrid berkenaan sebagai calon paling layak untuk itu, memandangkan ia satu-satunya model hibrid Daihatsu ketika ini. Cuma, agak aneh untuk mempunyai sebuah program pajakan jangka panjang beriringan dengan penjualan terbuka bagi model yang sama.

Dengan Daihatsu yang telah memberi petunjuk kepada model hibrid baru selepas Rocky e-Smart Hybrid, mungkin juga model pertama hibrid Perodua itu nanti merupakan model selain Ativa. Ini kita perlu tunggu dan lihat.

Bagi Proton, penantian untuk model elektrikfikasi mungkin memerlukan masa yang lebih panjang. Seperti Perodua, syarikat itu memaklumkan pemerhatian terhadap kos adalah faktor penting sebelum sebarang keputusan dibuat, dan bagi Proton, tiada sebarang tempoh masa yang ditetapkan.