Tarikh pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 atau MRT2 akan didedahkan selepas ujian operasi selesai, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke, laporan The Star.
Buat setakat ini, keseluruhan Laluan Putrajaya telah siap pada 99.9% (pada Januari 2023). Ujian operasi masih dijalankan oleh pihak MRT Corp dan Rapid Rail bagi memastikan segala sistem stabil dan selamat apabila operasi penuh bermula.
“Dengan sempurnanya fasa kedua projek ini menyaksikan 24 stesen tambahan dibuka. Sekaligus membawakannya sejumlah 36 stesen dari Putrajaya (ke Kwasa Damansara),” kata Loke selepas memantau ketersediaan operasi perkhidmatan tersebut. Lawatan itu bermula dari Stesen Putrajaya Sentral hingga ke Stesen Kwasa Damansara.
Terdapat 10 stesen pertukaran di sepanjang laluan berkenaan, dengan stesen Titiwangsa dibangunkan sebagai hab pengangkutan awam. “Stesen Hospital Kuala Lumpur juga dipertimbangkan untuk menjadi salah satu stesen utama bagi laluan berkenaan, yang memudahkan lagi perjalanan pesakit dan pelawat untuk ke hospital tersebut,” kata Loke, sambil menambah stesen berkenaan juga akan mempunyai travelator sepanjang 400 meter.
Selain itu, terdapat 107 buah bas perantara akan berkhidmat untuk stesen MRT Putrajaya Fasa Dua ini, dengan sejumlah 47 set tren yang akan beroperasi. Laluan ini dijangka akan menerima sejumlah 200,000 penumpang setiap hari dalam tempoh setahun atau dua tahun selepas ia dilancarkan, tambah Loke lagi.
Sebelum ini, Prasarana Malaysia menjangkakan seramai 1.2 juta penumpang akan menggunakan perkhidmatan bas dan rel apabila MRT Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya, meningkat berbanding 722,000 penumpang pada tahun lalu.
Pada asalnya, MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua ini mula beroperasi pada Januari 2023, namun MRT Corp mengumumkan pada Disember lalu, namun ia ditangguhkan dan dijangka akan selesai pada Mac tahun ini. Seksyen sepanjang 38.7 km bagi jajaran ini, melibatkan 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.
Berkenaan dengan projek rel MRT Fasa Ketiga atau MRT3 pula, Loke berkata Menteri Kewangan dijangka akan meluluskan projek tersebut tidak lama lagi. Turut dikenali sebagai Laluan Lingkaran, MRT3 telah pun diluluskan oleh Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada suku pertama tahun lalu. Ia susulan pembatalan oleh kerajaan sebelum itu yang dipimpin oleh
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.